HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2011

Jangan anggap bukan Islam musuh - MB Selangor



SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengajak umat Islam agar memperbetulkan pandangan salah sesetengah mereka yang menganggap orang bukan Islam sebagai ancaman malah mengambil sikap bermusuhan dengan mereka.

"Semua ini hanya akan memberikan imej negatif kepada ajaran Islam yang mendokong keadilan untuk semua. Sesungguhnya usaha memecah-belahkan masyarakat dengan alasan tidak benar adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Ajakan itu dibuat beliau dalam perutusan sempena Aidil Fitri yang dijangka akan disambut umat Islam esok.

Menurut Khalid, meskipun Aidilfitri ini disambut khusus oleh penganut agama Islam, itu tidaklah menjadikan mereka bersikap eksklusif.

"Maka, ambillah peluang ini untuk kita berkongsi pengetahuan tentang hal ehwal yang dituntut oleh agama Islam daripada penganutnya. Semoga dengan pemahaman ini akan menggalakkan sikap tolak ansur serta keakraban kemanusiaan sesama kita," katanya.

Beliau juga menyarankan agar mereka yang memandu untuk pulang ke kampung, pastikan telah memperolehi kadar rehat yang cukup serta kenderaan mereka sudah diperiksa dan sesuai digunakan dengan selamat.

"Pandulah dengan cermat dan tidak terburu-buru. Semoga perayaan ‘Aidilfitri kali ini dapat disambut dengan jiwa yang bermuhasabah dan penuh ceria," katanya.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput seluruh rakyat di negeri Selangor menghadiri jamuan rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Dataran SUK, Shah Alam, pada tanggal 1 Syawal bermula jam 11 pagi," katanya.

Merdeka

Sementara itu, dalam perutusan sempena Hari Merdeka yang dijangka akan disambut pada hari yang sama tahun ini, Khalid menekankan kepentingan rakyat bersatu padu dengan prinsip kebebasan dan keadilan.

"Dalam permahsyoran berkenaan dijelaskan bahawa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Ia juga menekankan kepentingan rakyat bersatu padu dengan prinsip kebebasan dan keadilan," katanya.

Katanya, setelah 54 tahun Merdeka, banyak isu muncul dalam kehidupan bernegara di Malaysia dan ia menuntut kematangan pemikiran dan sikap semua pihak untuk menanganinya dengan hemah dan terbuka.

"Peluang untuk mentadbir sendiri negara yang tercinta ini perlulah dilakukan dengan cara terbaik. Kita perlu mengukuhkan iltizam memerangi rasuah, kezaliman, salah guna kuasa dan kelemahan urus tadbir yang ada," katanya dalam perutusan yang dikeluarkan pejabat beliau hari ini.

"Sesungguhnya kemerdekaan yang dikecapi bukanlah tanpa prinsip dan idea pendorong. Justeru, sempena sambutan kemerdekaan tahun ini marilah kita bersama menghayati semangat dan inti permahsyoran ini dalam mendorong kemajuan negara, di mana hak setiap warganegara berdasarkan prinsip kebebasan tadi terus dipelihara," katanya.

Kerajaan negeri Selangor, katanya, akan sedaya upaya memastikan semangat Pemahsyoran ini sentiasa didokong dalam urus tadbir kerajaan dan semasa menangani pelbagai isu yang berlaku dari semasa ke semasa.

Beliau mengajak seluruh warga negara Malaysia, khususnya di Selangor, menghayati semangat permahsyoran ini agar kehidupan bernegara dan bermasyarakat dapat berlangsung secara berprinsip dan boleh dibanggakan.- Harakah Daily

Tiada ulasan: