KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan pertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal pada hari undi bagi memastikan proses pilihan raya dilaksanakan dengan telus dan adil selepas dibatalkan penggunaannya pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) berkata, SPR akan mengkaji dengan terperinci cadangan itu sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem pilihan raya.
“Kita memang akan pertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal secara serius. Kalaulah itu yang paling baik dan selamat... kita boleh guna.
“Tapi pelbagai aspek perlu diambil perhatian bagi mengelakkan sebarang pertikaian,” katanya.
Isu penggunaan dakwat kekal adalah antara lapan tuntutan terkandung dalam memorandum Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Pada PRU-12, SPR me-ngumumkan untuk menggunakan dakwat kekal buat pertama kali pada hari pengundian bagi meningkatkan sehingga ‘ke tahap 100 peratus’ keyakinan rakyat terhadap ketelusan suruhanjaya itu dalam melaksanakan proses demokrasi di negara ini.
Bagaimanapun, penggunaannya dibatalkan beberapa hari sebelum pengundian atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, menurutnya, pada masa sama SPR tidak menolak kemungkinan untuk turut menggunakan sistem biometrik seperti dicadangkan suruhanjaya itu bagi mengelakkan pertikaian mengenai dakwaan wujudnya ‘pengundi hantu’.
Menurutnya, penggunaan sistem biometrik dilihat lebih terkini dan selamat boleh mengelakkan pertikaian kerana bacaan cap jari pada setiap individu adalah berbeza.
“Ada kemungkinan kita gunakan kedua-duanya sekali (dakwat kekal dan biometrik). Ini untuk membuktikan ketelusan SPR untuk memastikan sistem pilihan raya bersih dan adil.
“Kalau terpaksa guna dua-dua kita akan pertimbangkan. Sekiranya ia terjadi, maka ia sudah pasti dapat puaskan hati semua pihak,” katanya.
Namun, beliau mengakui penggunaan kedua-dua kaedah berkenaan akan meningkatkan kos pengendalian pilihan raya.
Mengulas lanjut mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata, kajian menyeluruh perlu dibuat terutama dari segi perundangan.
Jelasnya, pihaknya perlu mendapatkan nasihat pihak pejabat Peguam Negara sama ada penggunaan dakwat kekal perlu dijadikan undang-undang diwajibkan atau hanya sebagai pilihan kepada pengundi.
“Aspek perundangan perlu jelas sebab kita tak mahu nanti ada pengundi yang datang mengundi, tapi tidak mahu jari atau kuku mereka dicalit atau dicelup dengan dakwat atas pelbagai alasan.
“Sebab itu, kalau kita putuskan untuk menggunakan dakwat kekal, ia perlu dijadikan sebagai undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan