PM pernah berkata Umno-BN akan buat apa saja untuk ambil semula Selangor.
KUALA LUMPUR: PAS hari ini mendakwa bilangan pengundi klon yang ramai yang ditemui dalam data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menjatuhkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.
Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat Mohd Adram Musa berkata, pihaknya memiliki puluhan ribu bukti kewujudan pengundi klon yang beralamat di serata negeri dalam semakan sistem daftar pemilih SPR sebelum digugurkan menjadi satu.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dulu pernah berkata Umno-Barisan Nasional (BN) akan buat apa saja untuk ambil semula Selangor.
“Data kotor ini sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan Selangor,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.
Sehubungan itu, PAS memberi tempoh 14 hari kepada SPR memberikan penjelasan sewajarnya.
Sementara itu, Suhaizan membidas kenyataan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pembangkang turut terlibat sama dalam penipuan semasa pilihan raya.
Menganggap dakwaan itu tidak berasas, Suhaizan berkata Mahathir juga seolah-olah dengan jelas mahu menunjukkan kelemahan sistem SPR apabila ia mudah dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
Sistem SPR terlalu lemah
“Kalau pembangkang boleh buat manipulasi, maknanya sistem SPR terlalu lemah kerana ia sistem lama yang tak pernah berubah semenjak zaman Merdeka,” katanya.
Beliau dalam sidang media turut mendedahkan lagi beberapa nama pengundi klon yang ditemui sekitar Selangor sebelum digugurkan kerana memiliki kad pengenalan lama.
Dalam senarai tersebut mengandungi dua nama pengundi dan alamat yang sama termasuk daerah mengundi tetapi memiliki nombor kad pengenalan yang berlainan di dua digit terakhir.
Ditanya kesungguhan pihaknya melaporkan aduan kepada SPR, Suhaizan sebaliknya berkata adalah lebih baik isu ini didedahkan kepada media supaya SPR lebih serius mengenai usaha PAS.
“PAS telah berkali-kali berjumpa dengan SPR sehingga perhimpunan Bersih 1.0 pada tahun 2007 malangnya pembersihan daftar pemilih tidak berlaku,” katanya.
Banyak lagi pendedahan
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan turut membuat lebih banyak lagi pendedahan pengakuan bekas tentera yang diarah memanipulasi kertas undi selepas raya Aidilfitri nanti.
Katanya, pendedahan itu termasuk bukti terbaru yang ditemui semasa pilihan raya kecil (PRK) Bagan Pinang 2009 dan PRK Sibu tahun lalu.
“Selagi tiada reformasi dalam undi pos, selagi itu kita akan terus mendesak dan tampilkan lebih ramai pengakuan bekas tentera selain daripada empat individu itu,” katanya.
Empat individu itu merujuk kepada bekas tentera yang pernah tampil kepada media minggu lalu mengaku pernah diarah supaya memangkah beratus-ratus kertas undi pos.
Ditanya mengenai penafian Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengenai isu ini, Suhaizan berkata penjelasan sepatutnya dijawab oleh SPR dan bukannya pegawai tentera.
“Kita khuatir kenyataan Panglima nampak partisan tetapi saya tetap menyalahkan SPR kerana sistemnya longgar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan