HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Mac 2010

Najib Bayar A$420,000 Kepada APCO Untuk Khidmat Nasihat 6 Bulan

SUARA KEADILAN

KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno-Barisan Nasional didakwa telah membayar A$420,000 kepada firma antarabangsa APCO Worldwide yang dikaitkan dengan rejim Zionis Israel untuk khidmat runding selama enam bulan.

Dalam surat yang bertarikh 15 Julai 2009 dengan menggunakan kepala surat rasmi Jabatan Perdana Menteri dan dialamatkan kepada Paul Stadlen, kerajaan Malaysia mengesahkan terma yang dipersetujui pada mesyuarat yang diadakan bersama APCO pada 10 Julai 2009.

Salinan surat tersebut yang dimuatnaikkan dalam blog dan internet didakwa telah ditandatangani oleh Samsuri Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri.Surat Penerimaan setebal lima mukasurat itu menggariskan bidang kerja APCO kepada kerajaan Malaysia di bawah tajuk 'Public Affairs and Goverment Affairs Services' atau Perkhidmatan Perhubungan Awam dan Kerajaan.

"Dengan penerimaan kerajaan terhadap tender yang dikemukakan oleh pihak tuan, adalah dimaklumkan bahawa kini wujud ikatan kontrak antara kerajaan dan pihak tuan.

"Satu perjanjian yang lebih lengkap yang memasukkan semua terma dalam tender akan ditandatangani. Pihak tuan akan dimaklumkan apabila dokumen kontrak siap untuk ditandatangani," kata surat tersebut.

Surat itu yang juga ditandatangani oleh Paul Stadlen yang mewakili Mind Teams Sdn Bhd dan APCO Worldwide sebagai kontraktor serta Ronald Barnetto dari England sebagai saksi antara lain menggariskan empat bidang kerja utama berkaitan hubungan awam yang menjadi sasaran khidmat runding APCO kepada kerajaan Malaysia.

Mereka menandatangani surat penerimaan itu pada 21 Julai 2009.

Stadlen kini adalah Pengarah Urusan APCP Worldwide cawangan Malaysia.

Ini termasuk penyelidikan, pembangunan strategi dan mesej utama, pencapaian serta perundangan dan pematuhan.

Di bawah bidang penyelidikan, APCO dikehendaki mengenalpasti bidang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat yang signifikan dan selari, membangunkan mesej komunikasi dengan pembuat dasar Amerika Syarikat dan tokoh penting masyarakat sivil serta mengenalpasti pegawai kerajaan, 'think tank', wartawan, NGO yang relevan kepada hubungan Malaysia-Amerika Syarikat.

Dalam sektor pembangunan strategi dan mesej utama pula, APCO akan memberi khidmat sokongan kepada Kedutaan Malaysia di Washington dan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan program bagi mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Bagi khidmat pencapaian pula APCO akan membantu mengeratkan hubungan dengan 'think tank', melaksanakan kempen mempromosi Amerika Syarikat bersama sektor perniagaan penting di Malaysia dan melaksanakan kempen media bebas Amerika Syarikat.


Najib Cadang 'Rompak' KWSP, Jual Harta Kerajaan Melalui MEB

Oleh Faizal Ezzany


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat mengalu-alukan pengakuan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa melancarkan Model Ekonomi Baru (NEM) bahawa semua permasalahan ekonomi negara yang disuarakan oleh Pakatan Rakyat selama ini adalah masalah serius yang perlu ditangani segera.

Semasa sidang media yang diadakan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Najib mengakui pentingnya pelaburan swasta ditingkatkan serta menghentikan ketagihan dan kebergantungan kepada perbelanjaan kerajaan yang boros untuk memacu ekonomi.

"Perkara ini telah dibangkitkan secara berterusan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini. Rakyat yang arif tentang Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sudah tentu akan tersenyum apabila meneliti ucapan Najib mengenai NEM kerana seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM.

"Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan. Inilah ciri-ciri model yang telah diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi dan telah menjadi sebahagian besar manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12," kata Anwar.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan konsep NEM hanya akan terhenti di situ sahaja kerana kerajaan tidak meletak perkara tersebut sebagai kerangka utama.

"Walaupun kerajaan mengakui bahawa ekonomi kita memerlukan perubahan besar-besaran, ia masih tidak komited kepada reformasi utama membabitkan institusi awam, dasar dan amalan yang menjadi batu penghalang kemajuan kita selama ini.

"Tidak ada apa-apa cadangan kukuh untuk membina kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman atau institusi kerajaan yang lain. Malah Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai langkah baru untuk membasmi rasuah. Akibatnya pengumuman NEM ini menjadi satu bukti bahawa Barisan Nasional hanya berminat mengaburi mata rakyat dengan taktik perhubungan awam semata-mata apatah lagi dengan pembabitan APCO.

"Kerajaan BN tidak mempunyai keberanian atau iltizam politik untuk melakukan reformasi yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan negara ini. Kegagalan untuk mengakui permasalahan terbesar dalam ekonomi Negara kita ini akan sekali lagi menghalang pencapaian segala niat baik dan matlamat NEM," tegas beliau dalam sidamng media yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Anwar juga menjelaskan rakyat khuatir dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung rancangan penjualan harta kerajaan.

"Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa rancangan untuk menjual harta kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta satu lagi proses penswastaan. Tanpa reformasi menyeluruh untuk membina ketelusan, urus tadbir yang baik, pertanggungjawaban dan amanah di dalam sistem negara ini maka kita berdepan dengan satu lagi musim rompakan besar-besaran harta rakyat seperti mana pemerintahan sebelum ini.

"Pengumunan bahawa dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan digunakan dengan lebih rancak untuk membeli syarikat-syarikat dan turut serta di dalam perniagaan baru adalah satu yang amat membimbangkan kerana masa depan berjuta-juta pekerja kita akan menjadi mangsa ketamakan dan kerakusan para pemimpin dan kroni yang akan mengambil kesempatan menggunakan dana rakyat untuk mengkayakan diri mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk berjaga-jaga dan memantau apa-apa jua keputusan atau pembelian KWSP selepas ini, kerana pasti ada campur tangan yang cuba memaksa dan mempengaruhi keputusan KWSP. Tanggungjawab yang lebih besar adalah terletak di bahu Perdana Menteri dan kerajaan, beliau perlu menyenaraikan semua langkah yang telah diambil untuk memastikan apa-apa proses pelaburan dan penglibatan dalam perniagaan baru KWSP dibuat secara telus.

Anwar mengingatkan rakyat agar berhati-hati dengan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

"Sementara kita bangga kerana Perdana Menteri secara senyap-senyap mengakui keberkesanan model ekonomi yang dibawa oleh AEM dan dimasukkan kedalam NEM, kami bimbang pusingan penswastaan dan panjualan aset kerajaan GLC akan diambil peluang oleh BN untuk membina dana pilihan raya umum Ke-13," tegas beliau.

Beliau juga menjelaskan pasukan ekonomi Pakatan Rakyat kini sedang meneliti laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara dengan terperinci.

Pakatan Rakyat akan mengumumkan analisa dan pandangannya mengenai inisiatif-inisiatif ekonomi yang disertakan di dalam laporan NEAC mengenai NEM dalam masa seminggu.

Kroni Umno-BN Seleweng Wang Ihsan Punca Bangunan Runtuh

SUARA KEADILAN

KUALA TERENGGANU - Pemberian wang ihsan antara faktor utama kejadian bangunan runtuh yang semakin menjadi di Terengganu kebelakangan ini disebabkan gejala rasuah berleluasa yang berlaku dengan penyalahgunaan wang tersebut.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusof berkata kejadian bangunan runtuh yang terjadi adalah akibat daripada penyelewengan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang diragui akibat amalan rasuah berhubung pengagihan wang ihsan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional.

"Semua pembinaan di Terengganu yang dibuat sejak tahun 1999 melalui Jabatan Pembangunan Pusat yang mengunakan wang royalti yang dipanggil wang ihsan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ini seharusnya disiasat.

"Kebanyakan projek pembangunan yang melalui JPP ini memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melalui proses tender biasa dan diberikan kepada kroni-kroni Umno melalui proses rundingan terus atau 'direct negotiation'.

"Bangunan yang dibangunkan atas nama wang ihsan ini tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dan mengancam nyawa orang ramai," tegas beliau semasa dihubungi Suara Keadilan.

Kejadian terbaru petang semalam mengakibatkan seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.

Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil, bumbung stadium Sultan Mizan, bangunan stesen bas Kuala Berang dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman juga dilaporkan runtuh.

Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok pula dilaporkan bocor.

Dalam satu kenyataan hari ini Abdul Rahman juga berkata terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.

"Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala
Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru Kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

"Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban," kata beliau.

Abdul Rahman menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat semua pembangunan projek prasarana sejak 1999 kerana mutu dan spesifikasi pambangunannya menjadi tandatanya.

Masjid Tertua Beijing Tarik Pengunjung Seluruh Dunia



KHUSYUK ... Sebahagian daripda masyarakat beragama
Islam di Wilayah Ningxia, sedang menunggu untuk menunaikan
solat Jumaat, Wilayah Ningxia yang mempunyai populasi
masyarakat Islam teramai di China sering menjadi tarikan
pelancong beragama Islam ke negara itu. - Foto BERNAMA

BEIJING: Sambil memakai songkok buatan Malaysia, imam masjid tertua dan terbesar Beijing, dengan penuh ceria mempelawa para pelawat memasuki kawasan masjid berkenaan.

Taudin Baiyuchin, 62, berkata masjid seluas 10,000 meter persegi dan memiliki seni bina bercirikan budaya Islam serta Cina itu menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia.

Kedai dan pasar raya yang menjual makanan halal juga mudah didapati di sekitar kawasan masjid berkenaan.

"Saya sungguh gembira melihat umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi masjid ini... semua umat Islam adalah bersaudara.

"Songkok ini adalah pemberian seorang pelawat dari Malaysia," kata imam itu sambil memegang sebuah buku nota bersaiz A-4 yang mengandungi komen mereka yang melawat masjid berkenaan.

Dibina pada tahun 996, Masjid Niujie berdiri megah di daerah Xuanwu, kawasan kediaman paling ramai umat Islam di ibu negara China ini. Xuanwu juga adalah sebuah bandar moden yang sentiasa sibuk dengan pelbagai kegiatan.



Imam Masjid Niujie, Taudin Baiyuchin, 62, gembira dengan
kehadiran para pelawat dari seluruh pelusuk dunia ke masjid
yang dibina pada tahun 996. Beliau yang menjadi imam
di masjid itu sejak 10 tahun lepas, memakai songkok pemberian
seorang pelawat dari Malaysia ketika ditemubual.

Taudin, yang menjadi imam di masjid itu sejak 10 tahun lepas, berkata Masjid Nuijie pernah menerima kunjungan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum beliau menjadi perdana menteri.

"Rakyat Malaysia sungguh baik hati, peramah dan negara mereka juga cantik... saya melihatnya dalam gambar dan berharap akan berpeluang ke sana," kata beliau.

Kerajaan China membiayai beberapa projek pemulihan masjid berkenaan, yang dianggap antara masjid paling terkenal di dunia sejak 1949.

Pada 2005, kerajaan menyumbangkan 25 juta Yuan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembesaran Masjid Niujie projek terbesar seumpamanya setakat ini termasuk membina semula Dewan Wanita.



Masjid Niujie yang dibina pada tahun 996M adalah antara
ratusan msjid yang menjadi tarikan pelancong beragama
Islam ke negara China.

Sementara itu, Imam Wilayah Ningxia, Ding Guobao, 42, yang ditemui di masjid berkenan Jumaat lepas, berkata pelawat Islam ke China pasti berminat mengunjungi wilayah kediamannya, yang merupakan antara kawasan paling ramai penduduk Islam di negara ini.

"Wilayah kami mempunyai lebih dua juta penduduk Islam, banyak masjid dan restoran makanan halal.

"Wilayah kami juga terkenal kerana sinseh dan kaligrafi," kata Ding, yang akan berlepas ke Mesir bagi menghadiri satu mesyuarat berkaitan Islam.

Sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University dan sekumpulan petugas lapangan terbang dari Pulau Pinang adalah antara umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu minggu lepas.

7 Kes Chikugunya Dalam Tiga Bulan Pertama Di Labuan

MSTAR ONLINE

LABUAN: Sebanyak tujuh kes penyakit Chikungunya dilaporkan di Kampung Durian Tunjong dan Batu Manikar, di sini, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Zaini Hussin berkata, mangsa yang menghidap penyakit itu adalah warga tempatan yang berusia antara 20 hingga 40an dari dua kawasan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama di sini hari ini, bahawa keadaan keseluruhannya adalah terkawal dan tiada tanda berlaku peningkatan kes bawaan nyamuk Aedes itu.

Katanya, pelbagai langkah telah diambil bagi mengelak penyakit itu terus menular termasuk melakukan penyemburan kabus, kempen kesihatan dan pemeriksaan di premis perniagaan serta kawasan sekitar kampung di daerah itu.

Menurut Dr Zaini, antara simptom penyakit Chikungunya termasuklah demam panas mengejut, sakit teruk pada sendi, ruam pada badan dan sakit kepala.

Beliau meminta mereka yang mepunyai simptom penyakit itu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.

Dr Zaini juga menasihatkan orang ramai agar meluangkan masa setiap minggu untuk membersihkan kawasan di dalam dan persekitaran rumah dan amalan ini diyakini dapat membantu memutuskan kitaran hidup nyamuk Aedes.

K'jaan NS Kaji Kemungkinan Beri Tanah Pada Anak Peneroka

BERNAMA

SEREMBAN: Negeri Sembilan sedang mengkaji kemungkinan untuk memberi lot-lot kosong di tanah rancangan Felda untuk anak-anak peneroka, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, pemberian tanah itu bertujuan membantu generasi kedua peneroka yang terus mengusahakan tanaman ayah mereka dan menetap di tanah rancangan asal.

"Kita dapati ada tanah-tanah kerajaan yang kosong di kawasan Felda, tidak di tanam dan sekarang wujud keperluan pada generasi kedua Felda yang kebanyakannya sudah ada keluarga sendiri. Mereka ini pula tidak patut lagi tinggal bersama dengan ibu bapa mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Mohamad berkata, beliau telah meminta para pengurus kawasan Felda mengenal pasti secara terperinci tanah-tanah berkenaan dan mencari mekanisme pemberian lot tanah itu kerana bukan semua kawasan Felda mempunyai keluasan sama.

"Kita (boleh) bahagikan kepada tapak-tapak rumah dan bila sudah ada tapak-tapak ini mereka boleh memohon dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk bina rumah murah," katanya.

Mohamad berkata, rancangan Kerajaan Negeri Sembilan itu diutarakan ekoran timbul keresahan anak-anak peneroka Felda mengenai masa depan mereka.

"Dia orang mengadu apakah masa depan mereka? Kita menolong mak ayah menoreh getah, kita menolong mak ayah (mengusahakan tanaman) kelapa sawit tetapi di mana kita nak tinggal, nak buat rumah di tapak rumah yang ada pun agak sempit," katanya.

Mayat Tidak Dituntut Waris Di Pusat Perubatan UKM

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memaklumkan terdapat mayat seorang pesakit yang belum dituntut waris di pusat perubatan itu.

Pegawai Perhubungan Awam Kanan, Pusat Perubatan UKM Foziah Hanon Ahmad dalam satu kenyataan berkata, Chan See Hoy, 63, dengan nombor pendaftaran pesakit N090178 telah dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 17 Feb lepas.

Chan meninggal dunia pada 19 Mac lalu dan alamat terakhir si mati adalah bertempat di No 22, Jalan Dayang 7/8 Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

Waris berkenaan diminta menghubungi talian 03-91455445/5371/5467/5468 dalam tempoh dua minggu daripada kenyataan ini disiarkan.

Mengapa Najib umum MEB di luar Parlimen?

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di luar Parlimen seolah-olah tidak mencerminkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Pengumuman Najib itu bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan kerana pengumuman tersebut dibuat di luar Dewan Rakyat," jelasnya.

Senada dengan Abdul Hadi, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib itu seperti menghina kemuliaan Dewan Rakyat.

Ini kerana, menurut beliau, Najib sanggup pergi mengumumkan MEB di luar Parlimen, sedangkan beliau berpeluang membentangkan di Dewan Rakyat sekarang.

Dalam pada itu, Majlis Pakatan Rakyat petang tadi menyifatkan MEB menyadur semangat Agenda Ekonomi Malaysia (AEM).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib dilihat memuatkan prinsip-prinsip utama AEM dalam ucapannya, semalam.

"Seolah-olah prinsip utama yang diwar-warkan itu disadur dari AEM (apabila) Perdana Menteri bercakap mengenai keperluan mencapai pendapatan tinggi, membina ekonomi yang utuh secara berterusan dan menjamin kesaksamaan, peralihan bantuan berasaskan keperluan tanpa mengira kaum," jelas beliau di Parlimen.

Jelas Anwar, kesemua prinsip tersebut telahpun diperjuangkan Pakatan Rakyat sejak 2006 lagi, dan kemudiannya menjadi manifesto bersama-sama PKR, DAP dan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) yang lalu.

Pun begitu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, Najib yang juga Menteri Kewangan I turut dilihat gagal menjelaskan mekanisme lanjutan untuk mencapai kelapan-lapan inti utama MEB.

Bagi Pakatan Rakyat, katanya kerajaan seharusnya menyentuh kaedah-kaedah kerajaan menangani isu rasuah, ketirisan, pembaziran, ketidakbebasan mahkamah, polis dan PDRM tidak profesional sebelum memperkenalkan MEB.

Dengan tidak menyentuh beberapa mekanisme tersebut, menurut beliau, mengakibatkan ekonomi negara terus dilihat tidak menentu oleh para pelabur luar.

Akibatnya, menurut Anwar, dana dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangkakan akan disalahgunakan oleh kroni-kroni tertentu melalui aktiviti pengkorporatan badan tersebut kelak.

"Pengkorporatan akan dilakukan di mana (dana) KWSP akan dipinda pada satu badan tertentu sedangkan tanpa reformasi menyeluruh, bahaya pada (aktiviti) penswastaan," jelasnya.

Dalam perkembangan yang lain, Majlis Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa PKR direstui untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor kelak.

Turut menyertai Anwar, Lim dan Abdul Hadi di Pejabat Ketua Pembangkang adalah Dr. Syed Husin Ali (Timbalan Presiden PKR), Datuk Mahfuz Omar (Naib Presiden PAS), Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Saifuddin Nasution (Setiausaha Agung PKR) dan beberapa pemimpin tertinggi komponen PR.

Shahidan cadang permudah urusan kahwin elak buang bayi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mengesyorkan pihak berkuasa agama setiap negeri mempermudahkan urusan berkahwin di kalangan muda-mudi bagi menangani gejala negatif seperti kes buang bayi yang makin membimbangkan.

Jelas Shahidan, langkah tersebut juga dilihat berkesan kerana dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi terutamanya membabitkan remaja Islam.

Menurut beliau, syarat-syarat yang ketat semasa nikah merupakan punca generasi muda menjalinkan hubungan secara sulit, sekali gus menyebabkan berlakunya tekanan sehingga sanggup membuang bayi.

“Semua itu berlaku kerana hubungan mereka tidak direstui.

“Tambahan pula apabila hendak berkahwin, macam-macam syarat dan kekangan dikenakan sehingga ia menyusahkan.

“Saya melihat daripada melarang hubungan itu, lebih baik kita kahwinkan mereka dengan cara yang mudah tetapi mengikut hukum syarak,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Semalam mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui tersangkut pada pukat di Sungai Pasir dekat Kampung Panching dekat Kuantan.

Bercakap kepada pemberita di Sungai Pertani semalam Shahidan memberitahu, apabila hubungan menjadi sah, maka tiada lagi tekanan perasaan untuk membuang bayi.

Shahidan mengulas mengenai kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan kes buang bayi sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, syarat-syarat berkahwin di negara ini didapati sungguh membebankan kerana berbeza di setiap negeri.

“Sepatutnya, jika ikut peruntukan agama, perkahwinan harus dipermudahkan. Namun, di Malaysia kita ada 13 undang-undang untuk berkahwin, setiap negeri mempunyai peruntukan berlainan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, pihak berkuasa agama juga sepatutnya mengutamakan soal nikah serta hukum daripada memikirkan birokrasi berkaitan urusan berkahwin.

“Sepatutnya, undang-undang mengenai perkara ini juga diselaraskan di seluruh negara supaya ia mengamalkan standard yang sama dan memudahkan urusan perkahwinan,” jelasnya.

APCO: Negara dalam bahaya

Anwar Ibrahim


(Ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat mengenai APCO pada 30 Mac 2010)

MUKADIMAH

 Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya.

Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

 Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

 Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

 Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

 Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara ”

 Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO's work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”

 Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

 Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

 Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

 Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

 Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi dalam firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

 Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

 Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

 Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

 APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

 Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

 Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

 Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

 Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

 Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

 Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

 Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

 Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public.”

 Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

 Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

 Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

 APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

 Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

 Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

 Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

 Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

 Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

 Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

 Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

 Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

 Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

 Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

 Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992 . Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

 Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

 Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

 Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

 Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

 Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

 Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

 Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

 Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

 Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

 Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

 Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

 Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya . Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links.”


 Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

 Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

 Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

 Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

 Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

Apco was the first firm i contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists.”

 Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

 Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

 Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

 Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

 Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

 Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

 Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

 APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

 Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

 Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

 Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

 Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein . Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

 Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel?( Israel Security Agency)

 ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

 Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

 Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

 Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

 Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

1Malaysia: Rakyat makin sangsi kedudukan Najib

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap kumpulan pelampau Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1Malaysia.

“Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS berharap agar rakyat menyedari perkara itu dan bersatu menolak pelampau perkauman itu.

“PAS menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau,” ujarnya.

Kaum bukan Melayu pula diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu.

Menurutnya, kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Justeru, katanya gagasan 1Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman tidak wujud kerana merekalah yang sering menyemarakkan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum di negara ini.

Tambahnya, gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

Sebelum ini, katanya kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakkan semangat perkauman.

“Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhkan pertubuhan,” ujarnya.

Malah, katanya Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

Tambahnya, walaupun PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, pengakuan ketua pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman yang ekstrim dan melampau.

Katanya, kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukkan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan 1Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakkan kebencian kepada kaum-kaum lain.

Sertai BTN syarat naik pangkat?

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa kakitangan kerajaan diwajibkan menyertai program Biro Tata Negara (BTN) yang dikatakan menjadi syarat kenaikan pangkat oleh kakitangan kerajaan.

Sedangkan, menurutnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, BTN merupakan alat doktrinisasi Umno yang sememangnya bertentangan dengan semangat 1Malaysia, yang mengiktiraf status semua kaum.

Disebabkan itu, beliau meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menjelaskan sebab musabab kerajaan menguatkuasa kewajipan tersebut.

Menjawab soal itu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Dr Koh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun meneliti silibus BTN.

Daripada penelitian Najib, beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, sekiranya terdapat kelemahan seperti yang didakwa oleh Lim, maka kerajaan akan memperbaiki silibus tersebut supaya selari dengan wawasan 1Malaysia.

Ulama Tiada Kuasa VS Ulama Ada Kuasa

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN


Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu

Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.

Seorang lagi bayi ‘terbuang’

IPOH – Belum reda kisah seorang bayi perempuan ditemui dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di sini pada Sabtu lalu, timbul pula kisah seorang bayi perempuan yang ditinggalkan oleh ibunya sejak seminggu lalu.

Nasib yang dialami bayi perempuan itu agak baik kerana dia ditinggalkan kepada seorang wanita di sebuah rumah di Jalan Tawas Baru, Taman Ehsan, Tasek dekat sini.

Ibu bayi itu menemui wanita tersebut minggu lalu meminta dia menjaga anaknya yang baru berusia beberapa hari.

Menurut jurucakap Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB), ibu bayi itu berjanji akan menjemput anaknya keesokan hari namun tidak berbuat demikian.

‘‘Selepas seminggu tidak datang mengambil bayi itu, wanita yang menerima bayi tersebut menyerahkannya kepada pihak hospital,’’ katanya di sini hari ini.

Bayi seberat 3.1 kilogram itu kini ditempatkan di HRPB sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 20 Mac lalu, bayi perempuan yang diberi nama Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di sini.

Beberapa hari selepas penemuan bayi itu, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang lebih tragis, tangannya terputus digonggong seekor anjing berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Berikutan isu pembuangan bayi yang dilihat tiada kesudahannya, Utusan Malaysia menganjurkan kempen ‘Kami Prihatin’ bagi membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan itu.

Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan bergabung merakamkan sebuah lagu khas ‘Harapan Tanpa Suara’.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman yang melawat Mahsya Kurnea di HRPB hari ini melahirkan rasa sedihnya dengan nasib bayi tersebut.

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara tersebut, Hamidah turut meluangkan masa melawat bayi itu.

Menurut beliau, sekiranya ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai masalah untuk menjaga anak mereka, beliau menyarankan supaya berhubung dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Jangan begitu mudah meletakkan anaknya di mana sahaja. Sedih saya memikirkan nasib anak-anak yang dibuang ini. Tolonglah, jangan ada lagi kejadian seperti ini,” katanya.

NASIB MUALAF DI NEGARA ISLAM, 1MALAYSIA

SABAH KINI


PDF Print E-mail

Saudara Pengarang,

Assalamualaikum wbkth.

NAMA saya Nurzulaikha Jacqueline Abdullah. Saya adalah mualaf dan kini masih menetap di negeri Perak, Darul Ridwan. Pada awalnya saya adalah seorang Kristian dan sekarang telah memeluk Islam pada 15 September 2009. Aduan saya adalah terhadap bekas suami saya yang masih beragama Kristian yang bernama Leslie Pauld'silva, yang memegang Mykad bernombor 630630-08-5587.

Masalah saya bermula apabila Mahkamah Syariah tidak memberi kata putus tentang perceraian saya. Bekas suami saya pula kerap datang ke rumah saya dan menganggu saya mengatakan saya masih isterinya.

Selain itu, dia juga mengupah orang untuk memerhatikan gerak geri saya dan mengawasi kehidupan saya. Saya benar-benar tertekan dengan kehidupan saya sekarang.

Saya juga telah menghantar emel dan surat kepada Mahkamah Kehakiman Syariah Putrajaya dan juga kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan juga Jakim Putrajaya serta beberapa badan kerajaan lain.

Namun saya tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Peguam yang saya lantik, Adham juga seperti lepas tangan terhadap saya.

Bekas suami saya menggunakan anak-anak saya untuk mengugut saya. Saya berasa risau dengan keselamatan anak-anak saya. Dia juga meminta RM9,000 dan rumah yang saya diami sekarang jika inginkan perceraian.

Saya benar-benar sedih kerana tiada pihak yang membantu saya. Saya benar-benar berharap pihak tuan dapat membantu dan menyelesaikan masalah saya sekarang.

Saya harap aduan saya akan mendapat perhatian dan tindakan dari pihak berwajib yang membaca keluhan saya di laman web tuan, terutama ke bawah duli Raja Perak, Menteri Besar Perak dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam).

Salam Hormat,

NURZULAIKHA ABDULLAH

PELAKON PORNO GANDINGAN NAJIB?



Dari Kacamata: HALIK ZAMAN

BEGITU hebat para pemimpin UMNO cuba mengaibkan dan menjatuhkan imej PKR dan Pakatan Rakyat khasnya, begitu jugalah Allah swt membiarkan keaiban terpalit pekat kepada para pemimpin UMNO lantaran anak kandungannya ‘BN’ yang dianggap sebagai anak 'sumpahan' sebagai pembawa SIAL BESAR kepada UMNO.

Di manakah letaknya kredibiliti para pemimpin UMNO dalam kes pemimpin MCA yang baru ini? Haruskah para pemimpin UMNO berbangga kerana mendapat seorang rakan baik NAJIB yang tergelar HERO filem porno dalam gandingan Najib ke arah kepimpinan 1Malaysia? Percayakah orang Islam kepada BN bersama pelakon ‘The Blue Filem’ handalan itu?

Tidakkah para pemimpin UMNO sedar, bahawa imej MCA dalam BN sudah terpalit dengan ‘kekotoran personaliti’ yang secara terang dan nyata walau pun tanpa melalui proses mahkamah kerana si pelakon filem porno itu sendiri telah membuat pengakuan terbuka?

Kita akur beliau menerima kemaafan daripada isterinya, atas kesalahan ‘kotor’ yang di lakukannya. Akan tetapi bagaiman persepsi rakyat khasnya ahli-ahli MCA? Mampukah mereka menerima seorang pelakon filem porno sebagai pemimpin mereka? Sekiranya ada, itu hanyalah segelintir ahli-ahli yang merupakan ‘die-hard fan’ kepada beliau. Yang lain?

Jika dibandingkan undi mereka, seandainya digabungkan kedua-dua undi pemimpin lain, sudah pasti ‘si pemenang’ ini tumbang, apa boleh buat berlakunya percaturan calon tiga penjuru di sini maka perpecahan undi berlaku.

Mahu atau tidak MCA sekarang ini berhadapan dengan krisis imej SEKS! Mesti diingat, kerana nila setitik, pasti rosak susu sebelanga. Suka atau tidak, imej MCA kini telah hancur di mata masyarakat Cina khasnya dan rakyat Malaysia amnya dan bagaimana pandangan orang Islam dalam UMNO pula?

Kes ini tidak ubah seperti kes rasuah Khairy Jamaludin dan Ali Rustam. Walau ternyata mereka di dapati bersalah, namun kedudukan mereka dalam parti dan kerajaan tetap terpelihara, malah diangkat ke satu kedudukan yang lebih baik dan selesa.

Apa nak dihairankan kerana segala dalam UMNO/BN walau ianya SALAH DAN HINA, tetap dipandang MULIA. Inilah budaya UMNO yang harus dikeji.

Terkini, Ibrahim Ali dan mahagurunya, Dr Mahathir memainkan peranan mereka sebaik mungkin untuk memartabatkan rakyat Malaysia sebagai Melayu, namun usaha gigih mereka kini terserlah kelihatan menuju jalan buntu. Sindir menyindir berlaku kerana Sultan Selangor enggan merasmikannya. Ibrahim Ali lupa sindiriannya itu boleh dianggap derhaka juga Ke bawah Duli Yang Maha Mulia.

Kepada Tun Mahathir, "sudah, sudah lah tu" bawa bertenang. Jantung yang penat itu bawa berehat, nanti melarat teruk pula. Cukuplah peninggalanmu kepada bangsa Melayu dua butir 'Menara Berkembar' yang jadi kebanggaanmu, silap langkah akan dilupa oleh orang Melayu. Kerana Melayu UMNO cepat lupa akan jasamu.

Ibrahim Ali amat maklum akan masa hadapannya yang akan menghadapi jalan sukar untuk menggunakan label PAS mahupun Barisan Nasional untuk bertanding di PRU 13 kelak.

Oleh yang demikian, beliau memberikan sepenuh komitmennya untuk memperkasakan Pertubuhan PERKASA. Dengan harapan PERKASA mampu popular dan beliau mungkin akan berdiri sebagai calon BEBAS dengan berpanjikan PERKASA. Buat Ibrahim Ali, PRU13 sayonara kepada politik Malaysia.

Begitu juga dengan empat orang pengkhianat PKR yang sekarang telah bergelar wakil rakyat 'KEBAS'. Mereka sebenarnya mungkin telah memasuki alam ‘senile’. Mereka lupa mereka telah dihadiahkan undi atas dasar PKR.

Kita tidak percaya mereka mampu meraih apa yang mereka nikmati sekarang ini seandainya mereka bertanding atas landasan BEBAS, jauh sekali BN kerana qualiti politik mereka tidak stabil. Maka wajarlah rakyat menggelarkan diri mereka sebagai wakil rakyat 'KEBAS'. Takkanlah mereka tidak KEBAS sebelum terima jadi penghianat PKR?

Rakyat telah memberikan mereka undi kerana kefahaman dalam PAKATAN RAKYAT dan bukan kerana individu itu sendiri. Benarlah seperti kata bidalan, seperti kacang lupakan kulit. Mereka terus menjadi BUTA HATI apabila dilayangkan $$$$$$$$$$ di hadapan mereka dan kerana $$$$$$$$$$ itu jugalah mereka sanggup menjadi ‘pembunuh’ kepada karier politik mereka itu sendiri.

PROJEK HANTU, MDK HARUS BERI PENJELASAN


Oleh: TEAM TERJAH PEDALAMAN

PENDUDUK di daerah ini ingin mengetahui dengan jelas dan terperinci mengenai satu projek yang menjadi tanda tanya berdasarkan papan tanda yang dipacak di sebuah kawasan terpinggir dan terpencil di Keningau.

Terjahan Sabahkini.Net yang mendapat maklumat dari orang ramai yang ingin tahu apakah maksud projek tersebut kerana tapak asal kedai lama Keningau ialah sejauh 1.5 kilometer dari lokasi yang dikatakan projek pelaksanaan penaikan taraf parit.

Persekitaran pelaksanaan projek ini juga menimbulkan tanda tanya kerana tidak ada deretan bangunan lama yang memerlukan penaikan taraf parit kecuali semak samun berhampiran dengan perumahan Rumah Murah JKR.

Kawasan itu juga bukanlah kawasan laluan orang ramai kerana ianya jalan mati dengan sebuah rumah di hujungnya. Yang pastinya ia bukanlah sebuah bekas pekan lama atau pun pekan.

Sabahkini.net yang membuat lawatan ke lokasi berdasarkan maklumat orang ramai mendapati tidak ada projek yang dilaksanakan. Hanya papan tanda yang dipacak membelakangkan sebuah rumah dengan di hadapannya adalah semak samun dan sebuah pondok yang lama ditinggalkan.

Sebagai makluman Kedai Lama Keningau terletak di Pekan Keningau dengan bangunan kayu bersebelahan dengan sebuah pusat beli belah dipanggil Kedai Rakyat. Ianya sejauh 1.5 km dari lokasi berkenan.

‘Projek Hantu’ ini sudah tentu memberi gambaran buruk terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini. Di mana projek yang disalurkan itu mengikut kenyataan di papan tanda adalah menggunakan peruntukan kerajaan Persekutuan dan dimiliki oleh Majlis Daerah Keningau.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengumumkan akan memberi peruntukan kepada setiap PBT di Sabah.

Persoalannya , adakah papan tanda tersebut adalah satu jenaka atau sememangnya ‘ projek hantu’ kerana sememangnya tidak jauh dari lokasi itu terdapat tanah perkuburan.

Majlis Daerah Keningau (MDK) harus membuat penjelasan mengenai projek berkenan.

Sememangnya rakyat pedalaman ingin tahu apa sebenarnya projek yang dilaksana di kawasan tersebut.

Kerajaan Akan Teliti Penjelasan Anwar Mengenai APCO: Nazri

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti penjelasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai APCO Worldwide sebelum membuat keputusan sama ada akan merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Kerajaan akan teliti penjelasan Anwar dan akan beri jawapan paling awal minggu depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Terdahulu, Anwar memberikan penjelasan mengenai desakan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) bagi merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mendakwa gagasan 1Malaysia ditiru daripada slogan "One Israel" yang dikaitkan dengan APCO di Dewan Rakyat di sini.

Anwar turut menggesa kerajaan membatalkan kontrak APCO dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pelantikan firma komunikasi antarabangsa itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.

Kejadian Bangunan Runtuh, Mungkin Satu Pembalasan


http://buletinonline.net/images/stories/berita23/inosruntuhnota.jpgTepoh, KUALA NERUS – PAS menggesa pihak terbabit menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh keatas kejadian bangunan Institut Oseanografi & Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang runtuh semalam 29 Mac.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika ditemui semalam.


”Kita (PAS) minta pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan secara terperinci, (mengenalpasti) punca menyebabkan keruntuhan (yang) berlaku,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan, kejadian demi kejadian bangunan runtuh yang semakin banyak berlaku dinegeri ini adalah ‘satu pembalasan’ akibat perbuatan zalim kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

”Kalau kita lihat, selepas daripada perobohan Masjid Bujal oleh kerajaan Barisan Nasional, jadi, tragedy keruntuhan bangunan-bangunan sentiasa berlaku, mungkin ini satu pembalasan daripada Allah SWT,”jelasnya

Katanya, perkara tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada pihak berkuasa supaya kerajaan berhati-hati mengambil tindakan dalam soal yang melibatkan kepentingan ugama dan orang ramai.

Oleh itu, katanya, peristiwa runtuhnya lantai tingkat empat bangunan INOS-AKUATROP di UMT adalah rentetan daripada peristiwa-peristiwa runtuh yang berlaku sebelum ini.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan, dengan kejadian ‘runtuh’ terbaru yang berlaku, kerajaan dapat membuat siasatan dan mengambil langkah pencegahan, supaya ianya tidak berulang.

Mengulas lanjut tragedi yang berlaku di UMT, beliau berpendapat tidak munasabah bangunan empat tingkat yang tinggi, tidak bertiang, menggunakan perancah (scaffolding) untuk membuat konkrit lantai.

Bagaimana pun, beliau berkta ianya perlu disiasat, termasuk kenyataan Menteri Besar yang menyatakan kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian pekerja terbabit.

”Tengok dari gambar itu, bangunan itu, saya tak nampak ada ‘staging’ (perancah), saya pun kurang pasti, kalau ‘staging’ kalau tinggi (empat tingkat) begitu tidak munasabah,

”sekarang ni, perlulah dibuat siasatan supaya punca yang tepat, samada ‘staging’ itu patah atau pun tidak, perlu kepada siasatan yang tepat dan telus,”tegasnya.

Dalam kejadian yang beraku pada jam 5.15 petang semalam, pihak bo,bad an penyelamat merasakan ia berlaku kerana ketidakupayaan perancah menyokong struktur, lalu lantai tingkat empat yang sedang di konkrit runtuh.

Seramai lima orang pekerja warga Bangladesh terlibat dengan kejadian yang meragut salah seorang daripada mereka, manakala yang lain masih dirawat di hospital.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan, kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian para pekerja terbabit

Kuasa politik dan kuasa agama

Dr Mohd Asri Zainul Abidin



Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini...

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa


Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah


Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya...

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...