HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Anak Kelantan serah memo tuntut royalti minyak

Jawatankuasa mahu agar Najib memastikan mereka mendapat hak sama rata seperti yang diperoleh kerajaan negeri Terengganu.



PUTRAJAYA: Bosan menunggu sehingga 34 tahun, Jawatankuasa Bertindak Anak Kelantan Perantauan hari ini mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut supaya dituanikan janji mengenai isu hak pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan.

Dalam memorandum itu, selain menuntut wang royalti dibayar kepada kerajaan negeri, jawatankuasa itu juga mahu agar Najib memastikan mereka mendapat hak sama rata seperti yang diperoleh kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Royalti Kelantan Apandi Mohamad dalam memorandum itu berkata, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terenganu ke-12 telah mengesahkan pembayaran royalti ptroleum kepadab Terengganu berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011.

Akta Petroleum 1974

Katanya, pelaksanaan itu selaras dengan ucapan mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak di Parlimen menyebut ‘semua negeri di Malaysia melainkan Sabah dan Sarawak telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974′.

‘Mengikut perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut yang dijual oleh Petronas ataupun agensi ataupun kontraktornya’, ucapan tersebut dipetik.

“Maka Najib sewajarnya memahami tidak ada had tiga batu nautika seperti yang dihujahkan oleh pemimpin kerajaan Pusat sekarang tetapi pesisiran luar pantai itu sebenarnya meliputi ‘continental shelf’,” tanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada pegawai di Jabatan Perdana Menteri tengahari tadi.

Selain Apandi, turut hadir menyerahkan memorandum Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu, Senator Mumtaz Mohd Nawi, Ketua AMK Kelantan Mohammad Azihan Che Seman serta kira-kira 20 anak Kelantan yang lain.

Royalti dibayar tunai

Jawatankuasa tersebut turut menuntut Najib supaya royalti dibayar tunai secara langsung kepada kerajaan negeri dan tidak dibayar kepada mana-mana pihak lain atas apa jua alasan.

Sementara itu, Mohamad aberkata pihaknya bimbang pelaburan negara akan terjejas jika negara luar lain melihat keengganan dan kegagalan kerajaan Pusat mematuhi perjanjian untuk menjaga kebajikan negeri bawahannya.

“Perjanjian ini menyebabkan imej Malaysia kepada pelabur akan terjejas kerana perjanjian ini bukan berdasarkan pada parti politik tapi antara kerajaan negeri dan persekutuan yang diamanahkan melalui Petronas,” katanya.

Manakala Siti Zailah mencabar Najib mengotakan janji yang dilaungkannya ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ itu kepada kira-kira 1.7 juta rakyat Kelantan.

Pembangunan negeri

“Rakyat sangat memerlukan sumbangan dan wang royalti ini untuk membangunkan negeri.

“Sebagai negara demokrasi kami berhak tuntut hak kami dan bukannya melalui pemberian bentuk wang ehsan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Azihan berkata pihaknya akan mengadakan solat hajat di Bandar Baru Sungai Buloh 4 Jun depan selain ceramah dan roadshow di Stadium Sultan Mahmud bagi terus mendesak kerajaan Pusat mengembalikan hak royalti segera kepada negeri Kelantan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mewakili kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 juta setahun sejak 2005.

Langar undang-undang

Menurut kerajaan negeri, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan negeri antara lain memohon perintah untuk mendesak Petronas supaya mendedahkan kesemua fakta berkaitan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Ia termasuk tempoh petroleum dikeluarkan, dijumpai atau diperoleh di pesisir Kelantan; kawasan atau blok tempat petroleum dijumpai dan diperoleh; dan jumlah keseluruhan pembayaran tunai yang patut dibayar kepada Kelantan.

Kerajaan negeri turut mendesak agar semua pembayaran tunai tertunggak yang ditetapkan oleh mahkamah mesti dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah dikeluarkan.

Tiada ulasan: