HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2011

TINGGALKAN BN JIKA ’BERLIDAH’ PEMBANGKANG


Oleh : JAYANTHI GEETA SUKUMARAN


PRESIDEN LDP, Datuk Liew Vui Kiong disaran membawa partinya meninggalkan Barisan Nasional serta merta kerana ’berlidah’ pembangkang dan tidak lagi menjaga adab sopan dan semangat perjuangan Barisan Nasional dengan menghentam pemimpin Sabah secara terbuka di media massa dan majlis rasmi parti berkenaan.

”Jika mereka berperangai dan bersifat seperti pembangkang, maka jadilah pembangkang 100 peratus dan bukannya pengkhianat kepada Barisan Nasional dan menjadi agen kepada pembangkang,” kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sepanggar, Yakub Khan ketika menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi.

Yakub mengulas kenyataan V.K.Liew dan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin kerana sejak akhir-akhir ini begitu lantang mengkritik pemimpin BN Sabah, terutama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Tegas Yakub, LDP sudah tidak relevan berada di dalam BN Sabah kerana tidak lagi mengamalkan semangat Barisan Nasional yang membuat keputusan secara konsensus dan menyelesaikan sesuatu isu secara musyawarah.

”Pemimpin LDP patut sedar bahawa mengkritik pemimpin BN secara terbuka bukan sahaja mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan parti komponen lain, malah membuka pintu yang amat luas kepada pembangkang untuk memecahbelah perpaduan yang sedia wujud; malah menimbulkan sengketa kerana sudah pastinya akan berlaku perebutan kerusi dan tuntutan yang di luar batasan,” ujar Yakub yang kesal dengan tindakan pemimpin LDP, bagaikan kacang lupakan kulit.

Tiba masa dan ketikanya, kata Yakub, Presiden LDP sewajarnya cermin diri dan insaf di atas kedaifan LDP yang hanya melukut di tepi gantang UMNO kerana kemenangan semua kerusi LDP adalah atas ehsan, sokongan dan simpati undi ahli dan pemimpin UMNO.

”Tanpa UMNO dan parti komponen BN yang lain, LDP hanyalah ’Parti Lintah Darat’ (Lintah Darat Parti) iaitu menjadi lintah yang hanya tahu menghisap darah dan tidak lagi layak mendakwa mewakili masyarakat Cina,” ujar Yakub yang kesal kerana V.K.Liew salah mengemudi LDP sehingga menjadi Parasit di dalam BN.

Sehubungan itu, Yakub menggesa agar LDP kembali ke pangkal jalan atau meninggalkan BN jika ingin terus bersengketa kerana melancarkan perang dingin dari dalam sehingga menimbulkan huru-hara di kalangan parti komponen BN.

”Jika benar LDP mendakwa sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina dan berpengaruh, mereka harus buktikan di dalam pilihanraya umum akan datang; kerana sikap menikam BN dari belakang adalah tindakan tidak bermaruah,” tegas Yakub lagi.

Para pemimpin LDP yang ada sekarang, kata Yakub tidak layak mendakwa mewakili LDP kerana mereka dilantik dan bukannya dipilih oleh ahli perwakilan parti.

”Pemimpin ’Syok Sendiri’ dalam LDP, termasuk V.K.Liew mendabik dada dan lupa daratan sehingga tidak sedar bahawa lebih 80 peratus ahli LDP tidak menyokong mereka dan kini LDP berada di ambang kehancuran,” kata Yakub yang mendedahkan ramai pemimpin akar umbi LDP ingin meninggalkan parti berkenaan yang hanya memperjuangkan kepentingan diri dan kroni; tanpa mempedulikan kebajikan dan kepentingan ahli.

Tiada ulasan: