Ibu sedih janda beranak tiga hidup terseksa di Lombok
Gambar: MARYAM bersama suami, merayu bantuan membawa anak mereka pulang.
KUALA NERANG: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi membawa pulang anak perempuannya yang didakwanya hidup terseksa akibat didera dan hanya makan ubi kayu rebus di Lombok, Indonesia, selepas mengikut teman lelakinya, kira-kira dua tahun lalu.
Maryam Kasim, 49, dari Kampung Kuala Pai di sini, sering menangis setiap kali terkenangkan nasib anaknya yang juga janda beranak tiga, Zarina Abu Bakar, 30.
Malah, Maryam mendakwa anaknya menjadi mangsa janji kosong apabila hasrat berkahwin dengan lelaki dikenali Helmi, 30, tidak kesampaian selepas Zarina melahirkan anak hasil hubungan sulit itu.
“Saya sedih apabila dia menelefon dan memberitahu hanya makan ubi kayu rebus dicicah dengan air asam setiap hari.
“Zarina ke Lombok awal September 2009 mengikut teman lelakinya kerana dia berjanji akan mengahwini anak saya sebaik sampai di sana nanti. Zarina ada tiga anak berusia 6 hingga 10 tahun.
“Dia kata dia jatuh cinta dengan lelaki itu yang dikenalinya tidak sampai sebulan di Negeri Sembilan. Pujuk rayu lelaki itu menyebabkan Zarina mengikutnya ke kampungnya di Desa Jeruk Mani, Dusun Jawa Guar, Kacamatan Sipur,” katanya ketika ditemui, semalam.
Maryam berkata, selepas bercerai, Zarina ke Negeri Sembilan pada September 2009 untuk mencari kerja dan berkenalan dengan lelaki itu yang bekerja di FELDA di Bahau sebelum mengikutinya ke Lombok sebulan kemudian atas alasan untuk berkahwin.
Bagaimanapun, kata Maryam, impian Zarina bersuamikan lelaki itu berkecai apabila kekasihnya membatalkan hasrat mengahwininya selepas Zarina melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungan sulit mereka.
“Bayi itu kini berusia lima bulan dan dipelihara keluarga lelaki itu dengan baik. Setiap kali dia memberitahu makan ubi kayu yang dicicah dengan air asam, air mata saya bercucuran kerana pilu mengenang nasibnya di tempat orang.
“Kami bukan orang senang tetapi masih makan nasi setiap hari, selain itu Zarina juga mendakwa dia dipukul.
“Saya sangat berharap kepada mana-mana pihak dapat membantu membawa balik Zarina ke negara ini,” katan.-BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan