Ahli Jawatankuasa BERSIH 2.0 Wong Chin Huat mencadangkan agar gerakan BERSIH 2.0 memberi tumpuan kepada tiga aspek, iaitu senarai pengundi, pendaftaran automatik dan gelanggang kempen yang sama rata, pada masa depan yang terdekat.Ketika ditemuramah MerdekaReview, Wong Chin Huat berkata, senarai pengundi adalah persoalan yang amat penting. Selain mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan kuasanya kepada parti politik dan pertubuhan untuk membersihkan senarai pengundi, BERSIH 2.0 juga akan mendesak agar pengundi didaftarkan secara automatik.
Beliau mengingatkan, pendaftaran pengundi secara automatik dan membersihkan pengundi yang telah meninggal dunia, kehilangan hak kewarganegaraan langsung tidak memerlukan pindaan akta. Pendaftaran pengundi secara automatik bermakna warga yang memenuhi kelayakan akan terus didaftar sebagai pengundi. Wong Chin Huat berkata, ia bukan sesuatu yang rumit kerana wujud jaringan antara SPR dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Seandainya tuntutan ini dilaksanakan, maka 3.7 juta warga Malaysia yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi kini akan terus didaftarkan sebagai pengundi.
Persempadanan semula kawasan pengundian
Satu lagi halatuju yang penting adalah persempadanan semula kawasan pengundian. Menurut Wong Chin Huat, (gambar bawah) meskipun persempadanan kawasan pengundian mungkin tidak memberi impak yang besar dalam PRU ke-13, namun ia akan memberi kesan jangka panjang.Menurut cara persempadanan kawasan pengundian sekarang, jumlah pengundi kawasan parlimen berada pada paras 30,000 ke bawah di kawasan kampung; dalam lingkungan 30,000 hingga 59,000 orang di kawasan separa bandar; dan lebih 60,000 orang di kawasan bandar. Dengan kata lain, jumlah pengundi antara kawasan kampung dengan bandar berbeza sebanyak kira-kira 50%. Pendek kata, nilai undi seorang pengundi kampung bersamaan nilai undi dua orang pengundi bandar.
Untuk kawasan DUN pula, jumlah pengundi kawasan kampung berada pada paras 15,000 orang ke bawah; dan berada pada lingkungan 15,000 hingga 24,000 orang di kawasan separa bandar, dan 25,000 orang ke atas di kawasan bandar. Dengan kata lain, jumlah pengundi berbeza pada kira-kira 25% antara kawasan kampung dengan bandar.Wong Chin Huat mencadangkan kayu ukur baru untuk persempadanan semula kawasan pengundian. Jikalau diambil contoh dalam satu negeri, kawasan parlimen yang paling kecil dijadikan kayu ukur, dan jumlah pengundi kawasan pengundian DUN tidak boleh melebihi separuh jumlah pengundi kawasan parlimen terkecil. Misalnya, jikalau kawasan parlimen terkecil dalam negeri tersebut mempunyai 30,000 orang pengundi, maka setiap kawasan DUN sama ada di bandar mahupun di desa, tidak boleh melebihi paras 15,000 orang.
Pengkaji sistem pilihan raya ini menjelaskan, seandainya SPR mahu mewujudkan kawasan parlimen di kampung yang kecil, maka kawasan DUN di bandar juga akan menjadi kecil. Meskipun cara ini tidak boleh menyelesaikan masalah pada peringkat parlimen, di mana kawasan desa terlebih diwakili - namun ia akan mewujudkan lebih banyak kawasan DUN di bandar. Maka pengundi bandar akan mendapat perwakilan yang lebih banyak pada peringkat kerajaan negeri.
Selain itu, Wong Chin Huat menganggap gerakan ini boleh menuju ke arah untuk memastikan agar gelanggang persaingan adalah sama rata ketika pilihan raya diadakan, iaitu dengan membanteras rasuah, memastikan institusi awam yang berkecuali, tempoh kempen sebanyak 21 hari, penggunaan media yang adil dan sebagainya. Beliau berpendapat gerakan politik ini perlu digerakkan bersama dengan gerakan yang lain.
Baca: Dari Ops Lalang ke 709: Suasana ketakutan hilang...
*Chen Shaua Fui ialah Assistant MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan