HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2011

Anwar: Jangan halang kaum lain jika bantu umat Islam


PETALING JAYA — Umat Islam tidak harus menghalang kaum lain daripada menghulurkan bantuan kepada Muslim yang miskin kerana menjadi kewajiban kepada semua bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan, kata Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak harus menghalang mereka... sesiapa sahaja, mana-mana kaum, mana-mana agama daripada menjalankan atau mengambil inisiatif untuk membantu sesiapa,” kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Gereja minta agar mereka diberi kebebasan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum, di sebalik dakwaan bahawa masyarakat Kristian berusaha untuk menukar agama umat Islam menerusi kerja-kerja kebajikan.

Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor menyerbu satu majlis makan malam muhibah yang diadakan di Gereja Methodist Damansara Utama ekoran aduan bahawa ada usaha untuk memurtadkan Muslim.

Semalam, Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengumumkan penubuhan Unit Selamat Akidah yang akan bertindak sebagai platform menerima aduan dan permohonan bantuan daripada umat Islam di negeri itu.

Hasan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, penubuhan unit itu diwujudkan berikutan masalah umat Islam terutamanya berhubung “dengan persoalan kristianisasi yang kini telah menarik perhatian umum.”

“Orang-orang Islam yang dihimpit oleh kesusahan dan kesempitan hidup didapati terdedah kepada risiko meggadaikan akidah mereka demi menyambung kehidupan yang lebih baik bersama ahli keluarga.

“Pejabat ini memandang berat segala bentuk pandangan negatif terhadap apa yang sedia dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan negeri, badan-badan dan pertubuhan sukarela yang dianggap tidak banyak membantu menyelesaikan masalah golongan ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar (gambar), yang juga Ketua Pembangkang berkata, usaha untuk memudahkan penggunaan wang zakat tidak seharusnya dilihat sebagai reaksi kepada usaha pihak Kristian yang banyak diperkatakan.

“Kita ada saluran, kita ada sumber. Lakukan sahaja,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, zakat negeri seharusnya diurus dengan telus bagi memastikan bantuan bagi golongan miskin sampai di tangan mereka yang memerlukan berbanding kerugian berbilion ringgit ekoran rasuah dalam sistem pentadbiran.

Tiada ulasan: