KUALA LUMPUR — Malaysia akan bekerja rapat dengan kerajaan Australia untuk mencari jalan terbaik bagi menangani isu pencari suaka dan pemerdagangan manusia, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein susulan keputusan mahkamah awal hari ini.
Menteri Dalam Negeri berkata perjanjian antara kedua-dua kerajaan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan isu pemerdagangan manusia.
“... satu cara untuk melindungi kepentingan Australia, Malaysia dan yang utama sekali (soal) imigran yang terbabit,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan petang ini.
Hishammuddin (gambar) berkata penyeludup manusia mengeksploitasi desakan hidup dan tiada rasa hormat ke atas hak asasi individu-individu yang menjadi sasaran mereka.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Australia memutuskan perjanjian berhubung urusan pertukaran pencari suaka antara Canberra dan Putrajaya sebagai tidak sah.
Akhbar Sydney Morning Herald memetik Australian Associated Press melaporkan, Ketua Hakim Robert French memutuskan “deklarasi yang telah dibuat ... dibuat tanpa kuasa dan oleh itu tidak sah.”
Justeru, mahkamah memutuskan tiada pencari suaka politik boleh dihantar ke Malaysia oleh kerajaan Australia.
Mahkamah mengadakan sidang khas minggu lalu untuk mempertimbangkan hujahan oleh para peguam yang mewakili sekumpulan ‘orang hanyut’ yang mahu rancangan penghantaran 800 pencari suaka ke Malaysia dibatalkan.
Barisan peguam itu berpendapat Menteri Imigresen Chris Bowen tidak mempunyai kuasa untuk menghantar pencari suaka ke Malaysia kerana negara itu tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melindungi mereka.
Mereka juga berhujah bahawa penghantaran kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa ke Malaysia merupakan pengabaian tugas Bowen sebagai penjaga di sisi undang-undang untuk bertindak demi kepentingan mereka.
Mewakili seorang pencari suaka remaja yang tiba di Australia selepas perjanjian dengan Malaysia dimeterai bulan lepas, peguam remaja itu, Richard Niall, memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa penghantaran ke Malaysia bukan merupakan kepentingan anak guamnya itu.
Mengikut perjanjian dengan Malaysia, Australia akan menghantar 800 pencari suaka yang tiba di negara itu dengan bot, ke Malaysia bagi diproses tuntutan mereka untuk diisytiharkan sebagai pelarian.
Australia pula akan menerima 4,800 pendatang dari Malaysia yang sudah diberi status pelarian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan