HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Komedi mirip ‘Mind Your Language’ perbetul Bahasa Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Sebuah rancangan televisyen mirip siri popular ‘Mind Your Language’ yang bertujuan memperbetulkan penggunaan bahasa kebangsaan akan diterbitkan menjelang sambutan kemerdekaan negara Ogos ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rancangan berbentuk komedi ringan terbitan bersama Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) dengan pihak swasta itu, akan menjadikan penggunaan istilah-istilah yang tidak betul sebagai satu komedi dan asas kepada penceritaan.

Katanya, penggunaan Bahasa Malaysia yang tidak betul dalam rancangan selama 15 minit yang menampilkan pelakon dari semua kaum itu akan diperbetulkan menjelang akhir rancangan, seperti mana rancangan ‘Mind Your Language’ yang pernah diterbitkan oleh stesen BBC.

“Kita hendak jadikan ia sebagai program humor, tidak berat, di mana mereka yang menggunakan istilah-istilah yang tidak betul dijadikan sebagai sesuatu yang komedi yang pada akhirnya pembetulan terhadap kesalahan itu dilakukan,” katanya dipetik Bernama selepas merasmikan seminar dan melancarkan Persatuan Editor Malaysia (PEM) di Seri Kembangan hari ini.

Rais berkata, bagi menarik perhatian penonton, pihaknya sedang berusaha mencari judul sesuai yang mempunyai ciri-ciri jenaka bagi program itu.

Katanya, program itu juga akan ke udara melalui siaran di radio.

Mengenai satu perkara lain, Rais menyeru pemilik penerbitan atau akhbar untuk memberi ruang kepada penulisan cerpen dan sajak disiarkan secara kerap supaya karya kreatif itu dapat digemilangkan seperti di tahun 1950-an.

Katanya, kesukaran mendapat tempat menyebabkan karya yang merupakan “bunga-bunga sastera dalam kehidupan manusia” seakan-akan lesu sedangkan sesuatu cerpen atau sajak yang baik boleh mendatangkan keuntungan.

Mengenai PEM, Rais berkata, kewujudan persatuan itu adalah sesuatu yang dibanggakan dan diharap dapat menjelmakan beberapa peranan antaranya meningkatkan profesionalisme editor di negara ini.

Beliau berkata, sebagai orang tengah, editor berperanan untuk menapis bahan yang disalurkan kepada khalayak di mana mereka yang dianggap sebagai penjaga pintu gerbang itu berkuasa menentukan mesej yang bakal disalurkan harus selaras dengan nilai-nilai murni yang memberi manfaat kepada khalayaknya.

Rais berkata kementerian akan bekerjasama dengan persatuan itu untuk menjalankan beberapa program seperti pertandingan menulis sajak dan cerpen serta program pembudayaan bahasa.

Interlok: Apa lagi pihak protes mahu, soal timbalan menteri


KUALA LUMPUR — Pihak yang masih mendesak agar novel Interlok digugurkan daripada digunakan sebagai buku teks sastera umpama golongan yang tidak mahu isu itu selesai, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi (gambar).

Beliau berkata, isu novel Interlok sudah selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi, malah tetap akan digunakan di sekolah tahun ini.

“Mereka yang nak buku ini ditarik balik merupakan mereka yang tak mahu isu ini selesai kerana mereka hidup atas isu.

“Isu Interlok ini kami lihat sudah selesai. Ia diselesaikan berdasarkan permuafakatan yang diambil. Seperti yang telah diumumkan, kementerian sudah pun meminda perkataan seperti yang diusulkan kerana dianggap menghina kaum tertentu seperti perkataan ‘paria’,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Beliau juga mendakwa pihak yang mahu novel karya Sasterawan Negara kelapan itu ditarik balik penggunaannya di sekolah merupakan satu tindakan yang tidak mahu melihat negara ini aman.

“Kita akan tetap gunakan sebagai buku komponen sastera. Kami sudah buat pindaan dan gugurkan perkataan-perkataan tertentu seperti yang diminta. Isu ini sudah selesai. Apa lagi yang mereka nak (mahu)?” katanya.

Sabtu lalu, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) mengumumkan akan mengadakan mogok lapar jika kerajaan tidak memansuhkan novel Interlok, yang menjadi komponen sastera tingkatan lima, yang kontroversinya berterusan hingga kini.

Pindaan itu difahamkan masih dalam proses Dewan Bahasa dan Pustaka. 
NIAT berkata langkah pihaknya itu bertujuan membuktikan bahawa mereka serius dalam pendiriannya menuntut novel tersebut digugurkan dari sukatan pelajaran sekolah.

Mac lalu, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.

Katanya, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilihnya sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India negara ini.

SPRM: Peguam Negara bebas tuduhan rasuah tunai haji

TERKINI



KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) daripada dakwaan rasuah berkaitan dengan ibadat haji dikerjakan oleh Peguam Negara itu tahun lalu.

Pengerusi panel penilaian operasi (PPO) Tan Sri Datuk Dr Hadenan Abdul Jalil berkata kes itu digugurkan kerana siasatan menunjukkan tiada keterangan yang boleh membuktikan ada kesalahan jenayah.

PPO telah bermesyuarat hari ini dan mengkaji semula butiran-butiran siasatan selain berpuas hati dengan testimoni Abdul Gani.

“SPRM mendapati wang untuk perjalanan beliau (Abdul Gani) adalah wang sendiri, dari akuannya sendiri, akaun yang menyimpan gaji bulanannya.

“Tiada bukti sesiapa memberi wang... pembayaran dibuat dari akaunnya sendiri,” kata Hadenan kepada wartawan.

Peguam tertinggi negara itu telah menemui ahli lembaga SPRM dan ahli panel untuk berdialog pada Januari lalu dan telah mengemukakan bukti bahawa beliau telah menunaikan haji baru-baru ini seperti mana yang dikatakan Shahidan Shafie.

Shahidan didakwa bekerjasama dengan bekas pengerusi eksekutif MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli.

Bekas panel penasihat SPRM Tan Sri Robert Phang berkata penjelasan Abdul Gani itu gagal untuk menghilangkan syak-wasangka bahawa beliau “bekerjasama” dengan Shahidan.

Tajuddin ialah pengerusi ekskutif MAS dari 1994 hingga 2001. Semasa tempoh itu syarikat penerbangan itu telah mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion – jumlah terbesar – yang membawa aduan dikemukakan terhadap beliau.

SPRM juga menjelaskan dakwaan Phang itu tidak mempunyai bukti yang cukup.

“Kes terhadap Tan Sri Robert Phang... siapa yang dituduh telah cuba memberi rasuah kepada ketua setiausaha kementerian... kami berpuas hati dengan hasil siasatan dan testimoni menunjukkan tidak mempunyai bukti untuk mendakwa sesiapa,” kata Hadenan.

Phang telah meletakkan jawatan selepas SPRM menolak kes yang membabitkan amalan rasuah yang berlaku dalam MAS.

Media: Pendidikan, kerjaya antara punca orang Melayu hijrah ke Australia

THE MALAYSIAN INSIDER

MELBOURNE – Pendidikan lebih baik, peluang kerjaya cerah dan prospek perniagaan luas menjadi antara tarikan orang Melayu berhijrah dan menetap di Australia, kata seorang ahli akademik Malaysia yang berpejabat di sini.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani, dari Universiti Malaya, yang kini merupakan Felo Kehormat di Institut Asia, University of Melbourne, memberitahu Bernama bahawa orang Melayu di sini adalah golongan profesional, yang meliputi kumpulan pengamal perubatan dan ramai juga terdiri daripada kerani, jurujual dan pekerja industri perkhidmatan.

Laporan Bernama Online menyebut, selain pelajar, kata beliau negeri Victoria sahaja mempunyai kira-kira 5,000 orang Melayu, dengan 75 peratus mereka adalah sama ada penduduk tetap atau warganegara Australia.

“Kumpulan terbesar orang Melayu berhijrah ke Australia adalah selepas 1981, sama ada di bawah program penyatuan semula keluarga atau menjadi penghijrah dalam bidang kemahiran atau perniagaan,” kata Dr Ahmad.

“Keadaan ini (penghijrahan orang Melayu) ekoran perubahan dasar yang membenarkan pelajar asing dengan sijil kemahiran dan kelayakan Australia memohon untuk lanjutan menetap di Australia.

“Ia mengizinkan lebih ramai orang Melayu mengambil peluang yang diberikan kerajaan Australia untuk melanjutkan masa menetap di sini sebelum memutuskan masa depan mereka.

“Terdapat juga beberapa orang Melayu yang niat asalnya untuk menyambung pelajaran dan kemahiran akhirnya terus menetap di sini,” katanya.

Dr Ahmad berkata ramai orang Melayu di sini terdiri daripada sebilangan jurutera dan sebahagian besarnya doktor dan pengamal perubatan yang datang ke Australia untuk melanjutkan pengajian.

Tertarik dengan bilangan orang Melayu berhijrah keluar Malaysia, Dr Ahmad melakukan penyelidikan untuk mencari punca penghijrahan itu.

Hasilnya lahirlah sebuah buku “Malays in Victoria” (Orang Melayu di Vitoria) yang pada asalnya dicadangkan oleh Zulkifli Ahmad, presiden Persatuan Orang Melayu di Victoria.

“Saudara Zul berkata saya sepatutnya menulis buku mengenai orang Melayu di Australia, terutamanya di Victoria.”

Buku itu yang diterbitkan minggu lepas oleh Dr Hass Dellal, Pengarah Eksekutif Australian Multicultural Foundation di satu seminar yang diadakan di University of Melbourne.

Dr Ahmad, yang memperoleh ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya dan Master of Theology dari University of Nottingham berkata, terdapat beberapa alasan mengapa orang Melayu meninggalkan tanah tumpah darah mereka lalu berhijrah ke negara lain seperti Australia.

Alasan itu, antara lain termasuklah dasar tidak adil yang hanya dinikmati sebilangan rakyat di negara asal, khususnya di Singapura; peluang pendidikan tinggi lebih baik bagi anak-anak mereka selain percuma dan pendidikan berkualiti; lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji dan suasana kerja lebih baik; faedah penjagaan kesihatan dan manfaat hospital kelas pertama serta jaminan masa depan untuk keluarga mereka di sebalik keturunan kaum mereka.

Namun, terdapat isu lain yang merunsingkan Dr Ahmad iaitu sebahagian orang Melayu di luar negara yang enggan menganggap diri mereka orang Melayu.

“Saya mempunyai seorang rakan Melayu yang memberitahu saya bahawa di Asia Tenggara mereka menganggap diri mereka Melayu tetapi di Australia dia adalah seorang Australia.

“Saya bersetuju bahawa istilah ‘Melayu’ ini mengelirukan sebilangan orang Melayu yang tidak mengetahui tentang kaum ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan tentang kategori perkauman atau identiti ini kepada mereka,” kata Dr Ahmad.

Tetapi sebenarnya, menjadi orang Melayu tidak langsung merendahkan martabat mereka, kata beliau.

“Kita seharusnya bangga dengan siapa kita ini... itulah yang menjadikan kita istimewa,” katanya.

Dr Ahmad berkata agama “tanpa mengira baik buruknya, adalah satu perkara utama orang Melayu”.

“Dalam politik Malaysia, ia menjadi satu keutamaan nasional. Oleh kerana masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan hubungan langsung dengan Islam, ini bermakna Islam berada dekat di hati dalam banyak konflik politik dalam negara,” katanya.

PKR: Penjanaan elektrik negara perlu reformasi segera

Pengarah Strategi PKR berkata sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat.



PETALING JAYA: Pengumuman terbaru kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik semalam hanya membebankan rakyat sedangkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) pula masih menerima keutungan sama dan tidak terkesan dengan kenaikan tersebut.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata sektor penjanaan elektrik di negara ini terus dihantui dengan warisan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan membebankan rakyat.

Menurutnya, pengumuman itu langsung tidak memenuhi sektor penjanaan elektrik yang memerlukan reformasi segera.

“TNB terpaksa membeli elektrik pada kadar yang lebih tinggi dari kos dalaman IPP. Bagi mengimbangi harga elektrik yang terlalu tinggi,TNB dan IPP diberi subsidi gas yang terlalu tinggi setiap tahun dan ditanggung Petronas.

“Kenaikan tarif yang dikenakan akan menjadi pampasan kepada TNB untuk menggantikan potongan subsidi gas akibat kenaikan harga asli dari RM10.70 ke RM13.70 mmbtu. Kesan keseluruhannya langsung tidak mengubah keadaan sekarang.

Rakyat terus dibebani

“TNB masih mencapai keuntungan sama rakyat terus dibebani dengan setiap kenaikan harga dan IPP langsung tidak terkesan kerana ia dilindungi oleh mekanisme harga bahan api sedia ada,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Rafizi berkata, sepatutnya BN mengubah mekanisme tersebut agar IPP juga menanggung kesan kenaikan harga bahan api agar untungnya berkurangan.

Sebaliknya menurut beliau, rakyat terus dibeban apabila tarif elektrik pula akan disemak setiap enam bulan hanya untuk memastikan ia mengikut kenaikan kos bahan api semasa.

Kerajaan mendakwa kenaikan tarif tidak akan memberi kesan kepada 4.4 juta isi rumah dengan alasan penggunaan 300KWJ setiap bulan tidak berubah.

Namun Rafizi berkata walaupun bil elektrik pengguna mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja setiap bulan mereka.

Beban kenaikan

“Begitu juga isi rumah atau kediaman lain termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan, mereka akan mendapat beban kenaikan tarif dan peningkatan harga barang.


“Kali terakhir asas domestik dinaikkan adalan bulan Jun 2006. Tarif asas bagi 200KWJ pertama sebulan pada masa itu dikekalkan pada kadar sekarang iaitu 21.8sen setiap KWJ. Namun pada 2006 menyaksikan peningkatan harga barang dan kadar inflasi kedua tertinggi dalam separuh dekad yang lepas iaitu aras 3.6%.

“Satu-satunya masa harga barang mencanak dengan lebih cepat adalah pada tahun 2008 akibat kesan berganda kenaikan harga petrol dan diesel,” katanya.

BN ulangi dasar sama

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan BN mengulangi pendekatan dasar sama pada tahun ini dengan menaikkan harga barangan asas secara serentak iaitu gula,petrol,diesel dan kini elektrik.

Kesan gabungan berganda ini dijangka akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar pada tahun 2006 yang menyaksikan berjuta isi rumah berdepan masalah kenaikan harga barang dan pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil.

“Rakyat tidak perlukan penarikan subsidi sembrono yang menyebabkan kenaikan harga barang. Mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab dan menghadapi krisis defisit dan inflasi di Putrajaya seperti dihadapi kerajaan sekarang.

Langkah berani

“Sepatutnya kerajaan mengambil langkah berani dan ada kekuatan moral untuk menyelesaikan masalah ini di peringkat umbi,” katanya yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Semalam kerajaan memutuskan untuk menaikkan kadar purata tarif elektrik sebanyak RM2.23 senkWj (7.12 peratus) berkuatkuasa 1 Jun depan

Ini berikutan peningkatan harga gas bagi sektor elektrik dan industri sebanyak RM3 yang juga berkuatkuasa esok dan perkara itu diumumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Peter Chin Fah Kui

Sehubungan itu, tarif elektrik akan dinaikkan daripada kadar purata semasa RM31.31senkWj kepada 33.54senkWj, satu kadar baru selepas kali terakhir ditetapkan pada tahun 2006.

Anak Kelantan serah memo tuntut royalti minyak

Jawatankuasa mahu agar Najib memastikan mereka mendapat hak sama rata seperti yang diperoleh kerajaan negeri Terengganu.



PUTRAJAYA: Bosan menunggu sehingga 34 tahun, Jawatankuasa Bertindak Anak Kelantan Perantauan hari ini mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut supaya dituanikan janji mengenai isu hak pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan.

Dalam memorandum itu, selain menuntut wang royalti dibayar kepada kerajaan negeri, jawatankuasa itu juga mahu agar Najib memastikan mereka mendapat hak sama rata seperti yang diperoleh kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Royalti Kelantan Apandi Mohamad dalam memorandum itu berkata, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terenganu ke-12 telah mengesahkan pembayaran royalti ptroleum kepadab Terengganu berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011.

Akta Petroleum 1974

Katanya, pelaksanaan itu selaras dengan ucapan mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak di Parlimen menyebut ‘semua negeri di Malaysia melainkan Sabah dan Sarawak telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974′.

‘Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi ataupun kontraktornya’, ucapan tersebut dipetik.

“Maka Najib sewajarnya memahami tidak ada had tiga batu nautika seperti yang dihujahkan oleh pemimpin kerajaan Pusat sekarang tetapi pesisiran luar pantai itu sebenarnya meliputi ‘continental shelf’,” tanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada pegawai di Jabatan Perdana Menteri tengahari tadi.

Selain Apandi, turut hadir menyerahkan memorandum Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu, Senator Mumtaz Mohd Nawi, Ketua AMK Kelantan Mohammad Azihan Che Seman serta kira-kira 20 anak Kelantan yang lain.

Royalti dibayar tunai

Jawatankuasa tersebut turut menuntut Najib supaya royalti dibayar tunai secara langsung kepada kerajaan negeri dan tidak dibayar kepada mana-mana pihak lain atas apa jua alasan.

Sementara itu, Mohamad aberkata pihaknya bimbang pelaburan negara akan terjejas jika negara luar lain melihat keengganan dan kegagalan kerajaan Pusat mematuhi perjanjian untuk menjaga kebajikan negeri bawahannya.

“Perjanjian ini menyebabkan imej Malaysia kepada pelabur akan terjejas kerana perjanjian ini bukan berdasarkan pada parti politik tapi antara kerajaan negeri dan persekutuan yang diamanahkan melalui Petronas,” katanya.

Manakala Siti Zailah mencabar Najib mengotakan janji yang dilaungkannya ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ itu kepada kira-kira 1.7 juta rakyat Kelantan.

Pembangunan negeri

“Rakyat sangat memerlukan sumbangan dan wang royalti ini untuk membangunkan negeri.

“Sebagai negara demokrasi kami berhak tuntut hak kami dan bukannya melalui pemberian bentuk wang ehsan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Azihan berkata pihaknya akan mengadakan solat hajat di Bandar Baru Sungai Buloh 4 Jun depan selain ceramah dan roadshow di Stadium Sultan Mahmud bagi terus mendesak kerajaan Pusat mengembalikan hak royalti segera kepada negeri Kelantan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Langar undang-undang

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan.

Elektrik: BN main silap mata dengan rakyat

DETIK DAILY


PAS menganggap kerajaan BN bermain silap mata dengan rakyat isu kenaikan tarif elektrik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan pada 25 Mei lalu kabinet memutuskan petrol RON 95 tidak naik dengan alasan prihatin kerajaan kepada rakyat.

Tiba-tiba, katanya rakyat dikejutkan dengan pengumuman kerajaan mengenai kenaikan tarif elektrik 7.12% bermula 1 Jun (esok).

Katanya, menjadi kebiasaan akhbar Umno, Utusan Malaysia dengan tajuk "Tiada Kenaikan Guna 300 kWj".

“Inilah kerja Utusan Malaysia yang mencari apa sahaja hujah untuk membela penguasa yang tidak berhati perut terhadap rakyat.

“Tidak hairanlah kepada kita jualan semakin merudum, terpaksa ditaja oleh GLC dan korporat Umno untuk diberi percuma sahaja,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, rakyat sedang menghukum Utusan dengan tidak membeli, kerana ia bukan suara hati rakyat, tetapi suara Umno.

Katanya lagi, menjadi kelaziman biasa kepada pemimpin BN setiap kali berlaku kenaikan keperluan rakyat maka hujah mereka tidak terjejas rakyat bawahan.

Ketika menaikan tarif elektrik, tambahnya pemimpin BN berhujah 75% isi rumah rakyat Malaysia tidak terjejas.

“Mereka cuba menyembunyikan kepada rakyat ‘kesan berantai’ kerana kenaikan tarif elektrik,” ujarnya.

Beliau berkata, hujah mereka kenaikan tarif baru hanya membabitkan industri, tidak melibatkan pengguna biasa sedangkan kenaikan tarif akan terbeban kepada rakyat walaupun bil elektrik dirumah tidak naik, tetapi barang keperluan akan naik.

Tambahnya, hujah yang sama juga penerangan Umno BN menipu rakyat ketika kerajaan menaikkan tol, dengan hujah rakyat biasa tidak terjejas kerana tidak ada kenderaan.

Menurutnya, mereka berhujah seolah-olah rakyat tidak beli sayur dan barang keperluan, sedangkan keperluan dapur dibawa melalui tol.

“Harga tol akan ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna. Fakta ini disembunyikan kepada rakyat untuk menghalalkan tindakan mereka,” katanya.

Menurut Ketua Ekonomis Ratings Agency Malaysia, Yeah Kim Leng akan berlaku kenaikan harga barang makanan kerana industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

Menurutnya, walaupun 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna,"

Kemungkinan tarif elektrik akan dinaikkan setiap enam bulan kerana menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin kerajaan pada dasarnya telah bersetuju mematuhi mekanisma 'Fuel Cost Pass Through' (FCPT) yang akan menentukan kadar tarif pada masa hadapan.

“Kuantum kos bahan api (cent/kW unit) akan disalurkan kepada pengguna berdasarkan harga sebenar bahan api iaitu gas dan arang batu yang digunakan bagi menghasilkan tenaga bagi tempoh enam bulan,” kata Chin di Putrajaya semalam.

PKR: K'jaan 'rompak' rakyat bagi suap kroni, kapitalis

DETIK DAILY


PKR hari ini melabeorange book forum klscah 250111 rafizi ramlilkan pengumuman kenaikan tarif elektrik semalam sebagai 'rompakan di siang hari' kerana ia hanya menguntungkan kapitalis dan membebankan rakyat.

Ketua strategi parti itu, Rafizi Ramli, apa yang berlaku sebenarnya adalah kenaikan kos yang ditanggung oleh pembekal tenaga bebas akan dipindahkan kepada TNB yang kemudian menyalurkannya kepada pengguna.

Lebih malang, katanya, mekanisme baru itu juga akan menyaksikan tarif elektrik dinaikkan sebanyak dua kali kerana kos arang batu dan gas yang digunakan bagi menghasilkan tenaga akan disemak setiap enam bulan.

"Kedudukan kewangan TNB pada status quo, rakyat yang menanggung kenaikan tarif dan IPP langsung tidak menerima sebarang kesan daripada langkah ini kerana kos bahan api disalurkan melalui mekanisme itu.

"Ini benar-benar merompak rakyat bagi menyuap kroni dan kapitalis,” kata Rafizi kepada wartawan hari ini.M/kini

Belum Lawat Kilang, Panel IAEA Dah Kata Logi Lynas Ikut Standard!

KELAB GREENBOC


Panel IAEA beri bayangan loji Lynas ikut standard, kata wakil MCA

KUANTAN – Panel nuklear antarabangsa yang sedang meneliti aspek keselamatan loji nadir bumi Lynas di sini memberi ketua MCA Kuantan Datuk Ti Lian Ker jaminan bahawa ia salah satu daripada banyak projek yang boleh dikawal selia dengan selamat.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menemui pakar-pakar dari Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA) di sini hari ini, kata Ti, beliau telah membangkitkan persoalan mengenai pencemaran radioaktif daripada projek-projek nadir bumi di negara lain, antaranya di China.

“Mereka mengatakan bahawa ia aktiviti-aktiviti yang serupa dan industri-industri dengan bahan yang serupa, yang dikawal selia mengikut standard IAEA,” kata Ti, pemimpin utama MCA yang pernah meminta agar projek berkenaan dikaji semula ekoran protes publik.

Loji itu dijadual untuk beroperasi September ini.

IAEA berada di sini selepas kerajaan tunduk kepada tekanan awam bulan lalu dan mengadakan penelitian dari segi aspek keselamatan dan kesihatan, yang dikendalikan oleh pakar-pakar bebas.

Pasukan sembilan pakar itu berada di Kuantan untuk bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan tempatan selama dua hari.

Menurut Ti, pasukan itu belum lagi mengunjungi loji tersebut yang terletak di zon perindustrian Gebeng.

Anggota jawatankuasa pusat MCA itu berkata panel berkenaan seharusnya diberikan “manfaat keraguan” dalam menyediakan laporan yang akan diserahkan kepada kerajaan menjelang akhir bulan depan.

“Pada akhirnya, kerajaan akan membuat keputusan dan mengambil tanggungjawab penuh,” katanya.

Meskipun adanya kerja-kerja penelitian panel bebas dan kajian semula di pihak kerajaan, Lynas yakinn tidak akan ada kelewatan operasi pemprosesan nadir bumi pada September kerana ia mempertahankan bahawa loji itu selamat.

Seriuskah k'jaan pamer laporan EIA, RIA?

Wartawan di Kuala Lumpur semalam menghadapi kesulitan bagi mendapatkan salinan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) berhubung projek nadir bumi Lynas.

Ini di sebalik jaminan kerajaan persekutuan bahawa projek yang sedang dibina di Gebeng berhampiran Kuantan, Pahang oleh syarikat perlombongan Australia itu akan dipamerkan untuk tatapan orang ramai.

Malaysiakini mengunjungi satu daripada dua lokasi di Kuala Lumpur yang mempamerkan laporan berkenaan semalam. Namun tinjauan kami di lokasi berkenaan - Perpustakaan Negara - mendapati ia ditutup.

Menurut papan kenyataan di luar bangunan itu, perpustakaan ditutup pada Isnin. Ia dibuka setiap Selasa hingga Ahad.

Wartawan tempatan juga menghubungi ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya tetapi diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa perpustakaan JAS juga ditutup setiap Isnin.

"Awak terpaksa datang pada hari Selasa jika ingin membaca laporan itu,” kata pegawai berkenaan.

Namun, Malaysiakini berjaya mendapatkan laporan itu di ibu pejabat JAS Selangor di Shah Alam, selepas membuat beberapa panggilan telefon ke beberapa pejabat cawangannya.

Bagaimanapun wartawan hanya dibenarkan menyalin laporan berkenaan yang setiap satunya setebal dua inci dengan tulisan tangan. Membuat salinan penduaan melalui mesin fotostat atau merakamkan gambar dilarang sama sekali.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri minggu lalu mengumumkan bahawa orang ramai boleh menyemak kedua-dua laporan EIA dan RIA selama sebulan bermula 30 Mei.

Tindakan itu dilihat sebagai usaha kerajaan bagi mententeramkan kemarahan orang ramai yang membantah projek kontroversial oleh Lynas Advanced Material Plant (Lamp) itu.

Sesetengah rakyat bimbang projek itu akan bertukar menjadi satu bencana jika tidak diuruskan dengan betul kerana Malaysia akan mengimport radiasi melalui nadir bumi yang dibawa masuk ke negara ini untuk diproses. -mk

Ulasan GB

Belum pun lagi melawat logi berkenaan, panel IAEA dah beri bayangan loji Lynas ikut standard.

Ini menunjukkan keraguan yang timbul sebelum ini bahawa panel itu TIDAK BEBAS adalah sesuatu yang benar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

1. Laporan daripada Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 18/5/11 mempertikaikan kewajaran MITI untuk menubuhkan ‘panel bebas’ itu sedangkan penilaian kesihatan awam, isu keselamatan radiasi, dan kemudahan kilang berbahaya atau ‘hazardous’ tidak terletak di bawah bidang kuasa MITI.

2. Pihak berkuasa tidak dilihat terlibat di dalam perlantikan 9 ahli ‘panel bebas’ itu khususnya Jabatan Alam Sekitar (DOE) sedangkan permohonan awal penilaian persekitaran telah dihantar ke Jabatan Alam Sekitar semenjak tahun 2008. Matlamat DOE untuk melindungi alam sekitar lebih kukuh dan berkaitan dalam isu ini dan juga relevan dengan kegusaran penduduk setempat kepada ancaman sisa buangan radioaktif dari operasi Lynas kepada keselamatan, kesihatan dan persekitaran penduduk setempat.

3. Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Innovasi (MOSTI) menyerahkan pula keseluruhan tanggungjawab ‘panel bebas’ itu kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di mana IAEA adalah badan antarabangsa yang mempunyai kepentingan khusus untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan keseluruhan aktiviti yang berkaitan dengannya di seluruh dunia. Mereka bukan penggubal undang-undang atau ‘regulator’ yang diyakini tiada berkepentingan untuk menyebelahi sesiapapun. Bagaimanakah pihak yang berkepentingan untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan dengannya dapat menjalankan tugas sebagai penggubal atau ‘regulator’ dalam Kes Lynas ini. Sebagai satu badan yang tiada berkepentingan langsung khususnya di dalam mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia. Pastinya, penilaian berat sebelah mungkin berlaku dalam kes penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran dari operasi Lynas ini pada 29/5/11 sehingga 03/06/11 ini.

4. 4 daripada 9 orang ahli ‘panel bebas’ itu adalah kakitangan IAEA. Keraguan teramat sangat dari penduduk setempat bahawa kepentingan 4 orang kakitangan IAEA itu untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan di seluruh dunia akan mempengaruhi ketelusan mereka ketika penilaian keselamatan, kesihatan dan persekitaran itu.

5. 5 orang pakar luar atau ‘external expert’ yang bukan dari IAEA telah dimaklumkan oleh CAP/SAM sebagai tidak bebas kerana dikaitkan dengan syarikat-syarikat yang berasaskan tenaga nuklear dan nadir bumi termasuk pernah berkhidmat sebagai jururunding malah sebagai pekerja atau bekas pekerja kepada syarikat berkenaan malah kepada IAEA termasuk mempuyai kepentingan seperti IAEA untuk mempromosikan penggunaan Tenaga Nuklear dan aktiviti yang berkaitan.

Inflasi Dijangka Lebih 3.6 Peratus - Pengarah Strategi PKR

PETALING JAYA: Kadar inflasi bagi 2011 dijangka meningkat melebihi 3.6 peratus sejak 2006 iaitu paras kedua tertinggi sejak lima tahun yang lalu akibat keputusan kerajaan menaikkan tarif elektrik berkuat kuasa Rabu ini.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata, lonjakan kadar inflasi berkenaan didorong oleh kenaikan barangan asas seperti gula, petrol dan diesel sebelum ini.

"Kesan gabungan kenaikkan berganda ini dijangkakan akan mendorong inflasi bagi tahun 2011 mengatasi kadar inflasi 2006 dan menyaksikan berjuta isi rumah berdepan dengan masalah kenaikan harga barang, sedang pendapatan boleh belanja mereka semakin mengecil," katanya di sini, Selasa.

Beliau mengulas keputusan kerajaan pada Isnin mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt-jam (kWj) atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kWj daripada 31.31 sen kWj.

Bagaimanapun struktur tarif baru elektrik itu menyaksikan 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak akan mengalami kenaikan bil bulanan sekiranya mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada 300 kilowatt sejam (kWj) atau kurang.

Mengulas lanjut mengenai kenaikan tarif berkenaan, Mohd Rafizi berkata peningkatan inflasi tersebut secara tidak langsung akan mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah.

"Bil elektrik 75 peratus pengguna mungkin tidak berubah, tetapi peningkatan inflasi akibat dari kenaikan tarif ini akan terus mengurangkan pendapatan boleh belanja (disposable income) bulanan mereka.

"Begitu juga dengan isi rumah atau kediaman lain termasuklah kediaman yang dikongsi beramai-ramai oleh pelajar atau pekerja yang bil elektriknya mengatasi paras RM77 sebulan," katanya.

DI MANA TEMPAT PEMIMPIN SUKU KAUM MURUT?




CICIT AKI KOROM

PILIHANRAYA Umum ke 12 telah menunjukkan kesetiaan kaum Murut, khususnya di Pedalaman kepada kerajaan Barisan Nasional dengan mengundi calon-calon Barisan Nasional di kawasan kaum Murut adalah pengundi majoriti ataupun kaum Murut menjadi pengundi penentu kemenangan Parti Barisan Nasional.

Sebagai rekod, calon Barisan Nasional di kawasan DUN N.38 Nabawan, DUN N.37 Sook, DUN N.34 Liawan, DUN N.35 Melalap dan DUN N.36 Kemabong serta calon Parlimen P.181 Tenom telah memenangi kerusi masing-masing dengan kelebihan undi yang bertambah.

Begitu juga kaum Murut juga telah membantu calon Barisan Nasional di kawasan DUN N.28 Sindumin, N.33 Bingkor, DUN N.47 Kuamut, DUN.58 Merotai dan Kerusi Parlimen P.178 Sipitang, P.180 Keningau, P184 Libaran, P.187 Kinabatangan dan P.191 Kalabakan untuk memenangi kerusi mereka masing-masing.

Namun apa yang mengecewakan, di sebalik kemenangan calon Barisan Nasional ialah pengagehan jawatan politik kepada para pemimpin Murut. Ada rungutan di kalangan para pemimpin kaum Murut di akar umbi bahawa seolah-olah apa yang diterima oleh para pemimpin politik kaum ini tidak setimpal dengan sumbangan kaum Murut yang membantu ke atas kemenangan calon Barisan Nasional di sekurang-kurangnya 9 kawasan DUN dan 7 Kerusi Parlimen termasuk kawasan Parlimen P.182 Pensiangan yang telah dimenangi tanpa bertanding oleh calon Barisan Nasional.

Dalam susunan kabinet negeri dan persekutuan pada masa kini, TIDAK ADA seorang pun MENTERI PENUH dari suku kaum Murut, hanya 3 orang Pembantu Menteri dan seorang orang Pengerusi Badan Berkanun/Agensi kerajaan.

Pada era pemerintahan BERJAYA dulu, salah seorang pemimpin dari suku Kaum Murut pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri, seorang menjadi Timbalan Menteri dan seorang menjadi Setiausaha Politik di peringkat persekutuan.

Selepas itu, apabila PBS mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri, seorang menteri penuh, seorang Pembantu Menteri di samping beberapa orang Setiausaha Politik dari suku kaum Murut telah dilantik.

Menyedari sumbangan besar suku kaum Murut dalam menentukan kemenangan Barsian Nasional pada pilihanraya yang lalu, Datuk Kadoh Agundong, mantan Menteri penuh dalam kerajaan PBS dahulu, pernah mengemukakan rayuan melalui salah sebuah akhbar negeri, agar pucuk pimpinan mengiktiraf sumbangan ini dengan melantik sekurang-kurangnya seorang menteri penuh dari suku Kaum Murut.

Kekecewaan suku kaum Murut ini seolah-olah luka ditabur garam lagi, apabila hanya seorang dari suku kaum Murut dilantik menjadi Setiausaha Politik.

Senario yang sama juga berlaku dalam perkhidmatan awam negeri. Jelas kini jawatan-jawatan penting dalam sektor awam negeri ‘lebih kurang dimonopoli’ oleh satu-dua suku kaum sahaja.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan melakukan ‘semakan inventori’ dan segera membuat pembetulan dengan memberi pertimbangan yang sewajarnya dengan mengambil kira suku kaum Murut dalam menentukan pengisian jawatan penting dalam sektor awam negeri.

Begitu juga kerajaan sewajarnya memberi peluang kenaikan pangkat kepada para pegawai dari kalangan kaum Murut yang mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sedang berkhidmat di sektor awam, untuk sekurang-kurangnya mengimbangi kekurangan representasi suku kaum Murut dalam pimpinan politik negeri.

Namun, masyarakat Murut hanya dapat bergantung harap kepada kebijaksanaan dan jasa baik Datuk Seri Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah yang juga mungkin mempunyai darah Murut untuk melihat perkara ini yang kami anggap selama ini sebagai tersilap pandang (overlooked) sahaja untuk melakukan ‘corrective actions’ agar lambang Dacing Barisan Nasional kelihatan betul-betul ‘balance’ dan dapat memuatkan suku kaum ini dalam salah satu ‘piring’ timbangan tersebut.

Ini amatlah penting untuk diberi perhatian ‘SEGERA’ sebelum PRU13 bagi menjamin kelangsungan sokongan dan kesetiaan suku kaum Murut kepada kerajaan sekarang.

Beli Manis FM; satu lagi penyelewengan Umno-BN Terengganu.


http://buletinonline.net/images/stories/berita48/wahid%20ceramah%20teluk%20pasua%20.jpgKUALA TERENGGANU - Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh lagi diberi amanah memerintah negeri Terengganu kerana terlalu banyak penyelewengan dan salah urus yang telah dilakukan.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, pelbagai projek yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat.

"kalau kita biarkan dengan puak-puak ni (Umno dan BN), dengan cara rampas tanah, dengan kerja kontrek dengan penyelewengan dengan harga tidak berpatutan,

"buat zoo, buka (pulau) bebas cukai, buat Taman Burung, buat benda macam-macam, benda yang tidak mendapatkan (mendatangkan) faedah langsung kepada rakyat."tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ceramah sempena Hari Keluarga di Kampung Teluk Pasu, dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mendedahkan, tindakan terbaru Ahmad Said ialah membeli radio Manis FM yang menurutnya dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Katanya, stesyen radio tersebut dibeli dengan harga RM7 juta dan Ahmad Said telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM4 juta.

Sebelum itu, Wahid berkata kerajaan negeri Terengganu telah membeli pakaian sekolah daripada China dengan harga lima kali lebih mahal dari harga tempatan.

Katanya, satu set pakaian sekolah seumpamanya boleh dibeli dengan harga RM30, namun kerajaan membelinya dengan harga RM150.

"Untuk beli baju 53, 300 set pakaian sekolah dari negeri China dengan harga RM7.995 juta, jatuh (harga) atas satu set pakaian sekolah (itu) RM150,

"saya (pergi) tanya orang (jual) di pasar, orang kedai kain baju, satu set baju sekolah berapa harganya? Dia (peniaga) kata RM30 (pun sudah) mahal,"jelas Wahid.

Beliau mendakwa terdapat unsur penyelewengan dalam pembelian pakaian sekolah tersebut apabila kontrak yang bernilai hampir RM8 juta itu diberikan kepada pembekal secara runding terus, tanpa melalui proses 'tender'

"benda (perkara) ini dibincang dalam Jawatankuasa Kira-kira Kewangan negeri Terengganu, kes beli baju sekolah ini, tidak ikut tender tidak ikut peraturan, nilainya hampir RM8 jura, pakai 'sign' (tandatangan) surat begitu sahaja,"ujarnya.

‘Kami kerugian’

Oleh Muhd Izawan Baharin

BUKTI...Ahmad menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada IFRC Asia.

BUKTI...Ahmad menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada IFRC Asia.

KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.

Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.

Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.

“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.

“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.

Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.

Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.

‘Ucap terima kasih lepas mencuri’

Oleh Mohd Rafi Mamat


LICIN...Mariam menunjukkan beg tangan kosong selepas barangan dikebas, kelmarin.

LICIN...Mariam menunjukkan beg tangan kosong selepas barangan dikebas, kelmarin.

PEKAN: Seorang wanita berjubah hitam bersama tiga anaknya yang melarikan wang tunai dan barang berharga bernilai RM13,500 daripada satu majlis kenduri sempat bersalam dengan tuan rumah dan mengucapkan terima kasih sebelum menghilangkan diri.

Mangsa, Mariam Ismail, 58, berkata, kejadian berlaku ketika dia mengadakan majlis kenduri menyambut menantu di rumahnya di perumahan Peramu Jaya Tiga, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

“Wanita itu bersama tiga anaknya menggunakan helah mahu ke tandas dan tanpa kami sedari dia masuk ke bilik tetamu mengambil empat dompet saya, anak dan menantu yang mengandungi wang tunai.

“Mereka turut mencuri barang kemas dan satu telefon bimbit bernilai lebih RM13,500. Selepas itu, dengan selamba mereka bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang sumbangan tanda terima kasih sebelum pulang dengan motosikal,” katanya.

Mariam berkata, dia tidak mengenali wanita berusia 20-an itu namun menerimanya dengan baik sebagai tetamu di majlis kenduri itu.

Kemiskinan tidak kenal Kaum

ROKET KINI.COM


Melalui Projek Sinaran Matahari DAP, adik Azrul Azraf Zainal Abidin, 5, yang menghidap penyakit talasemia major serta memerlukan pemindahan sum-sum tulang di Hospital Kuala Lumpur, telah diberi sedikit sumbangan.

Sumbangan kecil RM500 yang disampaikan diharap dapat meringankan beban keluarga Azrul yang terpaksa membanting tulang dalam mencari nafkah kehidupan seharian.

Pasukan khidmat DAP Parlimen Beruas yang diterajui oleh Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming telah menyampaikan sumbangan itu kepada ibu pesakit, Shakinah Abdul Latif di kediaman mereka di rumah kos rendah Ayer Tawar.

Azrul menderita sakit sejak berusia 2 tahun dan kos perubatan beliau menjadi beban berat kepada ibu dan ayahnya Zainal Abidin yang kerja sebagai pemandu lori.

Pasukan khidmat DAP juga melawat keluarga Phang Siew Eng, ibu tunggal dengan 8 anak di kawasan perumahan yang sama. Phang bersama dua orang kakak iparnya merupakan buruh kasar berpendapatan kecil yang tidak tetap.

Kesemua 11 mereka termasuk anak-anak kecil yang tinggal di bawah satu bumbung diberi sumbangan RM500 serta barangan keperluan harian.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu kedua-dua keluarga itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi pusat khidmat masyarakat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar dengan menelefon 06-6726885/012-5933888 merujuk kepada saudara Phang Hing Chong.

Tarif elektrik: kera di hutan disusukan

Roketkini.com

KUALA LUMPUR – Kenaikan tarif elektrik tanpa menyemak rundingan berat sebelah dengan syarikat penjana kuasa bebas (IPP) adalah seperti “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” kata Setiausaha Publisiti DAP Toy Pua.

Beliau berkata tindakan kerajaan menaikkan kadar tanpa penstrukturan semula perjanjian pembelian kuasa (PPA) akan membebankan sektor perindustrian dan komersil.

Menurutnya, pengguna besar akan menghadapi kenaikan sehingga 8.4 peratus harga elektrik yang bukan sahaja meningkatkan inflasi tetapi bakal berhadapan dengan “letupan besar” kepada industri eksport yang sudah terbeban dengan ringgit yang kuat.

“Masalahnya, kerajaan memilih untuk menghukum pengguna dan pemilik industri tanpa menghiraukan keuntungan yang dikecapi IPP.

“Ini menunjukkan pentadbiran Najib tidak ada kemampuan untuk mengurus dan menjana ekonomi negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Pua berkata, walau pun harga gas asli di Thailand adalah dua kali ganda tinggi berbanding Malaysia, tarif elektrik komersil di negara jiran itu hanya 0.4 peratus lebih tinggi dari RM37.85 kw/j di Malaysia.

“PPA yang tidak adil mengakibatkan peningkatan yang terlalu tinggi margin rizab tenaga elektrik,” katanya.

Pua menambah bahawa 52.6 peratus margin rizab Malaysia dalam 2010 merupakan dua kali ganda daripada Thailand (25.4 peratus) dan Pulau Jawa, Indonesia (26 peratus).

“Kesannya, TNB terpaksa membeli kuasa elektrik yang mana ia tidak perlukan daripada IPP. Ini mengakibatkan kos-kos TNB melambung dan dalam masa sama meningkatkan keuntungan untuk IPP.”

Oleh itu, katanya, kerajaan didesak mendedahkan segala maklumat berhubung perjanjian dengan IPP supaya kontrak yang berat sebelah itu tidak akan membawa malapetaka ekonomi terhadap rakyat.

Pua turut mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mempertahankan PPA oleh IPP bahawa perjanjian-perjanjian itu ‘suci’ dan kerajaan tidak boleh menstruktur semula perjanjian-perjanjian tersebut.

“Saya cabar Dr Chua supaya membuktikan dakwaannya bahawa kerajaan akan lemah tak bermaya setelah menandatangani perjanjian itu, dengan mendesak perjanjian itu tidak dirahsiakan dari pengetahuan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Research for Social Advancement (REFSA) Teh Chi Chang juga berpendapat bahawa penyelesaian kepada isu ini ialah dengan tidak merahsiakan PPA supaya dapat diterangkan kepada orang ramai.

“Keterbukaan ini akan membuatkan rakyat memberi perhatian untuk memberi buah fikiran dan analisis, serta menyumbangkan kepakaran untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Oleh itu REFSA menyeru kerajaan untuk tidak merahsiakan perjanjian pembelian kuasa kerana rakyat Malaysia akan mendapat maklumat tepat dan memudahkan lagi akal untuk perdebatan yang membina.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus bermula esok sebagai usaha mengurangkan subsidi yang ditanggung kerajaan.

Kampung Tambatuon di Sabah berjuang pertahankan hak untuk hidup

Oleh Dr Edwin Bosi


Rombituon dalam dialek Dusun membawa makna bintang-bintang. Apabila peneroka terawal tiba di lembah ini, mereka ternampak jutaan bintang bergemerlapan sebaik siang bertukar ke malam. Kemudian mereka ketahui bahawa ramai lagi yang sudah menetap di situ; sebanyak bintang-bintang di angkasa. Mereka terpukau dengan kecantikannya lalu mula menetap dan menamakan kawasan itu sebagai Tambatuon. Asal Tambatuon berbalik kepada beratus tahun dahulu, masyarakat yang asalnya dari Nunuk Ragang dan Bundu Tuhan di tanah tinggi Ranau. Mereka percaya Tambatuon sudah melepasi 17 generasi yang mana hanya cuma lapan generasi sahaja dapat dijejaki. Kaum Dusun menguasai kawasan tersebut walaupun terdapat kaum-kaum lain yang sudah memajmukkan lagi perkampungan ini seperti Cina, Murut Lundayeh, Iban dan Dusun-Timor.

Air sungainya sejuk, bersih, tenang, dan jernih sehingga boleh nampak kocakan-kocakan air oleh ikan-ikan yang bebas hidup. Sungainya dengan aroma hutan tropika menyejukkan mata yang memandang batu-batu kelikir yang cantik. Bila mata mengikut lentok sungai, kita akan ternampak sebuah bukit, dikenali sebagai Saduk Saduk (Nungkok) dan jauh lebih ke atas lagi, kelihatan Gunung Kinabalu, gunung ke-dua tertinggi di Asia Tenggara. Untuk seketika, kita akan tersedar yang air yang mendahului kita itu bermula dari puncak Gunung Kinabalu.

Terdapat cukup tanah pamah untuk menuai padi, makanan ruji kaum Dusun dan sudah tentu kebanyakan orang Asia. Dengan karbohidrat bersama ubi kayu dan jagung, protein mereka terdiri dari ikan, ayam, lembu, kerbau dan babi. Pernah suatu ketika babi hutan dan rusa sangat banyak dan berkeliaran di merata tempat. Mereka buatkan benteng menggunakan batu-batu untuk tanah ladang mereka yang mana terdapat beras wangi, dan sayur-sayuran yang segar. Mereka juga mengambil pokok-pokok di situ untuk dijadikan rumah, dan sebagai ganti, mereka tanam pula pokok-pokok getah. Dengan kekurangan kayu-kayan, kebanyakan rumah sekarang dibina dengan blok simen sementara untuk kayu-kayan pula hanya digunakan untuk memasak.

Dari 27 km lebuh raya Kota Belud-Ranau, 5 km jalan berbatu dan berlecah, akan membawa kita ke perkampungan Tambatuon. Jalan itu melalui permatang yang akan beransur-ansur membawa anda ke sebuah lembah. Sungai Kadamaian mengalir diantara dua lembah itu. Lebih kurang 3 km dari persimpangan jalan, permatang akan menjadi lebih sempit sehinggalah kepada dua persimpangan. Di titik paling sempit di mana dua permatang bertemu inilah di mana Empangan Kadamaian dicadang akan dibina. Empangan itu bakal menenggelami Tambatuon dan hutan sekeliling termasuk pokok-pokok getah. Alasan untuk membina empangan itu kononnya kerana mahu mewujudkan projek penanaman padi oleh kerajaan di Kota Belud.

Cadangan pembinaan empangan telah mengejutkan penduduk-penduduk Tambatuon. Setelah berusaha keras membangunkan perkampungan syurga mereka, cadangan pembinaan empangan itu kelihatan tidak adil. Penduduk di situ sudah memiliki tanah tersebut. Mereka sudah menghabiskan keringat, wang dan masa yang banyak untuk hidup selesa di situ sejak sekian lama. Menurut bekas Ketua Kampung Tambatuon, Singkui Tinggi, “selama 14 generasi sudah menetap di Tambatuon. Ini adalah tapak bersejarah, rumah kami dan kami akan pertahankan sehabis-habisnya.”

Singkui adalah mangsa pertama menentang cadangan membina empangan itu dan akhirnya beliau sendiri telah dipecat sebagai KetuaKampung. Tetapi beliau tidak keseorangan dalam pertarungan ini, malah protes beliau dan seluruh penduduk turut sama bergabung membantah dengan mengadakan beberapa memorandum, selain notis di pintu masuk kampung mereka. Seperti biasa dalam perkara begini, pembangkang dan NGO-NGO turut sama menyokong mereka.

Sangat menyedihkan bila Tambatuon dahulu kala yang pernah diliputi hutan kerana penduduk-penduduk awal yang mengamalkan agama pagan takut memasuki ke dalam hutan kerana percaya banyak “penunggu” atau roh-roh liar yang menetap di dalam hutan. Ini mungkin juga salah satu sebab kenapa penduduk berhijrah ke kawasan tanah datar. Mereka membuat ladang di situ dan hasilnya di jual di pasar KotaBelud, yang memerlukan keberanian dengan menongkah arus deras sungai menggunakan rakit buluh. Mereka juga terpaksa berjalan kaki sejauh 32 km membawa bersama pelbagai barang dan bekalan makanan.

Pernah suatu ketika dahulu penyakit campak hampir mempupuskan penduduk Tambatuon. Bagi mereka, itu adalah angkara syaitan. Menurut Singkui, kejadian itu terlalu mengerikan kerana orang yang mengebumikan mayat pada pagi hari, akan mati di kemudian hari. Akhirnya mereka berpakat untuk membuang dan melonggokkan mayat di sebuah pondok sahaja.

Perasaan teruja akan hadir bila mendengar sejarah Tambatuon. Perkampungan itu bermula di sebuah cerun bukit dan di situ lah “batu sumpah” di tanam oleh orang putih dan penduduk tempatan. Ia semacam satu perjanjian. Pada 1940-an seorang perunding British bernama “Tuan Impang” dan ketua penduduk KK Tunggal menanam “Batu Sumpah” sebagai peringatan dan tanda untuk tidak menceroboh dan mengganggu perkampungan sesiapa.

Wakil dari kampung-kampung berdekatan menyaksikan majlis bersejarah tersebut di mana seekor kambing dikorbankan dan darahnya diisikan di dalam lubang di mana batu itu ditanam. Menurut lagenda, sesiapa yang melanggar sumpah ini akan mengakhiri hayatnya seperti kambing itu juga. Dan kepercayaan ini masih kekal sehingga sekarang. Bagaimanapun, penduduk kampung pula sangat baik hati untuk menolong pelancong atau orang luar melawat tapak asal Tambatuon. Ia mengambil masa lebih kurang sejam untuk merentasi cerun-cerun sebelum sampai ke tempat bersejarah itu.

Ketika pendudukan Jepun, penduduk kampung ini juga tidak terlepas dari ancaman tentera jepun. Menurut Singkui, penjajahan itu menunjukkan sisi gelap manusia. Sebagai masyarakat yang biasa, yang berada dalam keadaan aman dan berbaik hati, kekejaman Jepun tak pernah dilupakan. Singkui akan menerangkan bagaimana orang ramai ditarik hidung dan dibawa ke sekeliling kampung, seperti kerbau. Tentera Jepun yang menduduki perkampungan itu kerana mahu mencari orang kulit putih.

Aktiviti ekonomi penduduk Tambatuon bermula sekitar 1959 bila kebanyakan penduduk mula menganut Kristian dan dengan cara itu mereka berjaya mengatasi ketakutan terhadap “roh-roh liar” yang tinggal di hutan. United Sabah National Organisation (USNO) membantu mereka dengan menanam benih getah dan membuka tanah untuk menuai padi. USNO turut membina jalan raya yang memudahkan lagi akses untuk penduduk ke bandar, selain sebuah sekolah pada 1966 yang mana sehingga sekarang penduduk Tambatuon berbangga dengan graduan 22 ijazah dan 51 diploma. Sehingga 2010, penduduk telah berjaya membangunkan 300 ekar padi, dan 1,600 ekar pokok getah, selain buah-buahan dan tanaman kontan lain. Mereka telah berjaya melaksanakan sistem “tagal” di mana ikan dari sungai akan dituai secara berkelompok pada masa-masa tertentu.

Jika empangan dibina, banjir semestinya akan memusnahkan segala pokok-pokok getah, buah-buahan, tanah padi, ternakan, rumah-rumah dan gereja. Kewujudan empangan akan memusnahkan tamadun mereka, sejarah mereka, ingatan mereka, masa depan mereka dan kehidupan mereka yang mana selama ini mereka telah bekerja keras untuk keluar dari kemiskinan yang terperangkap. Mereka juga telah berusaha keras memberi pendidikan terbaik kepada anak cucu supaya menjalani kehidupan luar. Mereka sentiasa bekerja dan menyokong kerajaan hari ini sehingga sekarang bila kerajaan membelot mereka untuk membina sebuah tasik. Satu kejutan melampau yang menyakitkan dan menderitakan.

Wakil kerajaan Sabah di Kadamaian secara terbuka berkata bahawa penduduk Tambatuon terlalu mementingkan diri dan hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Dia berpendapat penduduk harus berkorban untuk tanah air mereka dengan menyokong usaha membangungankan empangan yang akan memberi manfaat kepada ribuan rakyat Sabah. Bagi penduduk Tambatuon, kenyataan sedemikian dari ahli politik yang mereka sokong itu sangat tidak berasas. Isu tersebut semakin keruh hari demi hari dan peyelesaiannya hanya kedengaran bila satu pihak mengalah.

Notis telah dipamer di pintu masuk perkampungan mereka. Penduduk tak mahu dan tak membenarkan sebarang penyelidikan atau tinjauan dijalankan. Mereka dengan jelas akan berkorban nyawa mereka untuk mempertahankan tanah mereka. Dalam masa sama, ia terletak pada keputusan politik dan hanya mahkamah akan menentukan penyelesaian mereka. Sekali lagi, hak tanah adat Bumiputera (NCR) akan berbangkit semula.

Hari ini Tambatuon penempatan ceria kepada lebih 846 penduduk yang mengandungi 193 keluarga dalam 103 rumah dan merangkumi tanah ladang seluas 5,300 ekar. Kampung ini mempunyai gereja, tadika, sekolah rendah, rumah tumpangan, dewan mini, jambatan-jambatan gantung, bekalan air dan elektrik. Kampung ini juga adalah rumah kepada burung kelicap, belalang patung, dan pohon-pohon bunga.

Kekuatan ekonomi Tambatuon adalah getah. Penduduk Tambatuon telah sasarkan di mana setiap keluarga akan mendapat sekurang-kurangnya 5,000 pokok untuk dijaga. Mereka berharap untuk menanam padi wangi dua kali setahun kerana ia boleh menjadapat sambutan dan murah di Pekan Nabalu terutamanya kepada pelancong asing dari Hong Kong. Mereka mahukan jaringan jalan raya yang menghubungkan terus dengan tanah ladang mereka dan mahukan lebih rumah tumpangan untuk pelawat dan pelancong. Pada masa akan datang, mereka akan melahirkan generasi yang lebih mahir dan berilmu yang dapat menyumbang secara positif kepada negara.

Manakala golongan tua tiada lagi pilihan kecuali cuba hidup dan terus melawan dan mati untuk kampung yang mana banyak sumbangan telah mereka keluarkan, sama ada dengan darah atau peluh. Singkui dan lain-lain sudah nampak aspek negatif empangan di Moyog. Mereka melihat bagaimana penduduk-penduduk kampung terjejas dengan janji kosong kerajaan dalam soal kemudahan perumahan dan tanah untuk pertanian. Golongan muda mempuyai pilihan untuk keluar tetapi yang mengejutkan, ramai graduan memilih untuk menetap dan bekerja mengusahakan pokok-pokok getah dan tanah ladang mereka. Ini ialah semangat yang kita mahukan dari generasi muda.

Nampaknya kerajaan BN hari ini gagal memperbaiki apa yang USNO telah mulakan untuk penduduk Tambatuon. Sementara mahkamah lambat laun akan menyelesaikan perkara ini, satu-satunya harapan untuk penduduk Tambatuon terletak padakuasa misteri “Batu Sumpah”.

Perjanjian IPP bukan sulit, dedahkan pada umum- REFSA

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) mahu Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dideklasifikasi dan didedahkan kepada umum.

Pengarah Eksekutifnya, Teh Chi Chang berkata demikian mengulas dua kenyataan berbeza daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mengenai isu itu.

“REFSA percaya penyelesaian terbaik bagi debat ini adalah untuk mendeklasifikasi PPA dan membukanya untuk
penelitian umum.

“Akses terbuka akan membolehkan orang awam yang berminat mengemukakan pertanyaan dan analisis, menyumbang secara bijak bagi menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, PPA bukan merupakan dokumen sulit kerana ia didedahkan bagi tujuan pelaburan dan mendapatkan pinjaman intensif supaya memudahkan pembiayaan, berikutan agensi penilaian dan bank mempunyai akses kepada perjanjian itu.

Katanya lagi, peraturan Bursa Malaysia juga menyatakan PPA disediakan untuk penelitian para pemegang saham syarikat IPP yang disenarai dalam Bursa Malaysia.

“Dua contoh adalah apabila Tanjong Plc mengambil alih Powertek Berhad dan Malakoff Berhad mendapat loji kuasa Tanjong,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, PPA hanya merupakan kontrak perdagangan untuk peruntukan khidmat penjanaan kuasa, sebagaimana konsesi tol yang merupakan kontrak perdagangan untuk prasarana lebuh raya.

“Pengubahan status konsesi tol menyebabkan hasil yang positif untuk rakyat Malaysia – dua kadar tol PLUS telah ditangguhkan dan kemungkinan kenaikan akan datang lebih rendah daripada yang dicadangkan.

“Memandangkan hasil positif dari pengubahan status konsesi tol, REFSA menyeru kerajaan mendeklasifikasi perjanjian pembelian kuasa. Ini akan membolehkan semua rakyat Malaysia memperoleh fakta dan angka yang tepat bagi perdebatan yang membina,” tegasnya.

Di sebalik bantahan berterusan Pakatan Rakyat, Barisan Nasional hari ini tetap bertegas mengumumkan kenaikan tarif elektrik secara purata sebanyak 7.12 peratus berkuatkuasa Jun ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini beberapa kali mengulangi bahawa perjanjian berat sebelah antara IPP dan Tenaga Nasional Berhad, menyebabkan IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun.

Syarikat-syarikat IPP yang terdiri daripada kroni antaranya Tanjung PLC, Genting Sanyen, Malakoff dan YTL menerima kira-kira RM19 bilion sehingga RM22 bilion subsidi tahunan daripada kerajaan.

Tarif elektrik dinaikkan setiap enam bulan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Tarif elektrik di negara ini dijangka akan dinaikkan setiap enam bulan supaya selaras dengan kenaikan harga gas asli yang dijual Petronas kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin berkata kerajaan pada dasarnya telah bersetuju mematuhi mekanisma ‘Fuel Cost Pass Through‘ (FCPT) yang akan menentukan kadar tarif pada masa hadapan, lapor Malaysiakini.

“Kuantum kos bahan api (cent/kW unit) akan disalurkan kepada pengguna berdasarkan harga sebenar bahan api iaitu gas dan arang batu yang digunakan bagi menghasilkan tenaga bagi tempoh enam bulan,” kata Chin di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan arahan kerajaan kepada Petronas supaya menaikkan harga gas asli daripada RM3 setiap mmBtu bagi setiap enam bulan sehingga ia mencecah harga pasaran menjelang tahun 2016.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli baru-baru ini mendakwa Tenaga Nasional Berhad dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal

Manakala Petronas pula diarah menjual gas asli pada kadar lebih murah daripada harga pasaran kepada IPP biar pun mereka membeli pada harga yang lebih tinggi daripada Indonesia dan kawasan JDA Malaysia-Thailand.

Rafizi mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual semula kepada IPP dengan harga serendah RM10.

Hanya Melayu Ada Hak Untuk Biasiswa JPA?

biasiswa jpa Hanya Melayu Ada Hak Untuk Biasiswa JPA?

Staff Berita Semasa

Biasiswa JPA memang menjadi rebutan bagi pelajar-pelajar cemerlang SPM di seluruh negara.Namun kenyataan dangkal dari Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin, bahawa hanya orang melayu dan bumiputera yang mempunyai hak untuk menerima biasiswa kerajaan, itu kami tidak setuju.

Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang memohon agar amalan temuduga biasiswa JPA dimansuhkan. Mana tidaknya kadang – kadang berlaku ketidaktelusan dalam pemilihan biasiswa . Yang dapat A+ pun belum tentu dapat lagi tapi yang dapat A, A- pulak yang dapat.

Prof. Abd. Aziz Bari, pakar perlembagaan mengatakan tidak ada pulak dalam perlembagaan pun mengatakan biasiswa hanya org Melayu yang layak mendapatkannya. Beliau mengatakan mungkin kenyataan presiden GAPS berdasarkan peruntukan perlembagaan perkara 153 yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu. Tapi masalah dalam perkara 153 ada ker disebut biasiswa hanya layak untuk orang Melayu.

Tapi kenyataan balas Presiden GAPS ini memang betul-betul memalukan mentaliti orang Melayu.Biasiswa JPA adalah hak semua rakyat Malaysia.Siapa yang cemerlang, maka dia lah yang dapat.Cuma benar kata Chua Soi Lek, memang ada berlaku ketidak telusan dalam pemberian biasiswa JPA ini.Kadang-kadang, yang tak cemerlang pun boleh dapat biasiswa.

Amalan menemuduga mungkin sudah tidak lagi sesuai.Apa kata pemilihan dibuat mengikut sistem meritokrasi.Ianya lebih baik kalau dinilai dari segi mata pelajaran dan juga sahsiah pelajar itu sendiri dalam sukan, ko-kurikulum dan sebagainya.Dengan sistem mata, pemilihan biasanya lebih telus.

Namun begitu, perlu diingat juga kepada para pelajar cemerlang ini.Persaingan sekarang bukan macam 10 tahun dulu.Sekarang dah beribu atau berpuluh ribu yang dapat 9A atau 10A setiap tahun.Jadi, bukan semua yang cemerlang boleh dapat biasiswa JPA.Sebab itulah, pemilihan melalui sistem mata kepada mata pelajaran kritikal, adalah lebih sesuai diadakan.

Jadi, persoalan disini adakah biasiswa ini hanya benar – benar hanya layak kepada orang Melayu dan bumiputera sahaja walaupun ada juga anak – anak dari berlainan bangsa yang keputusannya cemerlang dianaktirikan haknya untuk mendapatkan biasiswa JPA.

Jangan sekadar tuding jari terhadap Utusan

Chang Teck Peng


Senarai "kejahatan" yang dilakukan Utusan Malaysia 10 tahun kebelakangan ini terlalu panjang untuk dicatatkan. Memalsukan berita, memutar-belit kenyataan orang yang ditemuramah, memainkan isu agama dan perkauman yang tidak benar - segala-gala ini menjadi bahan rujukan untuk kursus pengajian komunikasi ketika membincangkan etika kewartawanan.

Utusan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1939 ini bukan sahaja sebagai akhbar Melayu yang paling panjang sejarahnya, malah mencatat rekod unggul dalam gerakan anti-penjajahan, bahkan juga dalam perjuangan kebebasan media selepas kemerdekaan. Bagaimanapun, selepas diambil-alih UMNO pada tahun 1961, Utusan Malaysia telah menjadi lidah dan alat propaganda parti politik ini.

Namun demikian, perangai Utusan Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini semakin melampau - walaupun sebagai lidah parti. Utusan Malaysia menjadi sasaran kritikan, malah antara yang mengkritiknya adalah kaum Melayu sendiri. Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar Melayu terlaris di tanahair, namun telah kehilangan "kerusi pertama" ini selepas zaman Reformasi.

Berita yang tidak masuk akal

Seandainya dianalisa mengikut perspektif "pemasaran", apa yang menimpa Utusan Malaysia mencerminkan bagaimana kedudukan pasarannya yang menongkah arus zaman. Secara keseluruhannya, suasana politik perkauman pada zaman 1990-an tidak tegang sebagaimana zaman 1980-an. Malah, selepas "Reformasi", politik pembangkang (opposition politics) telah menuju ke arah politik yang melangkaui batas perkauman. Namun Utusan Malaysia tetap menari mengikut rentak politik perkauman UMNO. Maka Utusan Malaysia ditakdirkan untuk kehilangan pembacanya sebagaimana UMNO kehilangan sokongan undi-nya.

Isu "Kristian Agama Rasmi?" yang dimainkan Utusan Malaysia pada 7 Mei 2011 cuma salah satu daripada senarai "kejahatan"-nya. Kita masih ingat bahawa Kementerian Penerangan pernah mengarahkan media cetak agar tidak memetik berita dari media internet atas alasan "beritanya tidak benar". Malah, media tradisional suka mengkritik media internet dengan tuduhan bahawa "media internet tidak mengesahkan kebenaran sebelum menyiarkan berita"-nya. Kini, Utusan Malaysia pula yang memetik berita daripada blog (bukan media internet pun), menyiarkannya di muka depan tanpa mengesah sejauh mana kebenarannya - ia sememangnya sesuatu yang tidak masuk akal!

Lebih penting, mereka yang memiliki sedikit kesedaran (sense) akan tahu, bahawa "pertemuan paderi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi dan Perdana Menteri dari kalangan penganut Kristian" adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Usahlah kita bincang tentang sistem politik kita yang kompleks - tengok sahaja kepada struktur populasi kita - daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada Februari 2011 - "Bumiputera/Melayu" mencakupi 66.18% daripada jumlah populasi rakyat Malaysia (antaranya kira-kira 80% Melayu, 20% kaum asli); sementara Cina, India dan kaum lain terdiri daripada 33.82%.

Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah kedudukan Islam sebagai agama rasmi boleh digantikan kristian? Lebih-lebih lagi kaum bukan Melayu yang mencakupi kira-kira satu pertiga daripada jumlah populasi ini bukan kesemuanya penganut agama Kristian - buddhist, taoisme, hindu, sikh dan sebagainya - fakta ini telah hilang dari pandangan Utusan Malaysia!

Najib dijulang sebagai penyelamat

Takkan Utusan Malaysia tidak faham penalaran yang semudah ini? Seandainya kita mengikuti perkembangan drama ini, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Najib Razak akhirnya telah bertemu dengan pemimpin Islam dan Kristian - berjaya mencapai muafakat untuk patuh kepada jaminan bahawa Islam akan terus kekal sebagai agama rasmi. Bukankah ia sesuatu yang jelas untuk kita semua?

Utusan Malaysia mereka satu isu dengan memetik khabar dari blog yang menggunakan nama samaran, cuba mewujudkan suasana "krisis" - yang padahalnya tidak wujud. Kemudian, Najib tampil untuk "menyelesaikan" satu krisis yang cukup untuk menggoyah asas dan tunjang negara - Najib bukan sahaja telah "meredakan" kemarahan yang tercungkil di kalangan komuniti muslim; malah juga "meleraikan" usaha paderi kristian. Dalam drama ini, Najib memainkan watak sebagai "penyelamat", dan paderi yang tidak berdosa hanya menelan pahit sendiri.

Bukan lagi rahsia untuk umum, bahawa orang pertama dan kedua UMNO sebenarnya memainkan watak yang berbeza. Seorang dengan slogan "1Malaysia"-nya, seorang lagi pula dengan "keMelayuan"-nya. Namun demikian, tingkahlaku Utusan Malaysia kali ini lebih kepada sandiwara yang boleh dijelaskan dengan analisa "krisis".

Pertama, Najib dijulang sebagai "penyelamat"- bukan sahaja penyelamat untuk seluruh rakyat Malaysia daripada konflik agama, malah penyelamat Melayu/Muslim. Keduanya, isu agama dan perkauman ini diwujudkan untuk merangsang kebimbangan "krisis" dalam masyarakat Melayu sendiri, supaya pengundi Melayu kembali menyokong UMNO, untuk mengukuhkan kuasa elit UMNO.

Tingkahlaku Utusan Malaysia ini mendedahkan betapa munafiknya UMNO/BN dalam pengawalan media untuk berdekad-dekad. Tiada seorang PM terkecuali daripada memberi amaran kepada media untuk memikul tanggungjawab sosial - mengorbankan kebebasan tertentu demi keharmonian masyarakat, membuat laporan yang benar - atau kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Ironinya, Utusan Malaysia yang dimiliki UMNO adalah institusi media yang secara terang-terang mengingkari amaran ini.

Jangan bodoh dan naif

Jikalau mengikut bahasa politik BN, kalaupun Utusan Malaysia tidak disabitkan kesalahan hasutan kerana memainkan isu perkauman dan agama, sekurang-kurangnya ia telah melanggar seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu menyiarkan berita palsu (false news). Menurut pengalaman BN yang lalu, seandainya media melanggar undang-undang ini - ia akan digantung permitnya untuk satu tempoh (seperti Makkal Osai yang menyiarkan gambar Jesus merokok), kalau bukan dihentikan terus (seperti Sarawak Tribune dalam isu kartun menghina Nabi).

Namun demikian, Kementerian Dalam Negeri sekadar mengeluarkan surat teguran kepada Utusan Malaysia. Gerak geri ini dilihat hanya dibuat-buat untuk memuaskan pihak-pihak tertentu. Meskipun Ketua Pengarangnya dipanggil untuk memberi penjelasan kepada KDN, namun siapa tahu, bahawa ia mungkin hanya "minum kopi" dan bersembang-sembang - bagaimana sandiwara ini dilakonkan dengan begitu menarik?

Malah, adalah bodoh dan naif untuk mengharapkan KDN menjatuhkan hukuman berat ke atas Utusan Malaysia, kerana tingkahlakunya adalah untuk berkhidmat kepada tuannya.

Setiap kali berlakunya isu sebegini, ramai pemimpin Cina dalam BN dan pertubuhan Cina, malah akhbar Cina akan berebut-rebut untuk menuding jari terhadap Utusan Malaysia. Tiada salahnya untuk menyalahkan media yang bersalah. Cuma, bukankah ia juga "sandiwara"? Lihatlah bagaimana mereka memuji dan memuja Najib - tuan kepada Utusan Malaysia - dan kita akan sedar bahawa ia hanyalah pertunjukan munafik secara kolektif.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 14 Mei 2011.

Elektrik : Kerajaan Bela IPP, Hukum Rakyat

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kenaikan mendadak tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus oleh Putrajaya akan menyebabkan kadar inflasi melonjak dalam tempoh tiga bulan, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Beliau berkata peningkatan itu sepatutnya boleh dikekang jika kerajaan menyemak semula pemberian subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), namun ini tidak dilakukan dan sekali lagi rakyat terpaksa menanggung akibatnya, tambah beliau.

"Sepatutnya subsidi untuk IPP patut diuruskan (terlebih dahulu). Rundingan dengan IPP penting untuk mengurangkan bayaran elektrik yang dikenakan supaya TNB boleh jual elektrik kepada rakyat pada kadar yang berpatutan dan pada masa yang sama tidak terlalu bergantung kepada subsidi gas untuk mengekalkan tarif elektrik," kata beliau.

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kw sejam daripada 31.31 sen kw sejam, berkuatkuasa Rabu ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Peter Chin dalam kenyataannya mendakwa ianya sebahagian daripada proses merasionlisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau mendakwa langkah itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 300 kw elektrik sebulan.

Rafizi menegaskan rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga bil elektrik tetapi harga barangan juga akan naik akibat peningkatan kos elektrik dalam sektor perindustrian.

Pelajar universiti yang menyewa rumah dengan kelengkapan komputer dan penghawa dingin juga akan terbeban memandangkan tenaga elektrik digunakan secara komprehensif.

Rafizi berkata dakwaan bahawa mereka yang menggunakan 300 kilowatt ke bawah terkecuali daripada kenaikan harga itu tidak relevan kerana purata penggunaan elektrik sesebuah keluarga khususnya di bandar melebihi jumlah itu.

Beliau menambah purata bil elektrik bagi sebuah keluarga lebih RM200 sebulan dan mereka akan terpaksa membayar lebih susulan kenaikan tarif yang diumumkan hari ini.

Justeru, Rafizi mahukan kerajaan pusat untuk memberi tumpuan serius kepada mengkaji subsidi yang diberikan kepada IPP.

"Kerajan harus fokus kepada perjanjian dengan IPP kerana perjanjian itu merupakan punca semua masalah tarif elektrik di Malaysia ini. Mereka yang telan subsidi gas, dapat banyak untung sebab paksa harga mahal kepada TNB. Tapi kerajaan ambil jalan hukum rakyat dan hukum TNB," katanya lagi.

Dalam pada itu ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata polisi yang sering bertukar-tukar berhubung IPP mencetuskan kemusykilan terhadap layanan kerajaan kepada rakyat.

"Pada tahun 2007, Menteri Tenaga ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah berjanji dan menyatakan secara terbuka kalau subsidi gas dihentikan kepada IPP, ianya tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

"Maka pada saya, pengumuman kenaikan tarif elektrik ini perlu diperincikan tentang siapa yang akan terkesan, bagaimana mekanisme itu terjadi, dan saya takut kalau ianya menjadi satu lagi sandiwara kepada Umno-Barisan Nasional untuk menjustifikasi kenapa akhirnya mereka terpaksa memotong subsidi RON95,"katanya.

Semangat cikgu pencen

MALAYSIA KINI


Nilai-nilai seorang guru yang cemerlang memang terpancar pada pertuturan dan air wajahnya. Kata-katanya lembut dan berhemah bukti pengalaman mengajarnya selama 41 tahun.

Asnah Mansor, 58, adalah antara tokoh pendidik cemerlang dan wajar dicontohi. Walaupun tahun ini sambutan hari guru tidak lagi diraikan di sekolah, namun, semangat guru tetap sebati dalam jiwanya biarpun baru sebulan bergelar 'cikgu pencen'.

azlanBagi Asnah, mengenang kembali sambutan hari persaraan beliau di sekolah terakhir beliau berkhidmat, Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2 tentu sahaja satu kenangan manis dalam kerjaya perguruannya.

Daripada sekecil-kecil murid pra sekolah hinggalah ke murid tahun 6, mereka berkumpul meraikan guru yang disayangi. Seronok melihat gelagat mereka membuat persembahan penuh ikhlas di atas pentas.

Paling mengembirakan apabila melihat barisan panjang murid yang diajarnya beratur memegang hadiah buat Cikgu Asnah yang disayangi. Bagi seorang guru bukan hadiah yang dinanti tetapi didikan dan tunjuk ajarnya yang diingati mereka.

Asnah tentu sahaja merindui wajah-wajah polos anak-anak masa depan negara itu. Bahkan tentu sahaja beliau merindui rakan seperjuangan.

Istimewanya guru bersara ini ialah semangat dan dedikasi beliau dalam menjalankan tugasnya yang wajar dicontohi oleh kelompok guru muda hari ini.

Bagi Asnah, tugas guru semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila anak murid lebih ke hadapan daripada guru. Malahan karenah dan harapan ibu bapa juga adalah satu cabaran buat guru masa kini.

azlan"Dunia pendidikan sekarang memang banyak berubah. Cabaran yang dihadapi oleh guru lebih besar berbanding dahulu. Apatah lagi dengan keadaan murid sekarang yang lebih ke hadapan berbanding guru dan ada juga yang kurang menghormati orang tua," kata Asnah yang telahpun melalui pelbagai fasa perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Pandangan Guru Cemerlang Bahasa Malaysia ini mengenai perkembangan pendidikan negara dari kaca mata seorang guru yang telah lama berkhidmat, mungkin boleh dijadikan panduan.

Bagi Asnah, sebagai guru, beliau melihat terdapat lompong dalam sistem pendidikan negara. Walaupun akur bahawa setiap perubahan polisi yang dilaksanakan adalah bertujuan membuat penambahbaikan, tetapi ada beberapa perkara yang kurang berkaitan.

"Sebagai guru di sekolah rendah, saya melihat murid sama ada di bandar mahupun luar bandar, mereka kurang pendedahan kepada dunia luar. Berbeza dengan murid yang pernah mengikuti ibu bapa mereka ke luar negara dan bersekolah di sana, apabila pulang ke sini, corak pengajaran dan sistemnya seperti menyekat kemahiran dan kreativiti mereka."

NONEMenurut Asnah, memang benar seperti yang banyak diperkatakan, corak pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan pelajar mudah hilang arah. Jika guru boleh menerapkan lebih banyak elemen praktikal dalam pengajaran mereka, murid akan lebih pro aktif dan dapat mengasah kemahiran.

"Contohnya mata pelajaran Kemahiran Hidup, walaupun diajar sejak tahun empat, apabila masuk tingkatan 1, masih ada yang ketuk paku pun tak lepas.

Sia-sia sahaja tiga tahun mereka belajar kelas Kemahiran Hidup kerana apabila masuk tingkatan 1, asas yang sama perlu diulang."

"Saya fikir, fokuskan murid terhadap apa yang mereka minat sejak di sekolah rendah lagi. Di tahun 1-3, kita melihat perkembangan dan minat mereka, kemudian masuk tahun empat hingga enam, mereka sudah tahu pengkhususan masing-masing.

Mereka juga perlu didedahkan dengan dunia kerjaya sejak di peringkat sekolah rendah lagi," saran beliau.

Terlalu tumpu peperiksaan

Menurut beliau, tumpuan yang terlalu terhadap peperiksaan boleh menyebabkan guru mengabaikan murid yang tidak berada di tahun peperiksaan. Apabila di sekolah menengah pula, guru lebih tertumpu kepada pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima.

sos damansara school open for schoolingSedangkan pelajar yang baru memasuki sekolah menengah memerlukan bimbingan. Di pihak ibu bapa pula, mereka percaya jika anak berjaya mendapat 4A atau 5A, mereka akan cemerlang di sekolah menengah.

"Sebenarnya di peringkat awal sekolah menengahlah mereka perlu diberi lebih perhatian. Kadang-kadang, kita terlepas pandang hal ini menyebabkan ramai anak Melayu yang tercicir sebaik sahaja memasuki sekolah menengah kerana fokus mereka terganggu dan dipengaruh dengan anasir lain.

Sebagai guru yang berpengalaman mengajar Bahasa Malaysia di sekolah rendah, mereka memikul tangungjawab membentuk sahsiah. Menurutnya, dahulu, pembelajaran Bahasa Malaysia adalah satu daripada subjek yang boleh dijadikan medium membentuk peribadi pelajar.

"Misalnya sebelum memulakan pembelajaran, cikgu dah terapkan nilai-nilai moral yang baik terhadap seisi kelas. Kemudian barulah pelajaran bermula.

Malahan semasa sesi pembelajaran berlangsung, guru boleh bertindak menarik perhatian dan kesedaran pelajar tentang nilai-nilai murni," sambung Asnah yang bergelar Guru Pakar Bahasa Malaysia dan bergelar Guru Cemerlang 1Malaysia.

Bukti kejayaannya apabila hasil kecemerlangan pengajarannya dalam kelas telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) dan diedarkan ke semua sekolah rendah di seluruh negara.

Kerjasama guru dan ibu bapa

Sebelum memulakan kerjaya perguruannya sebagai lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang Universiti Perguruan Sultan Idris), Asnah sudah mula mengajar secara sambilan selama lapan tahun. Sehinggalah beliau ditawarkan ke MPSI dan sejak itu, beliau menetapkan fokusnya untuk menjadi guru.

Beliau mencurahkan ilmu di lima buah sekolah sepanjang perkhidmatannya iaitu di Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor, Sekolah Convent Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Jalan Peel, Sekolah Kebangsaan Yaakob Latif 2 dan berakhir di Sekolah Kebangsaan Taman Midah 2. Sepanjang tempoh itu, beribu murid diajarnya termasuk Menteri Besar Perak sekarang, Datuk Seri Diraja Dr Zambri Abd Kadir.

NONEBagi wanita yang berperwatakan tenang ini, kejayaan seseorang murid dan sesebuah sekolah adalah hasil kerjasama antara guru dan ibu bapa. Jika dahulu, ibu bapa sering ke sekolah untuk menyokong PIBG, hari ini ibu bapa hadir ke sekolah semata-mata untuk membuat aduan terhadap guru.

"Saya fikir, sebagai guru, pasti ada sebab anak murid dimarahi. Bukan semua guru sengaja memukul atau memarahi anak murid. Misalnya tidak menyiapkan kerja sekolah, malas atau tidak menghormati guru.

Bila keadaan ini timbul, guru pun boleh tawar hati untuk mengajar dengan ikhlas apabila kepercayaan daripada ibu bapa tidak diperoleh," sambung Asnah.

Asnah juga melihat perubahan semangat kerjasama sesama guru sudah jauh berbeza.

Walaupun tugas guru memang berat ditambah dengan bebanan tugas selain mengajar, Asnah berpendapat kerjasama sesama guru perlu dipupuk bagi mengurangkan beban itu. Kesibukan guru mungkin menyebabkan mereka terpaksa bertindak sendirian berbanding guru pada 10-20 tahun lepas.

"Saya masih ingat, dulu rakan-rakan setugas banyak membantu dalam menyiapkan tugasan mengajar untuk mendapatkan taraf guru pakar. Ia menjadi kerjasama berpasukan berbeza hari ini guru lebih banyak mengambil sikap sendiri-sendiri, mungkin perkara ini juga perlu diberi perhatian agar profesion ini terus dipandang tinggi," katanya.

Anak berjaya

Beliau bukan sahaja bergelar guru cemerlang, bahkan ibu kepada empat orang anak dengan lima orang cucu ini juga cemerlang sebagai ibu apabila anak-anaknya juga berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading hingga ke luar negara.

Anak sulungnya, Mohamad Nizam Mohamed Shapie, 32, sedang menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di University of Wales Institutes Cardiff, United Kingdom, yang kedua Mohamad Azlan, 31, Pengarah di sebuah syarikat swasta, anak ketiga Mohamad Fahmi, 30, seorang guru dan yang bongsu Noor Izni, 28, bergelar doktor perubatan dan kini bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

beng teik chinese primary school 190106Bagi Asnah, sokongan suami Mohamed Shapie, 63, bekas pegawai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa membantu adalah pendorong kejayaan mereka sekeluarga.

Sebagai guru dan ibu, Asnah berpendapat, kemahiran seorang anak perlu dilihat sejak mereka di sekolah rendah. Manakala ibu bapa pula, jangan terlalu mengongkong anak dengan pelajaran sahaja. Didikan agama juga perlu agar mereka seimbang. Beri juga ruang untuk mereka bermain kerana anak-anak di sekolah rendah akan menjadi lebih kreatif dan cerdas apabila mereka diberi kebebasan untuk bermain.

"Bayangkan kepenatan mereka yang terpaksa belajar di sekolah dan kemudian petang ke sekolah agama dan malamnya pula ke pusat tuisyen. Jadi mereka perlu diberi ruang bagi melepaskan tekanan tersebut. Misalnya dengan mengizinkan mereka keluar bermain selepas pulang dari sekolah agama.

"Sekurang-kurangnya ia dapat melepaskan tekanan belajar yang dihadapi," tambah guru bersara ini sambil berharap akan adanya perubahan yang lebih relevan terhadap dunia pendidikan di negara ini.

Laporan: Masyakat terselamat dari radiasi

Joseph Sipalan


Pihak berkuasa hari ini mengeluarkan hasil Penilaian Kesan Radiologi (RIA) projek nadir bumi Lynas, yang mengesahkan keselamatan projek itu selepas panel penilai antarabangsa melakukan penyelidikan hari kedua berhubung tahap keselamatannya.

Penilaian RIA - yang dipamerkan bersama laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) - menyatakan bahawa operasi loji itu "tidak akan menyebabkan risiko radiologi yang tidak wajar.

Menurut laporan yang dikelolakan Agensi Nuklear Kebangsaan Malaysia itu, orang awam tidak akan terkesan dengan sinar radiasi mili-siverts (MSV).

Manakala pekerjanya pula akan menghadapi purata 13 MSV radiasi setiap tahun untuk tempoh sepuluh tahun pertama operasinya.

Ini bermakna, pendedahan sinar itu kepada pekerja hanya 50 MSV setiap tahun atau di bawah paras bahaya.

"Berdasarkan keputusan (RIA), kesimpulannya operasi loji itu tidak akan menyebabkan sebarang kesan radiologikal kepada pekerja dan anggota masyarakat yang menetap di sekitar kawasan yang dibenarkan," laporan itu dipetik.

Noh Omar: Bagus ke video seks itu?

Salhan K Ahmad & Norain Saleh

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengelak daripada memberikan jawapan jelas berhubung pengedaran cakera video lucah yang menampilkan individu didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noh berkata demikian ketika ditanya hari ini berhubung dakwaan berkenaan yang ditimbulkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad minggu lalu.

"Saya pun tidak tahu. Saya tidak tengok. MP Shah Alam dah tengok ke belum?

NONE"Dia sendiri dah tengok ke? Bagus ke (video itu)?... Kalau dia sudah tengok, baru saya jawab," katanya ketika ditanya sama ada Umno merupakan merupakan pihak yang bertanggungjawab mengedarkan cakera video berkenaan kepada ketua-ketua kampung di Selangor.

Setelah diasak berkali-kali, barulah Noh berkata bahawa cakera video berkenaan bukannya disebarkan oleh Umno.


"Jangan salahkan Umno, bukan Umno yang sebarkan," katanya yang menambah, tuduhan berkenaan sengaja ditimbulkan oleh pemimpin Pakatan yang didakwa mula "berasa bahang" akibat penyebaran video berkenaan.

Katanya lagi, pemimpin Pakatan Rakyat sepatutnya berasa gembira sekiranya penyebaran video berkenaan akan menyebabkan rakyat berasa marah terhadap Umno.

"Kalau bagi kesan negatif sebab video rakyat rasa marah, sepatutnya pembangkang rasa lebih seronok.

"Pembangkang patut sokong video disebarkan lebih luas. Kenapa pembangkang risau?," soalnya.

Selain Khalid, beberapa pemimpin Pakatan di Selangor, termasuk exco kerajaan negeri Ean Yong Hian Wah, mendakwa Umno dan BN merupakan pihak di belakang usaha itu.

Khalid turut menggesa polis supaya konsisten ketika menyiasat kes itu, sama seperti yang dilakukan dalam siasatan ke atas kes penyebaran video seks presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum in.