KUALA LUMPUR — DAP menggesa kerajaan menghukum mereka yang bertanggungjawab menyiarkan satu laporan menerusi saluran TV1 semalam — didakwa mengaitkan satu laman sosial Facebook menggalakkan murtad di kalangan Muslim dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Saluran milik kerajaan itu menyiarkan bahan berkaitan kumpulan Facebook “Murtads in Malaysia and Singapore” menerusi segmen berita perdana 8 malam tadi, mengaitkan pemimpin-pemimpin seperti Tan Kok Wai, Charles Santiago, Dr Boo Cheng Hau dan Ean Yong Hian Wah.
Malah, laporan itu mendakwa Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim sebagai seorang penyokong kumpulan tersebut.
Kandungan laporan itu mendakwa pemimpin-pemimpin itu sebagai anggota kumpulan tersebut.
Laporan itu memetik Setiausaha Gabungan NGO Malaysia Jurit Ramli berkata, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera kononnya memurtadkan Muslim sebagai ancaman yang sebenar.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua (gambar) berkata, menjadi tanggungjawab Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memastikan mereka yang bertanggungjawab menyiarkan bahan itu dipecat dengan segera.
“TV1 sangat tidak beretika dalam menyiarkan laporan itu tanpa memastikan kesahihan maklumat dengan pihak-pihak relevan yang dikaitkan oleh laman Facebook terbabit, memandangkan mereka merupakan pemimpin Pakatan Rakyat yang boleh dihubungi dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pua berkata, TV1 kelihatan jahil ataupun enggan mengetahui bahawa fungsi ‘add to group’ dalam Facebook tidak boleh menghalang pentadbir kumpulan daripada menambah anda dengan mana-mana kumpulan.
Oleh itu katanya, mereka yang didakwa sebagai penyokong laman sosial itu tidak berhasrat atau tidak tahu bahawa mereka telah menyertai kumpulan tersebut.
Ahli Parlimen itu menambah, saluran tersebut memilih untuk menyebarkan berita palsu dengan menekankan kononnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat kumpulan berkenaan sedangkan ia sepatutnya mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab mengaitkan kepimpinan perikatan itu.
Pua juga mendakwa, media dikawal umno memilih arah aliran liputan berita sedemikian selepas langkah yang sama diambil oleh TV3 pada 21 Ogos kononnya sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama mahu memurtadkan Muslim.
Aduan dibuat oleh Surau Al-Musyrikin ke atas pusat tuisyen itu dan ia telah ditutup sejak itu.
Wakil rakyat dari Petaling Jaya Utara ini mendakwa Barisan Nasional (BN) memilih untuk menyebabkan ketegangan kaum sebagai salah satu cara untuk kekal berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kami amat mengecam tindakan stesen-stesen TV ini dan mahu Datuk Seri Dr Rais Yatim memohon maaf bagi pihak stesen-stesen TV yang membuat laporan palsu dan bersifat hasutan,” katanya lagi sambil menambah, Rais seharusnya mengadakan satu siasatan dengan segera berhubung sikap tidak profesionalisme TV1 dan TV3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan