KUALA LUMPUR — Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dikatakan menghina pasukan polis baru-baru ini.
Menurut Khalid, kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh,” kata beliau dipetik Bernama Online.
“Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong,” katanya selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor di sini hari ini.
“Saya rasa dia kurang buka buku sejarah atau bertanya pada mereka yang tahu mengenai sejarah tragedi itu. Dia patut pergi melawat kawasan itu dan tengok dengan mata dan kepalanya sendiri,” katanya.
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP Karpal Singh mahu Mohamad tampil memberi penjelasan kepada publik dan Barisan Nasional tidak harus diberi “meriam” untuk menjejaskan kredibiliti Pakatan Rakyat.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Karpal berkata 25 anggota polis yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong pada 1950, Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah pejuang kemerdekaan sebenar dan perkara itu tidak boleh dipertikaikan.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, ia mesti diterima sebagai dokumen sejarah bahawa serangan pengganas komunis ke atas balai polis Bukit Kepong berjaya dipatahkan oleh 25 anggota polis dan anggota keluarga mereka yang berjaya mempertahankan balai itu.
“Mereka wajar diberikan pujian oleh semua pihak, bagi keberanian dan pengorbanan mereka. Adalah salah untuk mengatakan bahawa mereka ialah pegawai British sebagaimana dikatakan oleh Mohamad seperti didakwa. Mereka adalah pejuang kemerdekaan sebenar,” kata Karpal.
“Kenyataan yang didakwa itu, sekiranya benar, bahawa pengganas komunis yang menyerang balai polis Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar negara dan bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana mereka adalah pegawai British, bukan sahaja tidak benar tetapi juga tidak bijak dan tidak sepatutnya dikeluarkan,” kata Karpal dalam kenyataan.
Katanya, adalah salah untuk mengatakan bahawa Onn dan Tuanku Abdul Rahman adalah pegawai British kerana kedua-dua personaliti telah diangkat sebagai ikon negara dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara, merupakan pejuang kemerdekaan sebenar yang tidak boleh diragui dan dipertikaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan