BERITA HARIAN ONLINE
KOTA KINABALU: Seramai 12 warga emas di luar bandar negeri ini kerugian RM26,950 akibat terpedaya tipu helah beberapa lelaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meminta mereka menyerahkan wang pendahuluan mendapatkan bantuan bulanan jabatan itu, dari Januari hingga Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Soh Hock Sing, berkata modus operandi suspek ialah mengekori mangsa keluar dari bank atau jabatan kerajaan dan mendekati mereka untuk menawarkan pertolongan menguruskan permohonan mendapatkan bantuan JKM.
Katanya, mangsa yang kebanyakannya berusia antara 60 hingga 75 tahun dibawa memasuki kenderaan lelaki terbabit dan diminta mengeluarkan semua wang dalam akaun mereka sebagai pendahuluan bagi mengurus pengeluaran bantuan kebajikan yang dijanjikan. "Suspek menjadikan warga emas yang kurang pendidikan sebagai mangsa.
Kebanyakan kes dicatatkan di Inanam, Penampang, Tuaran, Papar, Keningau dan Beaufort dengan kebanyakan mangsa adalah pesara memiliki simpanan dalam bank
“Siasatan yang dijalankan juga menjurus kepada kemungkinan suspek mempunyai kaitan antara satu sama lain," katanya pada sidang media, di sini semalam.
Soh berkata, tahun lalu, sebanyak 23 kes seperti itu dicatatkan dengan jumlah kerugian RM65,088, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga emas supaya berhati-hati apabila dihampiri lelaki terbabit.
Selain itu, Soh berkata, masih ada pemilik telefon bimbit terpedaya dengan penipuan cabutan tiket bertuah dan pelbagai peraduan menawarkan ganjaran lumayan.
Katanya, 39 kes dengan nilai kerugian RM124,480 dicatatkan tahun lalu dan sembilan kes dengan nilai kerugian RM11,967 dicatatkan dari Januari hingga Sabtu lalu.
"Mangsa menerima SMS yang mengucapkan tahniah kerana memenangi tiket bertuah atau peraduan yang kononnya dianjurkan Power Root, Petronas dan Shell dengan menawarkan hadiah lumayan.
"Mangsa diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun orang yang menghantar SMS sebagai caj perkhidmatan untuk menghantar hadiah. Bagaimanapun, hadiah itu tidak diberikan," katanya.
Mengenai kes penipuan kad kredit, katanya, polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia 26 dan 28 tahun di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini kerana disyaki menggunakan kad kredit palsu pada jam 11.30 pagi kelmarin.
Beliau berkata, berdasarkan intipan, polis menahan mereka ketika dipercayai ingin berlepas ke Hong Kong dan hasil pemeriksaan menjumpai 18 kad kredit dipercayai palsu pada suspek berusia 26 tahun dan 19 kad yang sama pada rakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan