Oleh Dinsman
WACANA mengenai persoalan wujudkah Sistem Ekonomi Islam dalam Wacana Budaya beberapa keluaran lalu rupa-rupanya telah menjentik pemikiran beberapa orang sahabat.
Rahman Shaari pun memberi respons SMS kepada saya setelah agak lama tidak SMS. Prof Shaharir Mohd Zain pun memaklumkan dia akan menulis untuk menjawab tanggapan salah yang mengatakan tidak ada Sistem Ekonomi Islam itu.
Sementara itu, saya pun sempat melontarkan sedikit persoalan itu sewaktu berbicara mengenai buku “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz” dalam acara Persatuan Anak-Anak Kelantan di Perantauan (Perakan), di Kelana Jaya, akhir Julai lalu. Dan selepas itu persoalan itu terus berbangkit dalam beberapa perbincangan dengan kawan-kawan.
Isu Jais dan gereja Damansara Utama itu pun turut membangkitkan juga persoalan ini. Orang mempersoalkan pihak yang beriya-iya nak ‘berperang’ dengan pihak gereja yang kononnya melanggar undangundang hendak memurtadkan orang Islam, dengan hujah: kenapa isu ini diperbesar-besarkan sedangkan isu riba yang dibesarkan oleh Allah Taala sendiri itu tidak dipedulikan?
Bukankah Allah Taala sendiri telah mengisytiharkan perang dengan orang yang enggan meninggalkan riba?
Soal riba adalah satu soal yang sangat penting dalam Islam, hingga Allah mengisytiharkan perang dengan orang yang enggan mematuhi hukum tersebut. Tetapi kenapa ia dipandang remeh dan enteng oleh umat Islam hari ini?
Ya, betul beberapa orang pemimpin kita sering bercakap mengenainya. Tetapi sekadar bercakap sahajakah yang kita mampu buat? Lepaskah kita daripada murka Allah yang mengancam akan berperang dengan orang yang degil terhadap perintah-Nya itu?
Ya betul kita telah mewujudkan sistem kewangan Islam dan sistem perbankan Islam yang dikatakan tidak menggunakan sistem riba. Tetapi apakah dengan sedikit usaha itu kita sudah berpuas hati walaupun kita tahu yang usaha tersebut masih belum sempurna dan masih belum selesai?
Unsur riba masih lagi tidak terhapus dalam sistem kewangan Islam yang telah kita bina setakat ini. Maknanya sistem perbankan Islam yang ada itu tidak berjaya menonjolkan dan menyerlahkan kebaikan dan keberkesanan Sistem Ekonomi Islam sebenar, berbanding dengan sistem ekonomi riba yang diamalkan secara berkesan di seluruh dunia.
Tok Guru Nik Aziz nampaknya begitu takut sekali dengan ancaman perang daripada Allah (terhadap pengamal riba itu), maka usaha memindahkan wang Kerajaan Negeri Kelantan daripada bank riba kepada bank Islam menduduki tempat paling awal dalam agenda pentadbirannya, setelah mengambil alih kerajaan Kelantan pada Oktober 1990.
Tetapi agak menghairankan, usaha itu seolah-olah berhenti setakat itu sahaja. Mengapa?
Kita tahu selain itu Kelantan juga menubuhkan sistem pajak gadai Islam Ar-rahnu, dan terus mengembangkan pelaksanaannya.
Kita juga tahu Kelantan sedang menerokai penggunaan mata wang Dinar dan Dirham, yang dipercayai nantinya akan boleh menghindari amalan riba dalam aktiviti-aktiviti kewangan. Tetapi apakah itu sahaja sudah mencukupi, sedangkan kita amat maklum yang amalan riba dalam aktiviti perdagangan dan kewangan kita semakin mencengkam dan menindas kehidupan rakyat?
Di pihak yang lain pula, seperti saya sebut dalam WB terdahulu itu, kawan saya penganut sosialis tegar itu masih tidak nampak kepadanya akan keberkesanan apa yang kita dakwa sebagai wujudnya Sistem Ekonomi Islam. Saya berterima kasih kepadanya kerana dia mengingatkan kita akan hakikat ini. Dia mengingatkan kita bahawa masih banyak lagi perkara yang mesti kita buat bagi menyerlahkan keberkesanan wujudnya Sistem Ekonomi Islam.
Cubalah kita fikirkan dan bayangkan suatu sistem ekonomi yang di dalamnya langsung tidak ada unsur riba! Berbeza sekali. Seluruh kehidupan ini akan bertukar menjadi lain sama sekali.
Bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan tidak mungkin lagi akan berdiri angkuh dan sombong seperti sekarang ini, mengawal gerak-geri manusia, di seluruh dunia. Bayangkanlah itu. Bank-bank dan syarikatsyarikat kewangan itu apakah perniagaan sebenar mereka?
Mereka berniaga dan memperniagakan wang. Satu jenis perniagaan yang diharamkan oleh Islam. Sedangkan inilah perniagaan yang paling maju dan besar sekarang.
Lihat sahaja landskap bandar raya Kuala Lumpur misalnya, bangunanbangunan apakah yang paling menonjol? Bangunan bank dan kewangan. Hasil daripada perniagaan yang diharamkan oleh Islam itu.
Ini sahaja pun sudah membuktikan kepada kita bahawa cara hidup yang kita lalui sekarang ini adalah tidak okey. Kita membenarkan suatu unsur yang diharamkan oleh Islam itu mengawal kehidupan harian kita.
Ya, memang ia sudah menjadi sebahagian daripada apa yang dikatakan kehidupan normal manusia hari ini. Hidup bergelumang dalam sistem yang diharamkan dan diperangi oleh Allah. Dan kita boleh berasa selesa begitu. Masya-Allah!
Itu belum lagi kita masuk ke dalam bab zakat, dan perkatakan sejauh mana keberkesanan amalannya dalam masyarakat Islam hari ini. Beberapa orang kenalan membangkitkan soal ini (melalui SMS dan e-mel) berikutan isu Jais-gereja yang dikatakan ada kaitan dengan ketidak-berkesanan pengagihan zakat oleh pihak institusi-institusi zakat kita.
Dan itu mengingatkan saya sejak beberapa tahun lalu beberapa orang tokoh ekonomi kita ada mengatakan sekiranya institusi zakat, waqaf dan baitulmal di negara kita ini diurus tadbir dengan baik dan cekap, taraf ekonomi masyarakat Islam sudah berjaya ditingkatkan ke taraf yang lebih tinggi dan disegani.
Maka sempena bulan Ramadan yang meluangkan lebih banyak waktu untuk kita beriktikaf dan merenung semula kehidupan kita, marilah kita duduk sekejap merenung dan memikirkan semula kehidupan kita – apakah maknanya Allah mengisytiharkan perang dengan orang yang mengamalkan riba itu?
Dalam suasana kehidupan hari ini yang perang wujud di manamana, kita pun terlupa akan suatu ancaman perang dari Allah SWT itu. Maka dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan ini marilah kita fikirkan semula perkara ini, dan marilah kita samasama berusaha bagi menghapuskan unsur riba yang jahat itu daripada kehidupan.
Mereka yang semangatnya berkobar-kobar hendak berjuang demi kesucian agama Islam itu, marilah kita sama-sama menyusun strategi untuk keluar daripada zon perang yang telah lama diingatkan oleh Allah ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan