HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2010

Najib halalkan judi Piala Dunia Fifa 2010?

Oleh: Shirzad Lifeboat (detikdaily)


Sepak-mula kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 bakal bermula di Stadium Soccer City, Johannesburg, Afrika Selatan dalam masa kira-kira dua bulan dari sekarang apabila tuan rumah melayan Mexico dalam perlawanan pembukaan.

Dianggarkan seramai 2.7 juta penonton akan bertandang ke stadium bagi menyaksikan 64 perlawanan dalam edisi ke-19 acara dunia ini dan dengan itu membolehkan negara bekas jajahan British yang pernah dikutuk dunia kerana amalan pengkastaan manusia dikenali sebagai ‘apartheid’ mengutip perolehan kira-kira 4.6 bilion Rand (RM2 bilion) hasil jualan tiket. Berdasarkan angka perolehan dari sektor pelancongan pada tahun 2006, sekitar 66 bilion Rand, maka temasya ‘South Africa 2010’ sudah tentulah menjanjikan perolehan berlipat ganda.

Namun angka ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah perolehan dari pengiklanan pelbagai media, hak pengiklanan, penajaan, dan hak penyiaran TV yang pasarannya adalah merupakan 2.8 bilion penduduk planet Bumi yang bakal terpaku di hadapan televisyen bagi menonton setiap keghairahan, drama dan saat-saat cemas perlawanan 32 gergasi bola sepak dunia. Jika pada temasya tahun 2006, FIFA sahaja memungut potongan hasil penajaan 1.9 bilion Euro (RM8.4), jumlah keseluruhan bagi temasya tahun 2010 ini termasuk semua jenis penajaan pasukan yang bertanding tentulah berlipat ganda.

Apapun, itu semua bukanlah penyudah cerita. Jauh daripada segala sorak sorai dan hikuk pikuk stadium, sama ada dalam dunia maya mahupun dunia nyata, dan sama ada dibenarkan atau diharamkan oleh negara masing-masing, puluhan juta lagi mereka terbabit secara tidak langsung dengan kejohanan ini. Sementara Fernando Torres berhempas pulas untuk menjaringkan gol untuk pasukan Sepanyol, Didier Drogba melakukan apa sahaja terdaya bagi mempastikan Cote d’Ivoire (Ivory Coast) tidak terkandas di pusingan pertama, Edwin van de Saar melaksanakan misi lebih besar dari sekadar di Manchester United dalam menjaga gawang pasukan Belanda, serta lain-lainnya, puluhan juta ini mempertaruhkan wang mereka bagi mengaut keuntungan lebih besar dalam apa yang dinamakan sebagai ‘pertaruhan sukan’.

Dikatakan jumlah wang yang bertukar tangan dalam pertaruhan sukan ini berlipat ganda berbanding gabungan perolehan jualan tiket, hasil dari pengiklanan dan penajaan dan malah perolehan sektor pelancongan.

‘Pertaruhan sukan’ atau dalam istilah lebih mudah, perjudian melibatkan keputusan sesuatu sukan adalah perniagaan yang kelumayanannya sukar untuk dibayangkan.

Di Malaysia sendiri, berdasarkan satu laporan sebuah syarikat sekuriti terkemuka tempatan, nilai wang tunai yang bertukar tangan dalam perniagaan pertaruhan yang dibenarkan oleh kerajaan adalah dalam lingkungan RM850 juta sehari. Dan bagi pertaruhan yang diharamkan oleh kerajaan, jumlahnya dianggarkan sama. Justeru bermakna nilai perniagaan perjudian di Malaysia (tidak termasuk perjudian di kasino) adalah kira-kira RM1.7 bilion sehari atau RM620 bilion setahun.

Sudah tentu kebanyakan rakyat tidak menyedari wujudnya aliran wang tunai sebanyak ini. Hadiah yang diperolehi oleh mereka yang menang adalah terlalu kecil berbanding keuntungan yang dikaut oleh pemilik atau pengusaha perjudian ini. Dan begitu juga dengan jumlah pemenang yang terlalu kecil berbanding dengan keseluruhan saiz pasaran.

Perolehan dan keuntugan inilah yang telah digunakan oleh segelintir pemilik/pemegang lesen dan juga pengusaha haram untuk membina pelbagai infrastruktur dan mewujudkan empayar perniagaan membabitkan bidang: hartanah, perhotelan, pelancongan, pengangkutan, telekomunikasi, hiburan dan bermacam lagi yang penggunanya melibatkan jutaan umat Islam di negara ini.

Seorang penganalisis politik dan penulis veteran pernah memberitahu betapa denyut nadi ekonomi negara ini adalah disebabkan oleh wang hitam. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh beliau dengan istilah wang tersebut.

Pada tahun 1991, sebuah lagi syarikat telah diberikan lesen menjalankan pertaruhan berasaskan ramalan angka sebagai tambahan kepada dua lagi syarikat yang telah sedia menjalankan kegiatan perjudian berasaskan ramalan nombor ini, masing-masing, sejak tahun 1968 dan 1969.

Pemberian lesen perjudian ramalan nombor (berasaskan lumba kuda) yang lebih selesa diistilahkan oleh kerajaan UMNO-BN sebagai pertaruhan sukan pada tahun 1968 dan ramalan angka yang diistilah oleh mereka sebagai ‘sukan’ itu tidak mustahil ada kaitannya dengan kegemaran seorang pemimpin tinggi UMNO-BN yang cukup meminati sukan lumba kuda ini (sekiranya ia boleh dianggap sebagai sukan semata-mata). Namun pemberian lesen perjudian tahun 1991 ini mungkin didorong atas pertimbangan ekonomi memandangkan pemimpin tinggi UMNO-BN ketika itu sibuk bercakap tentang pemulihan ekonomi di tengah-tengah kegawatan ekonomi awal 1990-an.

Pada tahun 2003, sebelum bersara dan selaku Menteri Kewangan pemimpin ini telah sekali lagi meluluskan permohonan untuk pertaruhan-sukan kepada seorang usahawan terkemuka, yang sebelum itu telahpun menjalankan operasi perjudian ramalan angka ini. Permit yang diluluskan ialah untuk tempoh 20 tahun dengan bayaran sebanyak RM25 juta kepada kerajaan. Permohonan mungkin dibuat berdasarkan pertimbangan perniagaan memandangkan kejohanan Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung pada tahun 2006 di Jerman dan juga untuk sirkit bola sepak tempatan sendiri.

Malangnya, sebaik sahaja kepimpinan kerajaan UMNO-BN bertukar-tangan kepada pemimpin lain yang, setidak-tidaknya cuba memaparkan imej Islam setakat yang terdaya, kelulusan ini dibatalkan.

Kini Piala Dunia FIFA kembali menjadi tumpuan dan sudah ada desas-desus mengatakan kerajaan UMNO-BN akan meluluskan semula permit/lesen pertaruhan sukan (dibaca sebagai perjudian sukan). Meluluskan permit judi baru seperkara dan kepada siapakah permit itu akan diberikan adalah merupakan seperkara lagi.

Perjudian, dengan apa nama sekalipun adalah haram di sisi Islam. Melegitimasikan perjudian menerusi undang-undang tidak akan menyebabkan ia menjadi kurang haram. Benar, ada undang-undang melarang orang Islam memasuki kasino dan berjudi. Tetapi setakat manakah undang-undang membabitkan umat Islam dapat dikuatkuasakan bagi mengekang umat Islam dari terbabit dalam apa juga bentuk perjudian ramalan angka yang telah dihalalkan oleh undang-undang.

Sementara penguatkuasa undang-undang bertungkus-lumus membawa ke muda pengadilan orang yang kononnya melakukan liwat walaupun dengan menawarkan bukti paling samara, belum ada lagi orang Islam yang diberkas dan didenda kerana melibatkan diri dalam perjudian ini walaupun ramai dari mereka yang terang-terang melakukan jenayah syariah ini.

Anehnya, apabila desas-desus bertiup dengan semakin kencang, tidak ada seorang pun dari kalangan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO yang berdegar-degar bercakap mempertahankan penggunaan kalimah Allah bangkit untuk mendapatkan penjelasan dari Perdana Menteri.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution dan, lebih ironi, Ahli Parlimen Rasah, Low Siew Fook yang mengemukakan persoalan mengapakah Datuk Seri Najib, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berahsia-rahsia dan tidak membincangkan perkara ini secara terbuka di Parlimen sedangkan ia adalah isu besar dan boleh membawa kepada pelbagai gejala sosial.

Nampaknya ketidak-ketelusan inilah yang mengakibatkan sudah ada spekulasi dari golongan tertentu bahawa Najib mahu menjadikan pendapatan dari perjudian ini sebagai antara enjin penjana ekonomi negara. Selain itu ada yang berpendapat lebih ekstrim dan mengatakan UMNO-BN perlukan dana yang banyak sebagai persediaan menghadapi temasya sabung ayam pada Pilihanraya Umum-13 kelak.

Tiada ulasan: