SEREMBAN: Negeri Sembilan sedang mengkaji kemungkinan untuk memberi lot-lot kosong di tanah rancangan Felda untuk anak-anak peneroka, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, pemberian tanah itu bertujuan membantu generasi kedua peneroka yang terus mengusahakan tanaman ayah mereka dan menetap di tanah rancangan asal.
"Kita dapati ada tanah-tanah kerajaan yang kosong di kawasan Felda, tidak di tanam dan sekarang wujud keperluan pada generasi kedua Felda yang kebanyakannya sudah ada keluarga sendiri. Mereka ini pula tidak patut lagi tinggal bersama dengan ibu bapa mereka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Mohamad berkata, beliau telah meminta para pengurus kawasan Felda mengenal pasti secara terperinci tanah-tanah berkenaan dan mencari mekanisme pemberian lot tanah itu kerana bukan semua kawasan Felda mempunyai keluasan sama.
"Kita (boleh) bahagikan kepada tapak-tapak rumah dan bila sudah ada tapak-tapak ini mereka boleh memohon dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk bina rumah murah," katanya.
Mohamad berkata, rancangan Kerajaan Negeri Sembilan itu diutarakan ekoran timbul keresahan anak-anak peneroka Felda mengenai masa depan mereka.
"Dia orang mengadu apakah masa depan mereka? Kita menolong mak ayah menoreh getah, kita menolong mak ayah (mengusahakan tanaman) kelapa sawit tetapi di mana kita nak tinggal, nak buat rumah di tapak rumah yang ada pun agak sempit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan