HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Mac 2010

Nik Aziz ajak rakyat contohi cara berpolitik MCA

MALAYSIA KINI



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu rakyat mencontohi cara berpolitik pemimpin MCA kerana mereka memlilih dan menjatuhkan seseorang pemimpin melalui pemilihan di peringkat dalaman parti.

Pada 4 Mac lalu, 22 angota jawatankuasa pusat (CC) MCA meletakkan jawatan, yang sekaligus menyaksikan Datuk Seri Ong Tee Keat terpaksa bertanding semula jika mahu terus berkuasa.

Menurut Nik Aziz, masyarakat bukan Islam akan memerhatikan bagaimana buruknya politik orang Melayu apabila bertelagah sesama sendiri.

Beliau mengulas dan menyelar tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain atau ketuanya di khalayak umum apabila keluar parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, jika anggota parti yang tidak suka kepada pemimpinnya, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman mengikut prosedur dalam sesebuah pertubuhan, sama ada melalui mesyuarat agung atau sebagainya.

"Mendedahkan keburukan bekas pemimpin kepada orang lain di khalayak umum perbuatan tidak berakhlak dan tidak bertamadun," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramahnya di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, hari ini.

Nik Aziz mengulas tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang mendedahkan kepincangan dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR), membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Terbaru, Zahrain mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Nik Aziz berkata, anggota parti mempunyai saluran tertentu untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak suka dan bukan cara mendedahkan keaiban pemimpin itu di khalayak umum.

"Ini cara tidak kena dan peluang masih terbuka untuk pihak yang melakukan perbuatan itu kembali ke pangkal jalan untuk bertaubat daripada melakukan kesalahan itu," katanya.

Tiada ulasan: