HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Ogos 2011

Lebihan bayaran premium RM24.56 juta dipulangkan

Ini termasuk kesemua kes pembaharuan surat hak milik tanah yang dibayar berdasarkan kadar lama bagi rumah kediaman, tanah pertanian dan rumah kedai.



KUCHING: Kerajaan negeri akan melaksanakan pemulangan lebihan bayaran premium melibatkan sejumlah RM24.56 juta di bawah dasar baru pembaharuan surat hak milik tanah yang berkuatkuasa 1 Jun tahun lalu.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata setakat ini kerajaan telah mengembalikan lebihan bayaran premium berjumlah RM1.93 juta melibatkan 651 permohonan untuk kediaman.

Malah kerajaan juga telah bersetuju untuk mengembalikan lebihan bayaran premium untuk kesemua kes pembaharuan surat hak milik tanah yang dibayar berdasarkan kadar lama bagi rumah kediaman, tanah pertanian dan rumah kedai, jelasnya.

“Keutamaan untuk pengembalian lebihan bayaran premium yang dilaksanakan melalui Jabatan Ukur dan Tanah (JTS) ini akan diberikan kepada kes-kes yang melibatkan tanah kediaman diikuti tanah pertanian dan rumah kedai.

“Permohonan juga mestilah dilakukan oleh pemilik tanah yang telah menjelaskan bayaran premium, iaitu pemilik tanah yang namanya tertera dalam resit pembayaran dan perlu dikemukakan terus kepada JTS,” katanya.

Awang Tengah menambah, walaupun kerajaan sentiasa menjamin hak pemilik tanah, namun mereka juga harus mempunyai tangunggjawab yang perlu dipenuhi bagi membolehkan terus menikmati hak mereka.

Katanya, pemilik tanah seharusnya bertangunggjawab untuk memastikan kesemua syarat dalam surat hak milik tanah mereka dipatuhi.

“Perlanggaran syarat hak milik tanah dan syarat penggunaan tanah yang diluluskan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan dan seterusnya ‘re-entry of land’ dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Keputusan untuk membayar balik lebihan premium ini jelas membuktikan keikhlasan pihak kerajaan yang berusaha untuk memenuhi hasrat dan keperluan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kemudahan Awam itu juga memaklumkan kadar premium untuk kediaman bagi tempoh 60 tahun ialah RM1,000 untuk seunit rumah teres, RM3,000 bagi seunit rumah berkembar dan RM6,000 untuk sebuah rumah sesebuah.

Bagi tanah pertanian pula katanya, kadar yang dikenakan untuk tempoh 60 tahun ialah RM5,000 bagi 0.4 hektar (seekar) untuk tanah bandar manakala RM2,500 untuk 0.4 hektar tanah pinggir bandar dan RM200 untuk 0.4 hektar tanah desa.

Manakala bagi rumah kedai, kadar premium untuk tempoh 60 tahun ialah RM40,000 seunit di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu manakala RM20,000 seunit untuk rumah kedai di Sarikei, Sri Aman, Kapit, Limbang, Samarahan, Mukah dan Betong sementara bandar kecil seperti Lundu, Asajaya dan Niah hanya dikenakan kadar RM10,000 seunit, jelasnya.

Tiada ulasan: