HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Ogos 2011

MCA Selangor: Jais tiada hak masuk gereja


PETALING JAYA – MCA meneruskan tekanan ke atas Pakatan Rakyat Selangor berhubung tindakan pihak berkuasa agama menyerbu sebuah gereja dekat Petaling Jaya sambil mendakwa pentadbiran kerajaan negeri berlengah-lengah dalam isu walaupun hampir satu bulan sudah berlaku.

MCA Selangor berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tiada kuasa untuk memasuki Gereja Methodist Damansara Utama awal bulan ini tanpa waran atau perintah mahkamah, dan mempersoalkan sikap DAP yang dikatakan membisu dalam isu tersebut.

“Jais tiada hak untuk memasuki gereja melainkan mereka ada perintah mahkamah. Sehingga kini, DAP tidak membuat apa-apa kenyataan. Di mana Teresa Kok?” kata Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai dengan merujuk kepada DAP, komponen Pakatan Rakyat.

Lim menambah, DAP dan PKR perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu tersebut.

“Jika mereka buat kesilapan, kata sahaja anda sudah lakukan kesilapan,” katanya lagi.

“Sebaliknya, mereka mempersalahkan Barisan Nasional (BN) mendalangi tindakan Jais.

“Mereka ada tanggungjawab untuk memaklumkan kepada publik, agar mereka tahu siapa yang mereka boleh mengundi dalam pilihan raya akan datang,” kata Timbalan Menteri Kewangan ini.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu pada 3 Ogos lalu.

Tindakan Jais itu mendapat bantahan banyak pihak namun dipertahankan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menegaskan terdapat usaha untuk memurtadkan umat Islam dalam program itu.

Susulan siasatan Jais, kerajaan negeri Selangor telah mengaturkan satu pertemuan Jawatankuasa Pendengaran, diketuai oleh Menteri Besar Selangor di Shah Alam minggu lalu.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid dan timbalannya Datuk Abd Majid Omar.

Panel tersebut ditubuhkan untuk menyelesaikan segala pertikaian yang berlaku ekoran isu tersebut.

Tiada ulasan: