HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mac 2010

Daim: MEB perlu fokus naikkan daya saing Malaysia

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Model Ekonomi Baru (MEB) yang akan diumumkan tidak lama lagi perlu fokus pada strategi yang akan menjadikan negara ini berdaya saing pada peringkat serantau, global dan domestik, kata bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

“Kita perlu melakukan liberalisasi strategik untuk berdaya saing. Pemboleh utamanya — modal insan dan teknologi — perlu diperkukuhkan agar ia menjadi pemangkin bagi ekonomi baharu,” katanya di dalam satu temubual terbitan 16 Mac Malaysian Business.

Petikan dari temubual itu diberikan kepada Bernama di sini hari ini. Katanya isu kemiskinan masih lagi berlaku dan penting bukan sahaja pada segi kemiskinan tegar malah MEB perlu menangani kemiskinan relatif yang kian meningkat.

Daim berkata negara ini juga perlu menambah baik persekitaran pelaburannya di dalam perkara proses kelulusan, kewujudan pekerja mahir dan insentif yang berkesan untuk menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik.

Katanya wujud keperluan untuk memudahkan prosedur pelaburan untuk memastikan kelulusan pelaburan diberi dengan segera.

“Promosi pelaburan perlu disasarkan dengan jelas dan satu proses kelulusan yang mudah bagi pekerja mahir asing perlu diwujudkan.

“Kita perlu tahu bahawa para pelabur mahu dan cuba memenuhi permintaan mereka dengan segera. Dunia kini berhadapan dunia yang saling bersaing,” katanya.

Daim berkata ekonomi Malaysia kemungkinan berkembang melalui pemulihan ekonomi global tetapi pemulihan akan kekal lemah.

“Jika wang yang diperuntukkan bagi pakej rangsangan dibelanjakan dengan berhemah, keluaran dalam negara kasar akan berkembang sekitar 5.0 peratus pada 2010 disebabkan kesan perlahan dan kadar pertumbuhan itu kemungkinan berterusan pada 2011,” katanya.

Katanya ringgit yang semakin kukuh perlu mencerminkan kukuatan fundamental ekonomi, kerana jika sebaliknya ia bukan satu keadaan yang mampan.

Paras pertukaran ringgit tidak boleh dilihat pada segi daya saing harga eksport semata-mata malah sebagai mempunyai implikasi pada keseluruhan ekonomi, katanya.

Daim yang cergas di dalam bidang perbankan, di mana Kumpulan ICBnya mempunyai cawangan di Eropah, Asia dan Afrik, telah menghulurkan pandangan di dalam pelbagai isu yang meluas dari politik, ringgit, ekonomi AS dan pasaran saham hingga kepada dasar kerajaan.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas yang termasuk dua kali sebagai Menteri Kewangan, yang termasuk pada 1999 di mana beliau membantu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memandu ekonomi keluar dari krisis kewangan Asia.

Tiada ulasan: