Aidila Razak
Harapan Komuniti, yang menganjurkan majlis makan malam amal di perkarangan sebuah gereja di Petaling Jaya semasa ia diperiksa oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu, membuat laporan polis semalam berikutan ancaman bunuh yang diterimanya.
Menurut sumber yang rapat dengan NGO itu, ugutan berkenaan dikesan diletakkan di pintu masuk premisnya di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, awal pagi semalam.
"Ia datang dalam bentuk bungkusan, dan diselitkan nota yang berbunyi 'jangan cabar Islam'. Mereka tidak membuka bungkusan itu dan menyerahkannya kepada polis ketika membuat laporan, " kata sumber itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Sumber, yang juga arif dengan kes serbuan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada awal bulan ini berkata NGO itu membuat laporan di balai polis Sea Park pada jam 10 malam semalam.
Laporan itu disahkan oleh seorang anggota polis yang menerimanya walaupun butiran laporan berkenaan tidak didedahkan.
"NGO ini mengendalikan sebuah pusat untuk ibu-ibu tunggal dan mereka yang hidup dengan HIV/AIDS serta menjalankan sebuah pusat tuisyen untuk kanak-kanak miskin. Mereka kini amat takut dengan keselamatan golongan itu, terutamanya kanak-kanak. Mereka telah memindahkan operasi ke tempat lain buat sementara waktu," kata lelaki yang enggan namanya disiarkan itu.
Menurut sumber itu lagi, beberapa orang daripada 12 umat Islam yang dikesan pada serbuan 3 Ogos lalu dan diminta menghadiri sesi kaunseling oleh JAIS juga telah menerima panggilan telefon pada lewat malam oleh seorang lelaki yang mengaku dirinya daripada JAIS.
"Hanya individu wanita menerima panggilan itu. Sudah tentu kita tidak boleh pasti sama ada orang ini adalah benar-benar dari JAIS," katanya, sambil menyalahkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana mendedahkan identiti individu-individu berkenaan di internet.
Serbuan JAIS itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, dengan ada pihak yang menuding jari kepada pihak zakat kerana gagal membantu umat Islam yang miskin sehingga mereka terpaksa menagih simpati daripada gereja dan pertubuhan Kristian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan