Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya fi-Fiqihi al-Aulawiyat banyak memaparkan seni keutamaan fikah kehidupan umat Islam berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Antara yang penting diberi perhatian ialah mengenai ‘keutamaan kualiti ke atas kuantiti’ yang memfokuskan kepada perspektif syariat di dalam mengukur kebaikan yang diraih. Oleh itu, kunci kepada pencapaian kualiti itu bukannya bilangan, tetapi nilai ilmu yang dikuasai. Mereka yang berilmu adalah tidak ramai, sedangkan merekalah diakui oleh Allah sebagai orang yang mulia di sisi-Nya.
Firman Allah; ”Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar 39:9)
Keutamaan ilmu
Ia bermakna, tradisi kelangsungan ilmu kalangan umat Islam harus diutamakan bagi menjadi umat yang sempurna. Ilmu sahajalah dapat memastikan kedudukan umat terus relevan mengikut perkembangan persekitaran hidup yang penuh mencabar. Ia selari dengan maksud hadis dari Muaz Ibn Jabal radhialLahu anhu: “Ilmu adalah pemimpin, dan amal adalah pengikut.” Oleh sebab ini, mereka yang berilmu itu adalah sifatnya takut kepada Allah dan sifat itu sebenarnya sifat ulama’.
Firman Allah; ”Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fatir 35:28)
Berikutnya dari Ibn Hajar dalam sahih al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa orang yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, maka akan diberikan ilmu (kefahaman) mengenai agama-Nya. Kerana seseorang yang berilmu dan memahami ajaran Islam, ia akan mengamalkannya dengan benar dan baik.”
Mungkin, Khalifah Umar Abdul Aziz memahami konteks hadis di atas lalu beliau menanggapinya sebagai, “sesiapa yang berbuat sesuatu tanpa memiliki persiapan ilmu, maka ia akan lebih banyak menyebabkan kerosakan daripada menimbulkan kebaikan.”
Sifat pemimpin hendaklah berilmu
Dalam konteks ini, Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyentuh secara langsung dalam kaedah kepemimpinan, betapa ilmu adalah suatu seni keutamaan yang mesti dilalui dan dikuasai. Lantas menguasai pelbagai cabang ilmu termasuk ilmu agama adalah syarat bagi semua jenis kepemimpinan (politik, ketenteraan dan kehakiman). Justeru itu, penguasaan ilmu kalangan pemimpin hendaklah diselarikan dengan mengamalkan ilmu dan komited atas amalannya. Natijah sifat pemimpin itu akan membawa kebaikan kepada seluruh kepemimpinannya.
Ia bermakna, pemimpin politik harus menguasai ilmu pemerintahan, pengurusan sumber negara dan cukup amalan agamanya. Begitu pula, pemimpin tentera harus menguasai semua ilmu peperangan, strategi keselamatan dan komited dengan agama. Pun seorang kadi juga mufti yang mengurus dan merencana kehakiman harus mendalami kesemua ilmu kehidupan umat, kepemimpinan dan sedia taat mengamalkan ajaran agama.
Apa pun, seseorang pemimpin itu hendaklah berilmu pengetahuan tinggi dan sedia lengkap dengan kefahaman dan amalan agamanya. Tanpa ilmu dan agama, pemimpin itu hanya akan berjaya menguruskan diri dan umat yang dipimpinnya setakat di dunia sahaja. Tanpa agama, kepimpinannya tidak mungkin akan menyelamat dirinya dan umatnya sampai ke akhirat. Ini merupakan visi kepimpinan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.
Kelantan menerapkan kepemimpinan berilmu
Visi kepimpinan Rasulullah inilah yang sedang diisi melalui wadah kepimpinan ulama’ dan kepimpinan Islam negeri Kelantan. Ia berlaku sejak 20 tahun lepas di bawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Justeru itu, pengalaman 13 tahun Rasulullah di Mekah dengan agenda memantapkan generasi pertama Islam telah diberi keutamaan. Program pembinaan akidah (keimanan) dan bimbingan kerohanian telah diutamakan. Sehingga generasi pertama itu memenangi ujian pertama di dalam peperangan Badar. Maka, di Kelantan asas-asas pembinaan akidah dan kerohanian menjadi keutamaan tatkala melaksanakan program pendidikan massa yang menolak segala kaedah dan pendekatan keduniaan yang menafikan agama.
Berlaku secara amali di Kelantan ialah falsafah Islam telah diterapkan di dalam sistem pentadbiran dengan mengutamakan prinsip akidah (ubudiah), syariah (masuliah) dan kualiti (itqan). Sehubungan itu, agenda pembebasan campur-baur antara halal dengan haram diutamakan. Misalnya, memindahkan akaun kerajaan Negeri ke Bank Islam, mewujudkan tabung Serambi Mekah yang mengasingkan sumber halal dengan yang haram, memperkenalkan peraturan pakaian menutup aurat, mengamalkan bacaan al-Fatihah sebagai adab memulakan majlis dan bacaan doa tasbih kafarah dan surah al-Asri ketika mengakhiri majlis, menyedia tempat duduk khusus untuk lelaki dan wanita, dan mempamerkan mesej dakwah melalui papan tanda dan billboard. Malah, menerapkan budaya pengurusan berintegriti, tadbir urus terbaik, tanpa rasuah dan mengutamakan kualiti. Di samping sentiasa berserah kepada Allah di atas setiap kekusutan dihadapi dengan menganjur solat hajat dan munajat.
Kesemua kaedah dan pendekatan akidah, syariah dan kualiti itu adalah bersifat keagamaan yang tidak pernah wujud di dalam falsafah sekular atau mana-mana pihak yang memakai perkiraan pentadbiran sekularisme. Justeru itu, pihak kerajaan Barisan Nasional amat tidak popular di dalam mengamalkan seni keutamaan berteraskan akidah mahu pun keagamaan. Oleh itu, tidak berlaku di sepanjang penguasaan pentadbiran pihak kerajaan BN untuk menerima prinsip akidah, syariah dan kualiti berteraskan Islam. Maka, tidaklah menjadi syarat utama untuk kerajaan BN mentadbir segala urusan politik, ketenteraan dan kehakiman mengikut acuan Islam.
Kesannya ada Mak Menteri yang tidak menutup aurat, maka jauh sama sekali untuk mewajibkan isteri-isteri Pak Menteri, pembesar negeri dan kakitangan wanita menutup aurat. Muncul pula, NGO seperti Sisters in Islam yang mengkritik undang-undang syariah mengenai hukuman sebat. Salah faham Islam terus melebar kalangan umat Islam sendiri. Jauh sekali orang bukan Islam untuk memahami Islam.
Oleh itu, keberkatan tidak dapat dirasai di dalam pentadbiran kerajaan BN. Ia adalah manifestasi amalan sekularisme kerajaan BN yang mengabaikan tuntutan akidah Islam. Di atas perjalanan pincang akidah Islam itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz mencadangkan agar Umno sebagai tunggak BN menukar dasar perjuangan yang sekular itu kepada Islam.
Mufti sepatutnya menegur sekularisme
Atas aspek ini, ada ulama’ termasuk mufti yang bersikap tidak cuba memberi keutamaan untuk memperbetulkan perjuangan Umno agar tidak berkompromi dengan sekularisme. Sebaliknya, pihak ulama dan mufti tertentu sibuk mengutamakan usaha menangani perselisihan sesama umat Islam. Sedangkan punca segala-gala kepincangan di dalam masyarakat Islam di negara ini adalah sekularisme.
Sepatutnya ulama’ dan mufti bergegas-gegas menemui pemimpin Umno yang sekular itu supaya menerima dasar Islam di dalam menjalankan urusan pentadbiran negara dan negeri. Mereka sepatutnya mereka memberi penjelasan dan keyakinan kepada para pemimpin dan pembesar Umno betapa segala-gala kesan buruk akan menimpa umat Islam bila mana mereka terus bergelumang dengan sekularisme, termasuklah berlaku perselisihan sesama umat Islam selagi mana tidak menerima dasar Islam.
Sememangnya para ulama’ dan mufti amat arif di dalam menilai keutamaan akidah dan syariah serta kualiti Islam. Tiadalah alasan untuk ulama’ dan mufti mengunci mulut di dalam persoalan hukum qat’i ini. Janganlah pula ada ulama’ dan mufti tersalah menilai seni keutamaan ini. Sehingga ada yang mengutamakan usaha menyelesaikan isu perselisihan antara parti-parti politik berbanding usaha membetulkan akidah perjuangan yang sekular kepada Islam.
Apa yang berlaku dalam krisis politik di Perak sebelum ini adalah jelas angkara kegagalan ulama’ dan mufti kerajaan. Apabila sikap hukumah para ulama’ dan mufti gagal menegur tindakan tidak berakidah oleh ahli politik yang sanggup ‘murtad’ dengan parti sendiri dan keluar menjadi ahli politik ‘bebas’ dan menyokong pula puak BN. Kesanya, terbaliklah sebuah kerajaan Negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat dan muncullah kerajaan BN sebagai kerajaan bertaraf ‘kerajaan yang merampas kuasa.’
Sebaliknya, selepas kejadian ahli politik ‘murtad’ itu dan berkuasa semula kerajaan BN di Perak (tanpa mandat majoriti rakyat), dengan tiba-tiba muncul seorang mufti berpihak kepada kerajaan yang merampas kuasa, atas alasan kononnya kembali semulalah kuasa orang Melayu. Sedangkan kerajaan yang terbalik dek kerana tindakan ‘murtad’ ahli politik tersebut sebenarnya juga dikuasai oleh orang Melayu dan seorang beragama Islam menjadi Menteri Besar.
Dalam hal tersebut, di manakah benarnya hujah keutamaan untuk seorang mufti berpihak kepada kerajaan yang merampas kuasa? Malah, sanggup pula menjadi broker untuk mengadu-domba beberapa pemimpin agar bersetuju dengan sikap ‘agamanya’ yang tersasar daripada hukum fikah keutamaan berteraskan akidah dan syariah.
Jika benar mufti itu mempunyai niat untuk membina keutuhan akidah dan syariah, seeloknya pada ketika dua ahli politik itu ingin ‘murtad,’ sewajarnya mufti yang berkhidmat kepada kerajaan Negeri itu menegurnya, kerana ia boleh menggugat kestabilan politik umat Islam yang sedang menerajui kerajaan Negeri.
Namun, ia tidak berlaku, malah seni keutamaan yang diamalkan oleh mufti itu sudah dilihat tumpul. Maka, tidak berlakulah apa yang sepatutnya. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah tidak sepatutnya berlaku. Dan rakyat kini sudah mengetahui arah kiblat mufti itu. Natijahnya, kepada Allah jua kita kembali, dan kepada-Nya kita semua berserah diri.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan