HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mac 2010

Ucapan Sulung Zahrain Sebabkan Anwar Keluar Dewan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim selaku wakil rakyat Bebas hari ini yang mendedahkan punca beliau meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan suasana Persidangan Dewan Rakyat bertukar kecoh.

Malah kurang lima minit selepas bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu berucap bermula 5.05 petang, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar Dewan selepas Zahrain mengaitkan Anwar dengan kegagalan pakatan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan "16 Sept".

Zahrain yang menyifatkan rancangan itu sebagai usaha untuk mengambil alih kerajaan tanpa mengira kesannya, berkata beliau masih ingat bagaimana wakil rakyat PKR diperalatkan dan dibohongi kononnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti lebih daripada mencukupi.

Katanya mereka diberitahu kononnya Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di Istana Negara untuk memberi perkenan kepada pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan.

"Malah Yang di-Pertuan Agong dikatakan merestui YB Permatang Pauh sebagai Perdana Menteri keenam," kata Zahrain ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong merasmikan pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Di peringkat itu, suasana menjadi kecoh apabila Anwar meminta dirinya tidak dikaitkan dengan perkara itu.

Kekecohan berlaku apabila beberapa anggota parlimen BN dan pembangkang bangun untuk mencelah termasuk Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrisnan yang menggesa supaya Zahrain menarik balik kenyataannya.

Ketika itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan peraturan 36(8) bahawa kelakuan atau sifat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu atau Yang Dipertua Negeri atau hakim-hakim atau mana-mana Suruhanjaya tidak boleh disebut kecuali dikeluarkan usul.

Zahrain kemudiannya menyambung ucapannya dengan mendakwa kononnya panglima angkatan tentera juga menyokong perancangan pembangkang itu yang kemudiannya menjadikan Dewan lebih gamat.

Dalam suasana kecoh itu, Zahrain meneruskan pendedahan mengenai kepincangan dalam perjuangan pakatan pembangkang yang menjadi perjuangan peribadi Anwar yang menyebabkan ketua pembangkang itu akhirnya bertindak keluar Dewan.

Ketika itu kedengaran anggota Parlimen BN yang berteriak "pengecut" dan "berani, tunggu" mendesak supaya Anwar tidak keluar Dewan dan mendengar pendedahan mengenai kenapa Zahrain keluar parti kerana tidak percayakan kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang.

Tian Chua (PKR-Batu) turut mempertikaikan kenapa Zahrain mendedahkan perkara itu selepas dua tahun pakatan memerintah Pulau Pinang.

Zahrain kemudian mengulangi dakwaannya bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP sebagai ditaktor, cauvinis dan berfikiran komunis.

"Saya turut simpati dengan kesedaran terlewat ini," kata Tian Chua lagi yang turut mempersoalkan kenapa Zahrain menerima anugerah Datuk Seri daripada kerajaan negeri.

Zahrain berkata perkara itu tidak timbul kerana pingat itu dianugerahkan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan beliau sebaliknya mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri memperjuangkan Islam dengan membangkitkan isu wang zakat dan isu perarakan Maulidul Rasul di negeri itu.

"YB Bagan (Lim Guan Eng) bukan saja gagal menjawab teguran dan kritikan saya sebaliknya memilih untuk melemparkan fitnah dan tohmahan jahat terhadap saya dan ahli keluarga, kononnya terlibat dengan tender Golf Bukit Jambul melalui syarikat modal dua ringgit, yang anak saya kononnya mempunyai kepentingan.

"Saya telah mengarahkan peguam saya supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap dia. Dan yang paling malang tindak-tanduk diktatorial, cauvinis, ekstrem, anti-Islam dan ala komunis YB Bagan mendapat sokongan YB permatang Pauh (Anwar)," katanya.

Zahrain turut menyifatkan Anwar sebagai "raksaksa pelbagai wajah" ekoran pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dalam memperjuangkan orang Melayu dan kepentingan agama Islam.

Beliau mendedahkan antara punca beliau hilang kepercayaan kepada kepimpinan Anwar ialah apabila PKR terlampau memperhambakan diri kepada DAP sedangkan ketua pembangkang itu pernah memberitahunya yang PKR tidak akan tunduk kepada parti itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagaimanapun menangguhkan ucapan Zahrain pada pukul 5.30 petang bagi membolehkan persidangan disambung semula esok.

Tiada ulasan: