HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2011

PKR: Rakyat mesti dipupuk lahirkan jiwa merdeka

MALAYSIA KINI


Kemerdekaan tidak semestinya ditafsirkan sebagai bebas dari tekanan dan cengkaman penjajah tetapi merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan masyarakat, kata presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

NONE“Sehubungan dengan itu, negara sepatutnya mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dikongsi bersama tanpa membataskan kedudukan bangsa dan agama,” katanya dalam perutusan Hari Merdeka, hari ini.

Menurut Wan Azizah, pembangkang juga menuntut keadilan terbela bagi rakyat yang terpaksa menghadapi kesan kenaikan harga barang dalam kegembiraan menyambut perayaan Aidilfitri.

“Rakyat terus ditindas dengan desakan dan tekanan sara hidup yang membebankan, sedangkan pemimpin yang ada duduk gah di atas dengan sewenangnya membelanjakan hasil negara untuk kepentingan tertentu.

“Saban hari kita dipinta untuk “berkorban” dan ubah gaya hidup dalam menampung sara hidup seharian. Tetapi jutaan ringgit terus dibelanjakan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat, “ kata Wan Azizah dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan persekutuan bagi memperketat dan memantau mekanisma kawalselia harga agar keperluan rakyat dan peniaga dapat dijaga.

NONEKatanya, kemerdekaan yang diburu adalah kebebasan hati, bukan kemerdekaan yang hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang dan rakyat mesti dipupuk untuk melahirkan jiwa merdeka.

“Justeru, marilah kita sama-sama memaknai kemerdekaan ini dengan memerdekakan sepenuhnya jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman demi membina negara yang aman harmoni antara semua bangsa.

“Kemerdekaan ini juga harus menjadi asas keterbukaan khususnya kepada golongan muda yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu masa nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, PKR akan terus memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat serta membina nilai moral dan akhlak dalam pemerintahan yang telus dan efektif.

azlan“Inilah kemerdekaan total yang akan PKR perjuangkan. Membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan,memberi ruang anak muda untuk meneladani perkembangan akhlak dan moral.

“Memastikan bebanan pinjaman pelajaran kepada mahasiswa diurus dengan baik agar kecemerlangan akademi berterusan.

“Adalah menjadi satu prinsip PKR untuk membina bangsa dan negara sejajar dengan gerakan rakyat yang berhak atas negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: