HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Ogos 2011

Najib tunduk pada Muhyiddin dalam isu PSC – Nik Nazmi

Oleh: Nabihah Hamid




KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad menegur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana tunduk kepada bakal penggantinya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu pembentukan Jawatankuasa khas Parlimen (PSC) untuk penambahbaikan pilihan raya.

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentukan jawatankuasa tersebut yang dianggotai wakil kerajaan BN dan parti pembangkang untuk membincangkan reformasi pilihan raya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun sehari selepas itu, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa reformasi pilihan raya bukan bermakna sistem pilihan raya yang sudah diguna pakai selama ini tidak baik tetapi sebaliknya, untuk memperkukuhkannya.

“Penyakit ‘flip-flop’ ini terus menular dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Pembaharuan Pilihan Raya apabila PM tunduk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menegaskan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang meminta Pakatan Rakyat tidak mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri menubuhkan PSC.

Menurut Nik Nazmi, pembahagian kerusi dalam jawatankuasa itu juga tidak dilakukan dengan adil apabila pembangkang hanya mendapat tiga kerusi berbanding 9 oleh BN.

Malah secara tradisi di luar negara, Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) yang dilihat memainkan peranan penting, dipengerusikan Ahli Parlimen pembangkang.

“Ini bukan sahaja amalan di negara maju. India, misalnya, mempunyai Pengerusi PAC yang dipilih daripada pembangkang sejak tahun 1967,” kata beliau.

Menurutnya, negeri pertama di Malayisa yang mengusulkan Pengerusi PAC diberikan kepada pihak pembangkang ialah Selangor di bawah Pakatan Rakyat pada tahun 2010.

Cadangan itu dipersetujui ketua pembangkang pada masa itu, Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertemuan dengan Speaker DUN Selangor Dato’ Teng Chang Khim, namun ditolak ketika Sidang DUN berlangsung.

“Saya tidak tahu mengapa BN tukar fikiran di Selangor, tetapi kita berharap PM dapat menunjukkan kepimpinannya dan keikhlasannya dalam transformasi demokrasi negara dengan meletakkan syarat ini. Saya yakin Pakatan Rakyat tiada masalah menerimanya,” kata beliau.

Tiada ulasan: