HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mac 2010

PAS tentukan merit aduan ‘Tulang Besi’ terhadap 3 pemimpin

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kepimpinan PAS pusat akan menentukan sama ada aduan dibuat blogger ‘Tulang Besi’, yang seringkali mengkritik tindakan pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN, mempunyai merit untuk disiasat jawatankuasa disiplin parti.

Aduan itu akan diteliti oleh dewan harian dan jawatankuasa pusat untuk ditentukan sama ada boleh disiasat jawatankuasa disiplin ataupun sebaliknya.

Jaminan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, yang sebelum ini dikritik segelintir pihak dalam PAS lazimnya mengambil keputusan seorang diri dalam menentukan status merit sesuatu aduan dibuat, selepas mengadakan pertemuan dengan blogger ‘Tulang Besi’ di ibu negara petang semalam.

The Malaysian Insider difahamkan Mustafa juga akan menemui Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim yang sebelum ini mendakwa aduannya terhadap beberapa pemimpin juga telah diketepikan oleh setiausaha agung begitu sahaja.

Beliau mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad enam bulan sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran juga mendakwa aduannya pernah ditolak Mustafa.

Tindakan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan segelintir pemimpin dan ahli PAS.

“Datuk Mustafa memberi jaminan bahawa kes ini akan dibuka dan diserahkan pada dewan harian untuk menentukan sama ada boleh disiasat ataupun tidak.

“Bagi saya, (Mustafa) seorang pemimpin PAS yang begitu terbuka, tidak seperti pemimpin PAS tertentu yang selalu marah kepada blogger-blogger seperti saya,” kata ‘Tulang Besi’ yang nama sebenarnya Abdul Rahman Talib ketika dihubungi.

“Saya juga dimaklumkan Datuk Mustafa akan menemui Abdullah Abdul Karim... tetapi saya tidak tahu bila,” katanya.

Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Mustafa berhubung aduan rasmi dibuatnya bulan lalu membabitkan tiga pemimpin kanannya.

“Setakat ini, saya tengok segalanya mengikut prosedur... jadi tiada sebab untuk saya tidak berpuas hati,” kata beliau yang mengadakan pertemuan dengan Mustafa kira-kira sejam.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Setiausaha Kerja I PAS Abdul Rahim Saidin.

Katanya, tindakan Mustafa untuk mengetengahkan aduan-aduan tersebut kepada dewan harian membuktikan Mustafa seorang pemimpin PAS yang profesional.

Abdul Rahman menambah tujuan beliau membuat beberapa aduan-aduan tersebut demi memelihara nama baik Islam dan PAS sendiri.

“Tujuan saya buat laporan ini bukan (bersifat) peribadi, tapi semata-mata kerana sayang parti (PAS),” jelasnya.

“Yang penting adalah jangan PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak boleh dipercayai (dan) jika PAS mula tidak dipercayai, imej PAS hancur dan imej Islam juga hancur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta jawatankuasa disiplin PAS supaya melaksanakan hak-hak keadilan seperti yang dijamin oleh perlembagaan parti.

Tambah beliau, dengan melaksanakan hukuman secara adil kepada pemimpin-pemimpin yang sah didapati bersalah, secara automatik mampu menjadi pengajaran kepada ahli-ahli PAS yang lain.

Pada 12 Feb lalu, Abdul Rahman mendakwa Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Hasan mendedahkan baiah taalik yang dianggap rahsia parti.

Hasan juga didakwa mendedahkan rahsia-rahsia tertentu tentang PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam suatu majlis pertemuan blogger, termasuk blogger-blogger pro-Umno.

Timbalan Presiden PAS pula didakwa membelakangkan ketetapan PAS yang membenarkan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ dengan menyertai perhimpunan ‘antikalimah’ bersama-sama 64 badan bukan kerajaan yang dilihat pro-Umno.

Di samping itu, anggota Majis Syura Ulama turut diminta memberi penjelasan berhubung kertas kerja ‘tahalluf siyasi’ yang menghalalkan PAS bergabung dengan Umno dua tahun yang lalu.

Idea dialog kerajaan perpaduan membabitkan PAS-Umno mendapat sokongan berbelah bahagi dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mereka yang menyokongnya menentang usaha sedemikian.

Nasharudin dan Hasan merupakan antara pemimpin dirujuk Nik Aziz agar ditukar dengan diadakan pemilihan khas menerusi Muktamar Agung Khas.

Muktamar khas tidak diadakan sebaliknya Hasan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin di mana keputusan diumumkan 29 Jan lalu.

Isu idea kerajaan perpaduan turut mendapat perhatian Muktamar Agung PAS 2008 dan 2009.

Beberapa pihak dalam dan di luar PAS selain Nasharudin turut menyokong idea berkenaan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi mereka berkali-kali telah menafikannya.

Akhir tahun lalu Abdul Rahman mencetuskan kejutan dengan mendedahkan rakaman yang didakwa pengakuan dan kenyataan menyokong idea kerajaan perpaduan.

Tiada ulasan: