HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2011

PUASA, RAYA DAN IBLIS

RONTOG DAILY

Sebulan lamanya kita berpuasa.

Sepanjang siang hari-hari Ramadan itu kita bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga daripada melakukan apa sahaja yang boleh membatalkan puasa.

Perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa pun, seboleh-bolehnya cuba kita elak – terutama dalam dua tiga hari pertama Ramadan. Selepas dua tiga hari itu, selepas bahang awal Ramadan mula sejuk sedikit, kita mungkin kembalii’ter’ melakukan itu dan ini yang secara logiknya boleh mengurangkan pahala puasa.

Alah biasa tegal biasa. Bagi orang yang biasa melakukan dosa, tentulah tidak merasa apa-apa kalau sesekali ‘ter’ melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan pahala.

Apa pun secara umumnya kita memang sayangkan puasa kita. Kita berasa cukup malu dan bersalah jika tidak melakukannya, walaupun kita tidak pula berasa demikian jika tidak menunaikan solat lima waktu.

Pelik?

Mungkin. Tapi, pelik atau tidak, itulah kita.

Kita yang sama ini jugalah akan berubah wataknya dalam sekelip mata sebaik saja Syawal menjelang. Kita dengan mudah akan melupakan segala perjuangan menahan nafsu sepanjang Ramadan dan kita gantikan pula dengan mengikut nafsu.

Maka segala jerih dan penat, segala tabah dan sabar sepanjang Ramadan kita punahkan.

Jarang sangat kita tidak menyambut Syawal tanpa dipengaruhi telunjuk nafsu. Sederhana kita selalunya hanya di bibir sahaja.

Kita tahu sepanjang Ramadan, iblis ditambat. Dan selepas Ramadan berlalu, ia dibebaskan. Jadi, apabila kita keterlaluan meraikan kedatangan Syawal (atau pemergian Ramadan) secara tidak langsung bermakna kita meraikan pembebasan iblis.

Kenapa?

Mungkinkah kerana ia menjadi semakin akrab dan semakin mesra dengan kita atau kerana kita memang sebahagian daripadanya? – HM

Tiada ulasan: