| KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) didesak supaya mendedahkan Standard Operating Procedure (SOP) mereka kepada orang ramai bagi menghentikan semua salah faham yang sedang meningkat sekarang.
Pendedahan tersebut perlu dilakukan sekarang jika benar TNB mempunyai SOP yang tersendiri seperti yang dinyatakan ketika menjawab kemusykilan orang ramai terutama berhubung dakwaan kecurian elekterik.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, baru-baru ini TNB telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa mereka mempunyai SOP dan ‘formula’ untuk mengira ganti rugi kes kecurian elektrik dengan mengganggu meter.
Menurut beliau, selain itu, TNB juga menyatakan bahawa mereka telah ‘mengikut proses dan prosedur’ yang telah ditetapkan oleh SOP itu.
Katanya, kenyataan TNB itu adalah berita baik untuk seluruh rakyat Malaysia dan dengan itu TNB tidak perlu membuat dakwaan kosong, sebaliknya mestilah mendedahkan segera perkara itu kepada semua rakyat negara ini selaku para pengguna elektrik yang dibekalkannya.
"TNB perlu memuatnaikkan dokumen-dokumen itu untuk makluman umum dalam tempoh masa 1 hingga 2 hari dalam laman web mereka dengan kadar segera.
"Ini akan membantu semua pihak memahami hak mereka dan juga menggunakan formula pengiraan ganti rugi yang sama untuk mengesahkan bayaran ganti rugi yang dikenakan kepada ‘yang tertuduh’," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Dengan bertindak seperti itu, menurut beliau, barulah TNB boleh dikatakan telah melakukan suatu langkah dan kaedah yang betul dalam menyelesaikan perselisihan untuk mana-mana perlindungan pengguna.
Katanya, terdapat empat manfaat kepada orang ramai jika TNB memuatnaikkan SOP dan kaedah pengiraan ganti rugi untuk makluman umum.
"Pertama, akan menghapuskan segala perselisihan faham. Kedua, akan memberikan peluang kepada pengguna untuk mengetahui langkah-langkah yang diambil oleh TNB untuk menguji dan mengesahkan situasi mencuri elektrik dengan mengganggu meter.
"Ketiga, akan memberikan peluang kepada penguna-pengguna yang dituduh mencuri elektrik untuk mengira menggunakan kaedah yang sama sebagai satu proses pengesahan.
"Keempat, akan menegakkan ketelusan dan kredibiliti semua pihak serta menegakkan prinsip-prinsip perlindungan pengguna yang digariskan oleh Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.
Selain daripada itu, berdasarkan statistik yang diberikan oleh TNB dalam kenyataan mereka, menurutnya, 15 daripada 19 kes adalah kes kecurian yang sahih.
"Ini bermakna terdapat 20 peratus julat kesilapan dalam SOP yang diguna pakai oleh TNB. Setiap pengguna mempunyai hak untuk mengetahui tujuan mereka membayar serta mengapa mereka dituduh telah melakukan sesuatu kesalahan," ujar beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan