HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Ogos 2011

Najib tersepit antara populariti menurun dengan harapan reformasi sistem pilihan raya yang melambung

Lim Hong Siang


Perdana Menteri Najib Razak kini tersepit di antara pola popularitinya yang semakin menurun, dengan harapan reformasi sistem pilihan raya yang semakin melambung, seandainya dikupas satu hasil soal selidik yang dikendalikan Merdeka Center, baru-baru ini.

Menurut soal selidik yang dijalankan antara 11 hingga 27 Ogos 2011 ke atas 1,027 orang responden, tahap kepuasan Najib Razak (gambar kiri) memperlihatkan pola menurun sejak Mei 2010, malah jatuh sebanyak 6% kepada 59% - buat kali pertama di bawah paras 60% dalam tempoh dua tahun, sejak September 2009. Najib mencatat kemuncak popularitinya di paras 72% pada Mei 2010, dan seterusnya menunjukkan pola menurun.

Jatuh pada magnitud yang besar

Populariti seseorang PM pada paras 67% (dua pertiga) mungkin boleh dianggap "agak selamat", dan "naik-turun"-nya di sekitar angka ini dilihat biasa. Namun, seandainya data soal selidik ini diteliti, maka Najib perlu berhati-hati dengan pola ini. Tahap puas hati terhadap Najib jatuh 3% dalam 6 bulan (Mei-Nov 2010), kemudian jatuh lagi 2% dalam empat bulan (Nov 2010 - Mac 2011), 2% lagi dalam dua bulan seterusnya (Mac-Mei 2011). Tiga bulan kemudian, tahap puas hati terhadap Najib jatuh 6%, bermakna 2% dalam sebulan secara puratanya.

Namun, peratusan tidak puas hati (disapproval rate) terhadap Najib tidak meningkat secara mendadak. Peningkatannya hanya 6% dalam tempoh setahun, dari Mei 2010 (21%) hingga Mei 2011 (27%), malah kekal di 27% pada Ogos 2011. Ia mungkin memberi tafsiran bahawa golongan atas pagar yang pada asalnya cenderung untuk menyokong Najib, kini mengubah fikirannya.

Malah, seandainya dianalisa mengikut kaum, tahap puas hati terhadap Najib dari kalangan kaum Melayu jatuh ke bawah paras 70% buat kali pertama sejak Disember 2009; sementara tahap puas hati dari kaum Cina pula mencatat 38%, 11% lebih rendah berbanding hasil soal selidik tiga bulan yang lalu. Penurunan tahap puas hati dari kalangan Cina mungkin sesuatu yang diduga, namun asakan retorik perkauman terhadap kaum Melayu nampaknya tidak memberi kesan positif untuk Najib - sesuatu yang mungkin di luar jangkaan ramai. Perlu diambil perhatian bahawa 51% daripada responden tidak terdedah kepada maklumat internet, dan hanya 29% responden mendapat pendidikan tinggi.

Najib mengambil alih tampuk kerajaan dengan tahap puas hati pada paras terendah, iaitu 34% ketika soal selidik diumumkan pada Mac 2009. Tahap puas hati ini melonjak setelah beberapa bulan Najib mentadbir, menurun semula pada September 2009 (56%), dan pasang surut mengikut isu selepas itu.

Impak BERSIH 2.0

Di samping itu, meskipun gerakan BERSIH 2.0 ditohmah dan dikecam dalam media arus perdana kawalan UMNO-BN, namun tuntutan reformasi sistem pilihan raya oleh gabungan tersebut mendapat sambutan positif daripada rakyat, menurut hasil kaji selidik ini. 49% responden mendakwa dirinya memahami tuntutan BERSIH 2.0, sementara 48% responden tidak berpuas hati dengan pendekatan kerajaan mengendalikan isu BERSIH 2.0.

Lebih penting, kesemua empat soalan yang diajukan Merdeka Center berkenaan reformasi sistem pilihan raya, dipersetujui lebih daripada dua pertiga responden, termasuklah penggunaan dakwat kekal (70%), akses media arus perdana untuk semua parti politik (68%), pembersihan senarai daftar pemilih (88%) dan membenarkan pemerhati asing (70%).

Dengan kata lain, kebanyakan responden menyedari kepincangan sistem pilihan raya yang sedia ada, malah menyokong tuntutan BERSIH 2.0 untuk reformasikan sistem ini.

Masalah inflasi rakyat


Selain itu, kenaikan harga barangan menjadi masalah yang paling penting dihadapi bersama oleh ketiga-tiga kaum terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia. Selain masalah inflasi, kaum Melayu meletakkan gejala sosial sebagai isu yang kedua penting; sementara Cina pula bimbang dengan masalah keselamatan, dan kaum India lebih resah dengan masalah gaji rendah dan kekurangan peluang pekerjaan.

Seandainya hasil soal selidik Merdeka Center ini mampu menggambarkan realiti sebenar, maka mereka yang mahu membacanya dalam perspektif politik akan tertanya-tanya, apakah masa yang paling sesuai untuk Najib mengadakan PRU ke-13? Sebelum populariti Najib sempat jatuh semula ke jurang, atau memberi masa yang lebih agar imejnya digilap semula? Persoalannya, mampukan Najib melonjakkan popularitinya tanpa reformasi sistem pilihan raya?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Analisa ini ditulis berdasarkan data daripada hasil soal selidik Merdeka Center.

Tiada ulasan: