Buletin Utama TV3 kelmarin menyiarkan wawancara dengan dua pakar saintis nuklear mengkritik Fuziah sengaja memutarbelit fakta Lynas.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menafikan dirinya menyeleweng fakta sekaligus menakut-nakutkan rakyat terutamanya penduduk sekitar Kuantan mengenai isu radiasi nuklear daripada pembinaan kilang memproses nadir bumi (rare earth) di Gebeng, Pahang.
Buletin Utama TV3 kelmarin menyiarkan wawancara dengan dua pakar saintis nuklear, Ahli Parlimen-PAS Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat serta Pakar Keselamatan Radiologi dan Kesihatan Prof Dr Ahmad Termizi Ramli yang mengkritik Fuziah sengaja memutarbelit fakta Lynas dan memainkan emosi penduduk Kuantan.
Che Rosli dalam wawancara berkata, isu ini dibawa oleh PKR dan dirinya selama ini cuba untuk memberi kenyataan bahawa kilang Lynas itu selamat kerana mengeluarkan radiasi rendah namun dilarang oleh pihak Penerangan PAS dan menyuruhnya supaya ‘tutup mulut’.
“Saya malu. Saya orang PAS tapi saya juga seorang saintis, apa nak kata, katalah,” katanya ketika ditemuramah wartawan penyiaran TV3 Karam Sing Walia.
Menjawab mengenai tuduhan itu, Fuziah berkata wawancara tersebut sengaja dirancang Barisan Nasional (BN) untuk melindungi kepentingan mereka dan Lynas dan bukannya untuk rakyat.
BN ada agenda tersendiri
Katanya, dengan hanya menyiarkan pandangan pakar sebelah pihak sahaja membuktikan BN mempunyai agenda tersendiri dan mengenepikan kepentingan rakyat.
“Mengapa TV3 dan Karam Singh tidak mendapatkan respon daripada pakar lain? Kenapa? Kerana pakar lain tidak akan sependapat dengan pendirian kerajaan BN dan mereka enggan dijadikan sebagai alat propaganda BN.
“Mengapa TV3 dan Karam Singh tidak mendapatkan respon daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Peguam, dan lain-lain pihak yang berpendirian teguh menyatakan Lynas Advance
Material Plant (LAMP) tidak patut diberikan lesen operasi?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Menganggap siaran itu sebagai percubaan untuk menyerang peribadi dan memalukannya, Naib Presiden PKR itu berkata ia jelas menunjukkan satu cubaan terdesak komplot politik BN yang menggunakan lidah rasminya, TV3 mahu mengekalkan kuasanya dalam kempen pilihanraya.
“Fitnah yang disiarkan TV3 dan Karam Singh bukanlah untuk kepentingan rakyat tetapi untuk pemimpin politiknya iaitu kerajaan pentadbiran BN.
“Oleh itu saya melalui peguam akan menghantar surat menuntut penjelasan daripada TV3, Karam Singh dan (Ketua MCA Kuantan) Ti Lian Ker,” katanya.
Tuntut maaf
Sementara itu, Fuziah melalui peguamnya N Surendran menghantar notis penjelasan kepada Ti berhubung kenyataannya kepada Buletin Utama TV3 pada 30 Jun lalu berbunyi “YB Fuziah mengatakan pegawai-pegawai kita, pakar-pakar Melayu, pakar-pakar rakyat Malaysia semua tidak boleh dipercayai.”
Melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh, Surendran berkata anak guamnya itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti apa yang disebut Ti, sekaligus menganggap ia sebagai tuduhan serius yang membawanya kepada isu skandal, kebencian dan penghinaan.
Sehubungan itu, Surendran mahu Ti menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara bertulis dan jaminan tidak akan lagi membuat fitnah terhadap anak guamnya, serta membayar jumlah kerugian kerana mencalarkan reputasi dan memberi tekanan kepada Fuziah.
“Pihak tuan perlu menjawab dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ini (semalam) atau kami terpaksa mengemukakan writ tanpa merujuk kepada pihak tuan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan