KLUANG – Sindiket pemerdagangan manusia di negara ini mengaut keuntungan besar dengan mencatatkan nilai perniagaan melebihi RM5 bilion, khususnya yang melibatkan warga Bangladesh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya dimaklumkan ada sindiket ‘menjual’ pekerja warga Bangladesh pada harga RM10,000 seorang.
“Menurut Pesuruhjaya Bangladesh yang berada di Malaysia sekarang, (sama ada pendatang secara) sah dan tidak sah, mencatatkan bilangan seramai 500,000 orang. Kalau betul, jumlahnya besar dan (nilai) duitnya juga besar iaitu melebihi RM5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 50 masjid dan surau di Masjid Kampung Melayu Niyor, Paloh dekat sini hari ini.
Hishammuddin berkata, aktiviti pemerdagangan manusia adalah fenomena antarabangsa dan kerajaan berusaha keras bagi membanteras jenayah tersebut termasuk menerusi perjanjian dengan kerajaan Australia, baru-baru ini.
Mengenai keputusan melanjutkan pelaksanaan sistem biometrik, beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong menegaskan, langkah tersebut bukan bermakna kerajaan tunduk kepada desakan majikan.
Katanya, sebaliknya kerajaan mahu mendapatkan keputusan terbaik dalam melaksanakan sistem itu.
“Bukan tempoh jadi pertimbangan, yang penting adalah penyelesaian kerana saya dah kata kita buat biometrik kerana dunia globalisasi membawa ancaman sangat dahsyat termasuk keganasan, penyeludupan senjata dan dadah.
“Bukan sama ada kita tunduk (kepada majikan) atau tidak, nak tunjuk kuasa ke apa. Yang penting kita nak tengok hasil bersandarkan faedah dan masa yang munasabah,” katanya.
Hishammuddin berkata, selepas ini majikan tidak boleh memberi alasan untuk tidak mendaftarkan pekerja asing ekoran pelanjutan tempoh itu dan beliau menasihati mereka berbuat demikian secepat mungkin tanpa menunggu sehingga hari terakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan