RAWANG: Setiap hari, sekumpulan pimpinan PAS kawasan Selayang dan Pemuda PAS berlepak di Bazar Ramadhan Bandar Tasik Puteri.
Tetapi, mereka bukit lepak suka-suka tetapi penuh bermakna sepanjang bulan Ramadhan ini.
Program Jom Lepak @ Musolla Bazar Ramadhan adalah program induk yang diadakan untuk mengisi aktiviti selain solat di musolla (surau) sementara yang diletakkan di tapak bazar Ramadhan, Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri sepanjang Ramadhan. (Zaidy [dua dari kiri] bersama dalam majlis lepak @ musolla Ramadhan)
Musolla yang diwujudkan bagi tujuan memudahkan peniaga dan pengunjung menunaikan tanggungjawab bersolat pada Asar dan Maghrib telah diusahakan oleh Jawatankuasa Penduduk Zon 24, Majlis Perbandaran Selayang, yang dipengerusikan oleh Zaidy Abdul Talib, yang juga merupakan ahli majlis kawasan tersebut.
Menurut Zaidy, musolla ini adalah kali kedua diwujudkan selepas pihak JKP dan MPS berjaya mengadakan di lokasi yang sama pada tahun lepas. Cuma pada kali ini, musolla ini diinovasikan dengan aktiviti-aktiviti menarik bagi mengajak warga muda untuk menghidupkan suasana musolla tersebut.
"Kita adakan musolla setelah melihat pada tahun lepas kita berjaya memudahkan peniaga dan pengunjung untuk menunaikan kewajipan mereka dan tahun ini kita meneruskan lagi ditambah dengan idea-idea penarik bagi menghidupkan suasana musolla ini. bila melihat warga muda dibulan ramadhan aktivitinya terhad, tercetuslah idea jom lepak bagi menarik mereka ke musolla ini," ujar zaidy.
Antara program menarik yang telah disusun oleh pihak pelaksana program ialah mari mengaji (tadarrus) bersama pesonaliti, grand show, wifi percuma, kempen tutup aurat dan lain-lain lagi.
Antara program yang paling mendapat sambutan sepanjang jom lepak @ musolla bazar ramadhan diadakan adalah program mari mengaji (tadarrus) bersama pesonaliti. Program ini menjemput pesonaliti ke musolla untuk memberikan tazkirah dan bertadarrus bersama peserta-peserta pada program tersebut.
Antara pesonaliti yang dijemput, Ustaz Zamri Zainuldin (Mari Mengaji Tv9), Ustaz Syed Abdul Kader (Tanyalah Ustaz TV9), Ustaz Shahrizan Daud (Tv Alhijrah), Ustaz Fakhrul Hussin (Imam Muda 2) dan Ustaz Bazli (vocalis Unic).
"Sebelum ini, kita hanya membawa Islam dengan cara yang agak eksklusif dan hanya golongan tertentu yang berkehendak kepada Islam akan mengecapinya. Tapi kita ingin Islam dilihat lebih luas dan Islam boleh dipraktikkan pada bila-bila masa dan mana-mana tempat," kata Mohd Farhan Madzlan yang juga merupakan pengarah program jom lepak @ musolla bazar ramadhan.
"Program ini adalah salah satu cara untuk mengajak masyarakat untuk menyempurnakan ibadah mereka selain daripada berpuasa di bulan yang mulia ini. Ada di kalangan peniaga dan pengunjung yang menjual dan membeli makanan bagi tujuan berbuka tapi mereka meninggalkan kewajipan yang lain seperti solat fardu dan menutup aurat," Farhan menambah lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan