HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Mac 2010

Cegah perlatan seks: Pinda Undang-Undang Kecil Tred

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa dilakukan pindaan serta-merta ke atas Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan 1986 bagi tujuan membendung penjualan peralatan seks secara terbuka.

"Undang-undang itu sebelum ini mengecualikan alat cenderamata seks daripada dikenakan lesen dan ia perlu dipinda untuk memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak berkuasa tempatan seperti DBKL untuk bertindak.

"Selain itu, penguatkuasaan undang-undang menerusi Seksyen 292 Kanun Keseksaan juga harus ditingkatkan dengan menangkap dan mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab terlibat dalam penjualan serta penyebaran peralatan seks ini di pasaran," kata Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam suatu kenyataan baru-baru ini.

Menurut beliau, peranan mencegah penjualan bahan seperti ini juga tidak seharusnya dilaksanakan penguatkuasa tempatan serta wartawan akhbar semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua.

"Kami gesa kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar mengesan laman yang membuat urusniaga peralatan seks secara maya sekali gus mengarahkan penutupan segera urusniaga itu agar budaya gejala seks bebas dapat dikurangkan.

"Malah, peranan Kastam Diraja Malaysia (KDM) juga perlu diperkemaskan dari sudut kawalan di semua pintu masuk. Dengan memperketat kawalan masuk peralatan seks ini yang kebanyakannya dari China dan Hong Kong, sedikit sebanyak akan mengurangkan lambakan peralatan ini," kata beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Muhammad Faisal berkata, peranan NGO sebagai pemberi maklumat dan pemantau gejala harus diambil perhatian oleh pihak berkuasa dalam menjadikan mereka sebagai rakan pemantau agar gejala ini dapat dibendung dengan pantas.

"Bagi golongan pendidik pula, antara peranan yang boleh dimainkan adalah dengan membawa pelajar yang terlibat dengan penggunaan peralatan ini agar dirujuk kepada kaunselor untuk diberi khidmat nasihat.

Tambahnya, peranan terpenting adalah melalui sikap ibu bapa sendiri dengan melakukan pemeriksaan ke atas beg sekolah anak-anak dan peduli ke atas rutin harian anak-anak walaupun dihambat kesibukan.

"Bimbingan ibu bapa sangat berkesan bagi memastikan generasi muda tidak mudah terlibat dengan budaya negatif itu.

"Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, PKPIM percaya budaya seks bebas akan dapat dibendung dan kes-kes pembuangan bayi juga akan dapat dikurangi," tambah beliau lagi.

Tiada ulasan: