HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2011

Reformasi institusi agama dari kongkongan

Harakahdaily


TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mencadangkan secara tegas bahawa institusi-institusi agama di negara ini perlu direformasikan segera daripada kongkongan golongan berkepentingan, yang jahil dan selama ini menekan institusi agama dengan kejahilan mereka.

“Institusi-institusi agama perlu direformasikan supaya mereka boleh keluar daripada kongkongan golongan berkepentingan ini, yang jahil dan selama ini menekan institusi agama dengan kejahilan mereka.

Apakah institusi agama nak jawab apabila berhadapan dengan Allah di akhirat nanti kerana menjadi penghalang kepada perkembangan agama, menyekat dakwah dan mengampu pemerintah yang korup dan tidak bermoral?” tegur Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannnya hari ini.

Kenyataaannya adalah reaksi kepada tindakan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang melarang penyampaian tazkirah Ramadan di semua masjid dan surau seluruh negeri Pahang alasan telah mengganggu ibadah orang lain dan majlis ilmu semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) Ustaz Shahril Azman Abdul Halim semalam turut menyelar MUIP dan menganggap ‘pengharaman’ berkenaan sebagai satu kejutan baru di Malaysia selepas negara ini diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam.

Bagi Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, masjid dan surau kini lebih banyak dapat arahan berupa amaran agar jangan mengundang ustaz tertentu, yang dicop condong kepada pembangkang kerana takut ada usaha menanam idea pembangkang di dalam kuliah dan juga tazkirah mereka.

Malah, katanya ada tokoh agama yang disegani keilmuannya disekat, ditahan dan didakwa semata-mata atas alasan tiada tauliah daripada institusi-institusi agama tertentu.

“Tauliah daripada institusi agama hari ini, secara kesalnya telah menjadi senjata pemerintah untuk menghalang satu-satu program agama bukan kerana ia menyeleweng agama tetapi kerana alasan kepentingan politik.

Untuk mereka ini, tiadapun sedikit risau bahawa masyarakat mungkin akan menjadi jahil, bebal dan dungu dengan nilai agama; yang mereka risau hanyalah apabila ada penceramah, walaupun cukup terkemuka di tanahair tetapi tidak diberi tauliah, mengajar di kawasan tadbir mereka,” bidas beliau.

Tambahnya lagi, kekadang yang dihalang itu bekas mufti, pensyarah universiti dan pakar rujuk agama. Kita masih ingat apa yang menimpa Dr Haron Din, al-Marhum Datuk Ishak Baharom, Dr Asri Zainal Abidin dan ramai lagi yang disekat, bahkan puluhan lagi yang kini masih menjadi buruan penguatkuasa agama.

“Tindakan sedemikian, bukan sahaja amat memalukan umat Islam malah merendahkan martabat golongan agama dan keyakinan umat Islam terhadap institusi-institusi yang diamanahkan menjaga Islam,” tegur beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, keruntuhan aqidah umat Islam masa kini sebenarnya menggambarkan masalah pokok yang lebih mendalam dan tunjang iaitu didikan agama yang gagal memantapkan aqidah.

“Pengabaian ini juga menyebabkan ia merebak sehingga kepada pengabaian aspek lain seperti ibadah, syariat dan akhlak. Kita tidak perlu bertempik gegak-gempita, demonstrasi atau meluahkan kemarahan kepada pihak lain, seandainya punca keburukan akidah datang dari kelemahan institusi-institusi Islam kita sendiri,” terang beliau.

Persoalan pendidikan jangan hanya dilihat kepada silibus sekolah, katanya kerana dalam sistem exam-oriented yang menebal sekarang ini, tidak mungkin pelajar akan menumpukan kepada subjek agama kerana ia bukanlah mata pelajaran utama dalam mana-mana peperiksaan penting.

“Di luar sekolah pula, pendidikan agama lebih bergantung kepada usaha peribadi untuk mempelajari dan mendalaminya.

Namun, perkara yang lebih malang yang sedang berlaku sekarang ialah karenah institusi-institusi agama seperti jabatan agama negeri-negeri yang lebih mencemburui secara bukan-bukan terhadap program agama di masjid daripada menyaingi secara sihat dalam usaha menyediakan lebih banyak ruang kepada pengukuhan agama umat Islam secara keseluruhan,” kata Tuan Ibrahim secara kesal.

Menurut beliau, sikap negatif institusi agama yang di bawah kongkongan orang berkepentingan yang jahil agama kepada golongan agama - terutamanya apabila golongan agama mudah dicopkan sewenang-wenangnya sebagai 'pembangkang atau menyokong pembangkang' sekiranya bangkit menegur tindakan kerajaan pemerintah telah menyebabkan kuliah di masjid rata-ratanya gagal menarik minat golongan muda.

Khutbah Jumaat zaman kini pula, katanya rata-ratanya lebih berkisar kepada persoalan remeh-temeh.

“Ini menyebabkan solat Jumaat sekadar jadi memenuhi adat sahaja,” bidas beliau lagi.

Sikap pemerintah yang terlalu pesimis terhadap golongan agama, terang beliau, telah menyebabkan masyarakat menganggap kalau ada kuliah tentang hudud atau teguran terhadap tindakan sesuatu pemimpin kerajaan yang menganjurkan program yang bertentangan dengan syarak, maka mereka akan terus dituduh sebagai ‘pembangkang atau penyokong pembangkang’.

“Akibat sikap tidak professional institusi agama inilah menyebabkan wujudnya sikap negatif yang mendalam kepada apa sahaja yang berkaitan agama,” tambah beliau.

Dalam isu murtad yang menjadi hangat kebelakangan ini, Tuan Ibrahim secara kesal menyatakan bahawa isu ini telahpun digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

Katanya lagi, golongan berkepentingan ini hanya ingin menuding jari mencari salah; jauh sekali untuk berusaha agar memperbaiki kelemahan bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

“Harus diingatkan, golongan ini jugalah yang menentang segala yang dicadangkan daripada dulu lagi oleh pembangkang untuk menentang gejala murtad demi kepentingan umat Islam. Tindakan hangat-hangat tahi ayam ini adalah antara sebab kuat mengapa institusi-institusi agama ini perlu direformasikan.

“Senang kita nak tutup kelemahan kita dengan menuduh ada musuh nak mengacau kita, walaupun ada kalanya benar, tapi itu sememangnya tugas musuh... Sama seperti badan manusia, bakteria dan virus sentiasa tunggu untuk menyerang, sekiranya kita tak pastikan badan kita kuat, jangan pula kita salahkan bakteria dan virus apabila kita jatuh sakit,” beliau memberikan peringatan.

Untuk menguatkan aqidah umat Islam, kata Tuan Ibrahim, ia memerlukan satu dana yang besar, sepatutnya cukup sekiranya duit zakat digunakan sewajarnya.

“Sebenarnya dana yang kita ada di zakat amatlah besar, namun duit zakat ini tidak diagihkan sepenuhnya dan digunakan secara betul untuk menguatkan iman umat Islam terhadap Allah swt,” katanya dengan kesal.

Tiada ulasan: