Oleh Subky Latif
DATUK Sir Onn bin Jaafar semasa mudanya dulu adalah seorang wartawan. Dia mengkritik Sultan Johor, Al-Marhum Sultan Ibrahim pada ketika demokrasi belum begitu diketahui oleh orang Melayu, fahaman feudal masih menebal dan pantang pemegang takhta ditegur baik terbuka atau tertutup.
Tetapi dengan jiwa kewartawanannya, Datuk Onn mengkritik Sultan Johor. Lalu dia dibuang negeri. Maka dia menetap di Singapura meneruskan kerjaya kewartawanannya.
Ketika dia sudah hilang kuasa dan memimpin Parti Negara, dia menerbitkan mingguan lidah rasmi partinya bernama Kritik. Di akhbar itu ada kolum dinamakannya Kertak & Kertik. Kandungannya membalun Ketua Menteri Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra, kerajaan Perikatan dan UMNO.
Bagi mingguan itu tiada yang betul bagi metua menteri, kerajaannya dan partinya – UMNO dan Perikatan.
Kerajaan tidak ambil apa-apa tindakan kepadanya dan kepada mingguan Kritiknya kerana Datuk Onn mempraktikkan amalan kebebasan bersuara dan bermedia. Mana yang mereka tidak setuju dengan akhbarnya, mereka jawab melalui media masing-masing dan majlis-majlis penerangan.
Ada betul Datuk Onn dan ada juga kelemahannya. Tetapi umum mengira Datuk Onn menunaikan haknya.
Justeru itu payah hendak memahami tindakan cucunya yang menjadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin memanggil penerbit harian China Press meminta sebab mengapa ia menyiarkan berita konon Ketua Polis Negara dikatakan hendak berhenti sedang tempoh khidmatnya hingga menjelang hujung tahun ini.
Akhbar Cina itu dikehendaki minta maaf atas penyiaran itu, lalu dipatuhinya. Pengarangnya dikenakan tindakan gatung tugas dua minggu oleh majikan.
Justifikasi kerajaan dan menteri atas tindakan itu ialah sensitif dan melanggar peraturan tertentu. Logiknya ialah ia boleh mengancam keselamatan. Kalau ia tidak membahayakan tentulah tidak sampai begitu sensitifnya kerajaan dan menteri.
Jenuh saya hendak memahami di mana sensitifnya berita Ketua Polis Negara diramalkan hendak berhenti? Setakat ini saya belum nampak sensitif dan bahayanya cerita itu. Belum ada penjelasan yang meyakinkan ia mengancam hingga melogikkan akhbar itu dipanggil.
Mungkin berita itu tidak tepat atau tidak betul. KPN belum hendak hendak bersara. Dia mungkin mahu menghabiskan tempoh kontrak khidmatnya.
Apa cemperanya kepada keselamatan kalau berita itu tidak betul? Adakah huruhara negara dan pasukan polis oleh berita itu?
Kiranya ia sensitif, ia boleh diatasi dengan menafikan, ia berita tidak betul.
Penyiaran itu adalah satu berita ramalan. Ramalan boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Sekalipun ramalan itu tidak betul, tidak pula teori kewartawanan melarang penyiaran berita ramalan.
Yang dilarang ialah membocorkan rahsia negara atau apa yang diklasifikasikan di bawah akta OSA.
KPN dikatakan hendak berhenti, tidak termasuk dalam perkara OSA atau akta hasutan.
Tidak mustahil ada akhbar tidak bertanggungjawab dan tidak jujur. Tindakan boleh dikenakan kepadanya. Jika sah ia melanggar undang-undang ia boleh didakwa di mahkamah. Jika ia menyiarkan fitnah, saman malu boleh dibuat.
Sekali pun ada hak kerajaan untuk bertindak, tetapi sekadar menyiarkan berita tidak betul tentang KPN hendak berhenti, tidak cukup kuat bagi mengenakan tindakan seperti yang telah dibuat itu.
Biar pembaca sendiri mengenakan tindakan. Semua akhbar lazimnya wujud untuk tujuan komersial selain bagi mengiklankan hala tujunya.
Moral akhbar bergantung pada ketepatan beritanya dan maklumat yang relevan. Pembaca menyokongnya – membelinya dan memberi iklan kepadanya -kalau beritanya tepat dan dapat memberikan maklumat yang orang ramai patut tahu.
Media yang bertanggungjawab menjaga keperluan dan kepentingan seperti ini kerana ia menyebabkan ia laris dan disanjung umum.
Tetapi kalau ia tidak menyiarkan maklumat tepat, seperti KPN belum hendak berhenti dikatakan hendak berhenti, apabila pembaca merasa mereka tertipu oleh berita seperti itu, sentiasa tidak betul beritanya, maka pembaca tidak menyokongnya.
Akhbar boleh tutup jika ia tidak laku atau sentiasa menghadapi saman malu. Bila ia tidak laku, ia tidak mampu menanggung kos pengeluarannya. Ia boleh tutup. Jika ia laku tetapi asyik terpaksa membayar saman malu, habis pulangan perniagaan kerana menampung saman, maka ia juga tidak dapat meneruskan operasi.
Jika China Press didapati selalu menyiarkan perkara tidak betul, maka biar pembaca bertindak. Sebab mereka ditipu. Tentulah pembaca tidak suka mereka ditipu. Bodohlah mereka kalau mereka suka ditipu.
Mengapa penonton TV ramai beralih kepada TV Astro dari TV rasmi ialah kerana terasa mereka ditipu dan mereka tidak mahu terus ditipu.
Justeru itu biarkan saja publik melakukan tindakan terhadap kelemahan media. Sebagai pelanggan, publik dikira tahu apa yang mereka mahu. Beberapa orang anggota publik boleh bertindak salah, tetapi bagi publik seluruhnya, sekalipun ia ada kelemahan tetapi publik tetap dikira pelanggan yang betul.
Menteri dan kerajaan lazimnya tidak dapat layanan seperti yang diperolehi oleh publik. Itulah agaknya mengapa Tunku dan Tun Razak tidak bertindak atas kerja kewartanan Datuk Onn.
Walaupun Sultan Johor bertindak mengusir Datuk Onn dari Johor, tetapi Sultan yang sama pula mengangkatnya jadi Menteri Besar Johor.
Kebimbangan saya ialah kemungkinan China Press mengamalkan apa yang Datuk Onn pernah amal. Ini yang cucu Datuk Onn patut amati ketika berdepan dengan kerja kewartawanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan