HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mac 2010

Negara Perlukan Ketua Polis Negara Berwibawa

Oleh Muhammad Faizal Zakaria


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata negara memerlukan Ketua Polis Negara yang berwibawa, telus dan mendapat kepercayaan rakyat dan bukan seperti penjawat sekarang .

Ketua Parlimen DAP itu mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini bahawa akan berlaku rombakan peringkat tertinggi pasukan polis dalam masa terdekat termasuk jawatan Ketua Polis Negara.

"Saya telah nyatakan pendirian saya sejak tahun lalu bahawa kita memerlukan seorang Ketua Polis Negara yang dapat menjalankan tugas selain kepercayaan rakyat terhadapnya.

"Bagi saya perkembangan ini ada hubungkait dengan surat perletakan jawatan Musa Hassan dan apa berlaku di peringkat tinggi yang kita tidak ketahui. Tetapi apa yang mustahak perkara ini perlu dijelaskan kepada rakyat selain mengembalikan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Ketua Polis Negara.

"Apa yang didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri mengambarkan beliau kurang keyakinan kepada Ketua Polis Negara yang ada sekarang," kata beliau ketika ditemui Suara Keadilan di perkarangan bangunan Parlimen.

Kit Siang juga berharap pengganti Musa yang akan dilantik nanti dapat menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya tanpa mengira fahaman politik.

Sementara itu Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menegaskan keputusan menggantikan Ketua Polis Negara yang baru perlu dilakukan sekarang sebelum kontrak penyandang tamat September depan.

"Saya menegaskan kontraknya bukan sahaja tidak disambung selepas September tetapi ditamatkan lebih awal lagi dan digantikan dengan mereka yang mempunyai intergriti yang tinggi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.

"Walaupun timbul isu surat perletakkan jawatan yang telah dinafikan tetapi adalah wajar Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri mengemukakan cadangan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk menamatkan perkhidmatan Musa lebih awal.

"Harapan dan permintaan masyarakat Malaysia yang tidak berkehendak Ketua Polis Negara seperti Tan Sri Musa Hassan kerana semasa kontrak beliau hendak disambung telah terdapat bantahan kerana dia gagal menyelesaikan isu jenayah," tegas Mahfuz di ruang legar Parlimen.

Beliau menyifatkan apa yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri pada hari ini tersirat sesuatu yang perlu didedahkan dan diketahui oleh rakyat.

"Bila menteri membuat kenyataan tersebut tentu ada masalah yang perlu disiasat sepanjang beliau memegang jawatan tersebut, pendedahan perlu dibuat supaya rakyat yakin dengan penamatan kontrak tersebut.

"Pendapat saya kenyataan ini berkait dengan prestasi Musa yang tidak memuaskan hati Hishammuddin berhubung tugas yang dipertanggungjawabkan.

"Kita dapat lihat tanggapan rakyat kepada Polis DiRaja Malaysia dan hilang keyakinan rakyat terhadap Ketua Polis Negara. Apa yang rakyat perlukan adalah seorang ketua yang dapat memimpin pasukan polis dengan baik bukannya yang gagal menjalankan tugas," sambungnya lagi.

Tiada ulasan: