HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Ogos 2011

28,000 boleh tunai haji tahun ini


haji


PUTRAJAYA – Lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menunaikan ibadat haji pada tahun ini setelah kerajaan Arab Saudi bersetuju menambah kuota jemaah haji negara ini kepada 28,000 berbanding 26,000 tahun lalu.

“Tambahan jemaah sebanyak 2,000 itu adalah sesuatu yang memadai kerana lebih ramai rakyat negara ini berpeluang mengerjakan haji pada tahun ini yang dijangka bermula bulan depan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kerajaan Arab Saudi telah memberikan persetujuan itu dalam rundingan dengan kerajaan Malaysia yang diwakili Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi, baru-baru ini.

“Tabung Haji masih mengekalkan kosnya iaitu sebanyak RM9,980 seorang walaupun kita bercadang memohon kuota tambahan bagi membolehkan seramai mungkin rakyat Malaysia menunaikan haji.”

Ujarnya lagi, sehingga kini terdapat lebih 5.5 juta pendeposit Tabung Haji termasuk hampir 400,000 daripadanya mempunyai simpanan mencukupi dan layak memohon untuk menunaikan ibadah haji pada musim ini, namun Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada mereka yang sudah berusia dan kali pertama menunaikan haji.”

Berdasarkan apa yang dipersetujui Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Menteri Haji Arab Saudi, kuota bagi setiap negara Islam menghantar jemaah ialah 0.1 peratus daripada jumlah rakyatnya yang beragama Islam di negara berkenaan.

“Di Malaysia ini unik kerana kerajaan Arab Saudi memberikan kuota mengikut 0.1 peratus berdasarkan jumlah keseluruhan lebih 28 juta rakyatnya termasuk mereka yang bukan beragama Islam menyebabkan lebih ramai umat Islam berpeluang menunaikan rukun Islam kelima,” terangnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu bernilai hampir RM400 juta berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, di sini, kelmarin.

Kompleks ini akan dimajukan anak syarikat Tabung Haji, Tabung Haji Properties yang dijangka siap pada 2014 bagi menempatkan lebih lapan jabatan dan agensi agama Islam di bawah satu bumbung termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor; Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman adalah antara yang hadir.

Tiada ulasan: