HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Ogos 2011

APA JADI PADA AMANAH?

Oleh: Haji Melayu


22 Ogos, genaplah sebulan Amanah Merdeka atau Amanah dilancarkan.

Tetapi selepas 30 hari berlalu, nampaknya NGO yang dipimpin oleh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah itu masih mengundang banyak tandatanya mengenai keupayaannya.

Segala-galanya nampak perlahan. Sehari dua selepas pelancarannya memang agak meriah. Lagu-lagu yang didendangkan kedengaran menarik. Misinya untuk menghidupkan legasi kemerdekaan yang diamanah oleh Tunku Abdul Rahman Putra, walaupun disifatkan banyak pihak sebagai retorik semata-mata, tetap memikat pendengar.

Amanah juga kelihatan menjanjikan sesuatu kerana ia kelihatan mendapat sokongan dan dokongan daripada ramai bekas menteri dan timbalan menteri. Walaupun kebanyakannya hanyalah mereka yang berklas ‘has been’, namun ramai yang tetap mengharap NGO itu akan membawa sesuatu yang berbeza.

Tetapi nampaknya sampai sekarang harapan itu tinggal harapan.

Kalau laman sosial facebook dijadikan sebagai salah satu kayu pengukur, dapat dikatakan bahawa pada peringkat ini, Amanah masih gagal. Setakat hari ini facebook rasmi NGO itu hanya mencatatkan 459 ‘likes’.Saya mengikutinya sejak ia muncul dan kesimpulan yang boleh dibuat, pergerakan laman yang menggunakan akaun Amanah itu sangat perlahan. Ada hari-harinya tidak bergerak langsung.

Laman sesawang Amanah juga masih tidak wujud sampai sekarang. Sedikit maklumat mengenainya boleh ditemui di laman Wan Saiful Wan Jan (wansaiful.com) salah seorang teraju utama Amanah. Malangnya laman itu juga kali terakhir diupdate pada 23 Julai, sehari selepas pelancaran Amanah.

Amanah menyediakan borang untuk pendaftaran keahlian secara online (http://member.amanah.my/), tetapi tidaklah diketahui sejauh mana keberkesanannya kalau maklumat-maklumat mengenai aktiviti semasa Amanah sendiri tidak begitu jelas.

Saya cuba mencari-cari sebab kenapa agaknya pergerakan Amanah menjadi sedemikian perlahan. Takkanlah sebab dikejutkan dengan ‘sergahan’ pihak tertentu yang mengaitkan Amanah dan Tengku Razaleigh dengan usaha untuk mengambil alih teraju Pakatan Rakyat, jika ‘sesuatu’ terjadi ke atas Anwar Ibrahim.

Saya tidak fikir Amanah terkedu dengan sergahan itu. Tenaga-tenaga berpengalaman dalam Amanah, termasuk Tengku Razaleigh sendiri sudah tentu dapat menjangka daripada awal bahawa andaian seperti itu akan timbul, dan tentu pula mereka bersedia mendepaninya.

Silap masa?

Mungkin juga. Sebenarnya dari mula saya melihat ada kesilapan di pihak Amanah apabila memilih 22 Julai sebagai tarikh pelancaran. Ketika itu umat Islam hanya berada kira-kira seminggu sahaja lagi dari ambang Ramadan. Dan kehadiran Ramadan sedikit sebanyak akan membataskan banyak kegiatan, lebih-lebih lagi yang mempunyai elemen-elemen politik di dalamnya. Tumpuan dan perhatian umum terhadap elemen-elemen begitu juga lazimnya terbatas.

Jadi, di atas kertas, Amanah mempunyai masa hanya kira-kira seminggu untuk bergerak bebas. Selepas itu ia terpaksa menarik hand-brek, bagi menyesuaikan diri dengan suasana Ramadan sehinggalah sekarang.

Mungkin.

Atau mungkin juga Amanah tidak mempunyai ‘wow factor’ (terma yang pernah dipopularkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal 2009 dahulu) dalam erti kata sebenar. Mungkinkah watak-watak dalam Amanah sudah tidak begitu meyakinkan khalayak, walaupun masing-masing mempunyai nama yang besar.

Saya tak pasti. Tetapi seperti pemerhati lain, saya masih menunggu dengan penuh minat untuk melihat Amanah bergerak terus ke hadapan. Saya percaya setiap NGO ada peranannya dalam meletakkan kembali politik Malaysia pada asas dan tapak yang betul.

Saya menunggu, dan memberi masa sehingga selepas berlalunya Ramadan ini.

Jika selepas itu pun Amanah masih sunyi sepi, ertinya Amanah gagal memikul ‘amanah’ yang cuba dibawanya.

Sekiranya itu terjadi, suka atau tidak saya mungkin terpaksa berkata ia muncul hanya sekadar untuk memburukkan reputasi Tengku Razaleigh.

Dan jika itu keadaannya saya sukalah pula memetik pesan orang tua-tua Bajau untuk ditujukan kepada Amanah, ‘alap matai daripada ngentan tak kayu matai.’

Tiada ulasan: