HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2010

Hak ‘nama pena’: Ujang perlu lawan Adun Kukup (Umno) - Zunar

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR: Kartunis Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Mohd Noor ada asas yang kuat untuk mengguna nama penanya dalam setiap penghasilan karyanya, demikian kata Zunar ketika mengulas nasib temannya itu.

Dalam kenyataan terbaru, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee S M Anwar Ulhaque berkata, Ujang perlu sedia berdepan dengan Adun Umno Kukup Md Othman Yusof, iaitu bekas majikannya untuk mendapatkan semula haknya mengguna nama pena 'Ujang'.

"Saya gesa Ujang tidak bersifat defensif menepis saman daripada Md Othman Yusof, tapi sudah sampai masanya beliau melancarkan tindakan mahkamah terhadap bekas majikannya itu untuk mendapatkan kembali hak nama pena beliau.

"Saya percaya beliau (Ujang) mempunyai kes yang kuat daripada segi undang-undang," tambah Zunar lagi.

Ujang atau Ibrahim Mohd Noor, 40 berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan kini menampung kehidupan dengan bersumberkan rezeki melukis kartun, di samping isteri Zaihah Abdul Rahman, 42, bersama empat orang anak-anaknya; Mohd Syafiq (17), Syanaz (14), Syahim (9) dan Syauqi (4).

Zunar yang merupakan teman seperjuangan Ujang berkata, sejak meninggalkan Creative Enterprise kira-kira 15 tahun lalu, beliau dan teman baiknya itu tidak pernah bertemu sehinggalah di Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Selama tempoh itu, kata Zunar, Ujang telah mengalami peristiwa jatuh bangun dalam kerjayanya sebagai seorang katunis. Setelah keluar dari Gila-Gila, beliau menyertai Moy yang dimiliki Md Othman Yusof yang menerbitkan majalah kartun Ujang.

Menurut Zunar, Ujang kemudiannya bertindak keluar daripada syarikat tersebut setelah berselisih faham dengan majikannya itu.

"Ketika Ujang bersama Moy, nama Ujang yang digunakan syarikat itu di kepala majalahnya telah didaftarkan oleh Moy.

"Akibatnya, melalui tindakan mahkamah, setelah keluar daripada Moy, Ujang tidak boleh lagi mengguna nama 'Ujang' dalam lukisan kartunnya, yang jelas merupakan nama pena beliau sendiri," tambah Zunar lagi.

Zunar mengulas pertemuan beliau dengan Ujang dalam pertemuan di PBA KL baru-baru ini, yang antara lainnya turut menyentuh isu tersebut.
"Beliau menceritakan bagaimana beliau menerima puluhan saman dan injuksi mahkamah dari Md Othman bagi menghalang Ujang mengguna nama itu.

"Saya tidak mahu mengulas sebarang masalah beliau, sama ada dengan Creative Enterprise atau Moy mengenai hak cipta, kerana ia adalah masalah Ujang dengan syarikat-syarikat itu," tambah pencetus komik-komik bersiri Gedung Kartun itu.

Beliau dalam kenyataannya yang terbaru, turut mengakui bahawa sesuatu hak cipta itu telah didaftar oleh syarikat, namun baginya adalah tidak adil jika kartunis tersebut turut dilarang daripada menggunakan 'nama pena' sendiri.

Untuk rekod, Ujang menggunakan nama pena itu sejak 20 tahun lalu, sebelum beliau menyertai Moy.

"Saya rasa, Md Othman tidak berhak menghalang seseorang kartunis daripada menggunakan nama pena dalam karya atau penerbitan lain. Ia bertentangan dengan prinsip akta hak cipta sejagat," katanya lagi.

Tambah Zunar, kes Ujang dalam konteks ini adalah masalah bersama yang patut mendapat perhatian setiap kartunis.

"Jadi, saya menggesa semua persatuan kartunis seperti Pekartun dan Pekomik membuat pendirian yang jelas berhubung isu ini," tambah Zunar lagi.

Tiada ulasan: