HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2011

Kaut untung dengan Komsas

Penulis memberi panduan komprehensif kepada penerbit yang bercadang menganiaya penulis menjelang 2021.




Anda mungkin antara penerbit yang gagal mendapat sebarang kontrak/tender dalam projek teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) 2011-2020.

Sekali gus anda sudah hilang peluang keemasan mengaut untung dengan menindas, memperdaya dan memanipulasi penulis yang menghasilkan karya menggunakan keringat dan kreativiti.

Usah risau! Berikut panduan berguna berdasarkan pelbagai sumber serta amalan dalam industri penerbitan di Malaysia. Jika dipraktikkan, pasti anda juga akan untung besar sebaik teks Komsas baru diperkenalkan pada 2021.

Tender dijangka dibuka seawal tahun 2016. Maknanya, anda perlu menyusun strategi licik dan tidak bermoral mulai saat ini.

Panduan Kepada Penerbit

Mulakan dengan membeli manuskrip secara “outright purchase” daripada penulis. Minta, pujuk, paksa atau ugut penulis supaya menandatangani dokumen yang boleh dijadikan bukti bahawa si penulis bodoh itu sudah menjual hak cipta karya kepada anda.

Bagi sebuah novel, jangan bayar lebih daripada RM350 dan bagi sebuah cerpen pula RM40. Itulah amalan dalam industri dengan merujuk pada kes Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Untuk sajak yang panjangnya sekadar satu halaman, RM20 pun sudahlah.

Pastikan anda turut menyelitkan satu “surat izin” bersama-sama dokumen yang ditandatangani penulis. Surat izin itu perlu menyatakan bahawa si penulis bodoh itu memberi izin kepada Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran untuk menyunting dan menerbitkan semula karya berkenaan sebagai teks Komsas pada masa hadapan.


Pengarah Urusan Sasbadi Sdn Bhd, Encik Law King Hui (gambar) memberitahu saya bahawa peraturan “surat izin” itu diusulkan dan diperjuangkan oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) bagi teks Komsas 2010-2020 dalam usaha menjaga kebajikan penulis.

Ada penerbit yang “sangkut” dengan syarat wajib itu. Misalnya, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said memberitahu saya bahawa beliau dan Wira Bukit Sdn Bhd tidak memberi izin menerbitkan semula sebuah sajaknya dalam teks Komsas 2011-2020. Lalu, sajak itu terpaksa digugurkan.

Jangan gunakan Bahasa Malaysia pada sebarang surat, dokumen, kontrak dan perjanjian yang perlu ditandatangani penulis. Abaikan soal bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Berikan sahaja alasan yang selalu diberikan pemimpin dan bekas pemimpin tertinggi tertentu: “Bahasa Malaysia tidak ada nilai komersial dan tidak berciri global.”

Jangan gunakan Bahasa Inggeris atau Sanskrit kerana terlalu banyak istilah bahasa-bahasa itu “dipinjam tak pulang” dalam Bahasa Malaysia dan anda terpaksa menanggung risiko jika penulis atau warisnya berjaya memahami kandungan dokumen yang ditandatangani! (“Saya nak guna bahasa Hebrew sahajalah!”)

Apabila kontrak/tender dibuka pada 2016 nanti, tolong jangan (ulang: jangan!) kemukakan karya yang syarikat anda terbitkan tetapi hak cipta karya itu masih dipegang penulis. Jika anda melakukan kesilapan itu, maka anda mungkin terpaksa membayar royalti selama 10 tahun kepada si penulis. (“Apa penulis itu fikir, duit itu bapak dia yang punya?”)

Jangan tersilap memilih karya mana-mana Sasterawan Negara. Ingat: Mereka menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong dan anda tentu tidak mahu baginda murka apabila mendapat tahu bahawa anda menganiaya SN yang dimuliakan dan disanjung tinggi di Malaysia.

Jangan tersilap memilih karya saya kerana anda sengaja mengundang bala! (“Saya tidak sebodoh itu!”)

Jangan membazir masa dan tenaga memilih karya sastera yang benar-benar bermutu, berbobot, indah, berjiwa Bangsa Malaysia, memupuk perpaduan dan sebagainya. Pilih mana-mana teks yang sudah dibeli secara “outright purchase” sahaja. (“Ada aku kisah apa itu nilai sastera?”)

Anda perlu bersedia untuk belanja orang tertentu di kementerian tertentu, panel tertentu dan badan berkanun tertentu minum kopi. Yalah, masakan anda nak ajak mereka berbual-bual dan mengeratkan silatulrahim tanpa dihidangkan kopi! Tak kenal, maka tak cinta.

Mesrakan diri anda dengan pegawai dan penyunting di Menara DBP kerana mengikut amalan semasa, DBP menerbitkan antologi puisi/cerpen/prosa tradisional yang dijadikan teks Komsas seluruh negara.

Tapi awas! Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz sudah memperkenalkan peraturan ketat menghalang kakitangan minum di kafe pada waktu kerja. (“Boleh saya bawa kopi 3-in-1?”)

Kalau ada ruang dan peluang, cubalah juga berkenal-kenalan dengan tokoh-tokoh yang terlibat dalam panel pemilihan teks Komsas. Bolehlah anda menggunakan peluang minum kopi itu untuk menceritakan kehebatan karya-karya yang syarikat anda kemukakan.

Jangan lupa bahawa terdapat tiga peringkat panel pemilih; belum termasuk pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum (CDC) yang membuat keputusan akhir. (“Banyaknya kopi yang perlu saya minum dalam usaha mengeratkan silatulrahim!”)

Jangan jadi “bodoh” macam Sasbadi Sdn Bhd yang tidak pernah membeli manuskrip secara “outright purchase”; sebaliknya berkongsi royalti sama rata bersama penulis apabila karya yang diterbitkan syarikat itu terpilih sebagai teks Komsas. (“Elok Encik Law buka rumah kebajikan!”)

Jangan ikut budaya dan amalan Dato’ Hussamuddin Yaacub (Kumpulan Media Karangkraf) dan Encik Koh Yok Hwa (Gemilang Publishing Sdn Bhd). Saya mengenali mereka secara peribadi dan berani memberi jaminan bahawa mereka “takut” pada Tuhan serta tidak mungkin tergamak menganiaya penulis. (“Eloklah mereka berdua juga buka rumah kebajikan!”)

Untuk makluman, Encik Law adalah bekas presiden Mabopa dan Dato’ Hussamuddin pula memegang jawatan berprestij itu sekarang. Jangan risau jika syarikat anda menjadi ahli Mabopa. Saya sudah meneliti Perlembagaan Mabopa dan mendapati ia tidak memberi “kuasa” kepada Mabopa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap anda dalam isu yang kita bicarakan.

Jangan ada walau sedikit perikemanusiaan, pegangan agama, moral dan etika dalam diri anda dan kakitangan syarikat. Anda perlu berani mencekik penulis dan menghisap darah mereka sampai kering.

Pastikan anda baca, hafaz dan faham sepenuhnya Akta Hak Cipta. Bukan untuk membela hak penulis tetapi untuk mencari lubang sekiranya kes anda dibawa ke mahkamah. (“Saya ada peguam!”)

Anda perlu bijak memanipulasi dan memperkuda Kementerian Pelajaran supaya pegawai kementerian itu hanya mampu memberikan jawapan “Kami tidak boleh buat apa-apa untuk tolong” jika dihubungi si penulis bodoh yang menyedari dirinya dianiaya.

Panduan kepada penulis

Untuk kononnya berlaku adil kepada golongan penulis, berikut saya paparkan panduan yang tidak seberapa dan mungkin sahaja tidak berguna kepada anda.

Baca dan fahami panduan-panduan yang diberikan kepada penerbit seperti di atas supaya anda tahu “corak permainan” mereka.

Jangan lupa bahawa Tuhan menganugerahkan anda seorang insan bernama Nisah Haron – penulis, pengamal undang-undang dan aktivis hak cipta. Hubungi beliau untuk sebarang nasihat sebelum terlewat. Jadikan buku ‘Karya Kita Hak Kita’ (2007) tulisan Nisah sebagai teks wajib jika anda mahu menggelarkan diri anda “penulis”.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) juga sedia membantu penulis yang teraniaya dalam soal royalti teks Komsas. Bendaharinya, Haji Hamzah Hamdani yang juga Ketua Satu Persatuan Penulis Selangor (PPS) memberitahu saya berita gembira itu baru-baru ini.

Pengarah Urusan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Encik Arief Hakim Sani Rahmat menghubungi saya dan menyatakan, beliau sedia membantu penulis yang memerlukan nasihat dan panduan.


Peguam OKU dari Kota Bharu, Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof juga sedia membantu penulis yang “buta” soal hak.

Saya percaya ada banyak lagi pihak yang turut sedia membantu. Tapi awas! Khabarnya ada sebuah persatuan penulis yang meminta komisyen sehingga 50 peratus untuk membantu penulis yang teraniaya. (“Ini baru betul-betul teraniaya!”)

Anda juga boleh menghubungi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya sebelum 2020 untuk mendapatkan perkhidmatan percuma dalam isu-isu berkaitan hak cipta, harta intelek dan tuntutan royalti.

Ingat: Kalau anda tersilap langkah dan sudah menjadi mangsa penerbit yang licik – seperti kes lima rakan penulis yang cuba diuruskan oleh Kavyan – maka Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran dan kerajaan sendiri hampir tidak mampu berbuat apa-apa.

Kecuali jika kerajaan “berubah” menjelang 2021 apabila teks baru Komsas diperkenalkan. Sama-sama kita doakan hanya yang terbaik sempena Aidilfitri.

Turut baca:

Surat rayuan terbuka kepada Muhyiddin Yassin

Komsas: Penulis teraniaya

Uthaya Sankar SB seorang penulis sepenuh masa yang gemar membaca buku dan menonton filem. Beliau suka tidur kalau ada masa lapang.

Tiada ulasan: