HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2011

Lynas: Tangguh operasi, tunggu pakar

Harakahdaily


KUALA LUMPUR- Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan mencadangkan agar kerajaan Malaysia mengarahkan Kilang Lynas Corporation menghentikan terlebih dahulu operasi mereka di Gebeng, sehingga pertikaian berkaitan keselamatan oeperasi itu diputuskan oleh semua pakar.

Menulis dalam ruangan kolumnya di Harakahdaily Nasrudin berkata, tempoh masa itu perlu bagi memberi laluan kepada semua pakar berbincang dan mengkaji dan mengeluarkan rumusan konkrit berhubung isu itu.

"Bukan hanya melibatkan pakar nuklear, tetapi juga pakar racun, pakar alam sekitar, pakar kesihatan, pakar ekonomi, pakar undang - undang dan lain-lain pakar yang berkaitan termasuk pakar politik serta pemantau bebas antarabangsa," katanya.

Selain itu, beliau juga akan mengatur perbincangan dengan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS(Juham), untuk berusaha mendapatkan arahan mahkamah agar Kilang Lynas yang penuh dengan kontraversi ini ditangguhkan operasinya sehingga jelas kedudukannya di mata rakyat.

Beliau mengutarakan cadangan sedemikian berikutan keadaan saling 'serang menyerang' antara beberapa pihak yang tidak sependapat berhubung isu keselamatan operasi kilang memproses nadir bumi di Gebeng tersebut.

PAS melalui Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar parti itu sebelum ini menyatakan pendirian mereka untuk bersama rakyat di Kuantan menentang operasi Lynas tersebut kerana dikhuatiri memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang kepada masyarakat sekitar.

Selain itu, PAS juga menubuhkan Badan Bertindak Anti Rare Earth (Badar) bagi meneliti isu tersebut yang juga menyatakan pendirian menolak operasi Lynas itu.

TV3 dalam beberapa siri laporan mereka di Buletin Utama baru-baru ini pula tampil menghentam Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga dilihat tegar menolak projek Lynas tersebut.

Mereka juga membawa pakar atom PAS, Dr Che Rosli Che Mat yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat memberi pandangan yang agak berbeza dengan pendirian Pas dan Fuziah.

Bagaimanapun kata Nasrudin, perbezaan pendapat yang diutarakan Dr Che Rusli tidak harus dilihat sebagai pertentangan dengan parti kerana beliau bercakap berasaskan ilmu serta kepakaran bidang yang beliau miliki.

"Kita sewajarnya menghormati ilmu beliau. Jangan bergaduh dengan beliau dan sabarlah dengan perbezaan ini serta bertindaklah sebaik mungkin.

"Pandangan berbeza ini insyaallah akan membuka lebih lebar ruang perbahasan, lebih mendalam perbincangan dan lebih detail atau jelas butir perdebatan.

"Harapan saya selepas ini, akan terungkaplah segala keraguan. Setelah seorang Pakar mengemukakan pandangan beliau yang dilihat sebagai menyongsang arus, maka saya juga yakin, skuad Badan Bertindak Anti Rare Earth [BADAR] akan melipat gandakan pengumpulan maklumat, bahan bukti serta fakta kes bagi menjelaskan lagi kedudukan Lynas Corporation ini," katanya.

Tiada ulasan: