KPI yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini terletak di hujung ayat .............."mudah-mudahan kamu bertakwa," iaitu mematuhi segala perintah Allah SWT.
PETALING JAYA: Tahap ketakwaan kepada Allah SWT menjadi kayu ukur bagi menilai prestasi dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap individu Muslim, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.
“Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, walaupun tinggal hanya kira-kira lima hari sahaja lagi, umat Islam digalakkan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT,” katanya dalam satu majlis tazkirah Ramadhan di sebuah surau, di Selayang dekat Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam ayat 183, Surah Al Baqarah, yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.”
Salahuddin menjelaskan, KPI yang dimaksudkan oleh Allah SWT di sini terletak di hujung ayat …………..”mudah-mudahan kamu bertakwa,” iaitu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mematuhi segala perintah Allah SWT.
“Dengan berpuasa, umat Islam dididik dan diperingatkan untuk membuang sifat-sifat mazmumah (keji) seperti dengki, khianat, sakit hati, melemparkan fitnah, mengadu-domba dan seumpamanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Menurut beliau, dalam sejarah Islam, Perang Badar yang berlaku di antara umat Islam dengan orang-orang musyrikin Mekah pada tahun kedua Hijrah berlaku dalam bulan Ramadhan.
Lalu beliau bertanya, “kenapa Allah SWT mengkehendaki Perang Badar berlaku dalam bulan puasa?”
Beliau menjelaskan, “Allah SWT menyuruh kita mengawal nafsu (makan minum dan lain-lain pada siang hari) supaya kita sampai ke tingkat takwa. Tahap puasa perlu diurus untuk meningkatkan KPI.
“Cuba bayangkan para Sahabat berperang dalam keadaan berpuasa. Allah SWT mengkehendaki mereka berpuasa dan tidak pula di beri ruksah (kelonggaran) untuk berbuka puasa,” katanya.
Tegasnya, “berbeza dengan orang-orang yang bermusafir dan wanita yang mengandung diberi ruksah, walaupun perlu dibayar balik puasa itu, dengan menggantikan puasa pada hari-hari yang lain, atau memberi makan minum kepada fakir miskin.
“Namun, umat Islam dan para Sahabat disyariatkan terus berpuasa walaupun dalam keadaan perang agar Allah SWT dapat meninggikan kedudukan seseorang Muslim mencapai darjat seorang Mukmin sejati dan memberi ganjaran yang setimpal kepadanya di akhirat kelak,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan