HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Mac 2010

KDN Proses Dan Lulus 98,916 Pekerja Asing Sehingga 11 Mac Lepas

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memproses dan memberi kelulusan kepada 98,916 pekerja asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam lima subsektor perkilangan yang kritikal dalam negara sehingga 11 Mac lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat berkata berdasarkan rekod, ia membabitkan sektor elektrik dan elektronik (54,844), perabot (17,033), plastik (11,044), sarung tangan getah (10,430) dan tekstil (5,655).

Beliau berkata kerajaan membenarkan hampir kesemua pekerja asing itu bekerja di Malaysia dalam tempoh lima bulan di bawah konsep "fast track" bagi memenuhi keperluan kelima-lima subsektor yang dikenal pasti sebagai sektor kritikal yang sangat memerlukan pekerja untuk meneruskan operasi.

"Kelulusan ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) manakala KDN hanya memproses permohonan dan memberi kelulusan berdasarkan kepada kelulusan daripada pihak KSM," katanya semasa menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Ibrahim meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan secara terperinci mengenai kelulusan membenarkan kemasukan pekerja asing yang berjumlah 100,000 dalam tempoh lima bulan sebelum ini.

"Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah proaktif yang drastik, mungkin banyak syarikat akan menanggung kerugian kerana eksport mereka terjejas," katanya.

Bagaimanapun Jelaing berkata kelulusan fast track itu merupakan langkah jangka pendek kerana permohonannya sudah berakhir pada 31 Disember lepas manakala kelulusan di KDN bergantung kepada bila majikan datang untuk memohon di Pusat Kelulusan Setempat.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memastikan bahawa rakyat tempatan diberi keutamaan dalam mendapat pekerjaan.

"Strategi jangka panjang kerajaan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan membuat kajian keperluan guna tenaga kerja sebenar tiap-tiap sektor oleh kementerian atau agensi berkaitan. Hasil daripada kajian ini, kerajaan akan menetapkan penanda aras bagi setiap sektor," katanya.

Beliau berkata kerajaan berhasrat mengekalkan jumlah 1.5 juta pekerja asing dalam negara sebagai jumlah maksimum.

Tiada ulasan: