HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Jangan sekadar tuding jari terhadap Utusan

Chang Teck Peng


Senarai "kejahatan" yang dilakukan Utusan Malaysia 10 tahun kebelakangan ini terlalu panjang untuk dicatatkan. Memalsukan berita, memutar-belit kenyataan orang yang ditemuramah, memainkan isu agama dan perkauman yang tidak benar - segala-gala ini menjadi bahan rujukan untuk kursus pengajian komunikasi ketika membincangkan etika kewartawanan.

Utusan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1939 ini bukan sahaja sebagai akhbar Melayu yang paling panjang sejarahnya, malah mencatat rekod unggul dalam gerakan anti-penjajahan, bahkan juga dalam perjuangan kebebasan media selepas kemerdekaan. Bagaimanapun, selepas diambil-alih UMNO pada tahun 1961, Utusan Malaysia telah menjadi lidah dan alat propaganda parti politik ini.

Namun demikian, perangai Utusan Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini semakin melampau - walaupun sebagai lidah parti. Utusan Malaysia menjadi sasaran kritikan, malah antara yang mengkritiknya adalah kaum Melayu sendiri. Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar Melayu terlaris di tanahair, namun telah kehilangan "kerusi pertama" ini selepas zaman Reformasi.

Berita yang tidak masuk akal

Seandainya dianalisa mengikut perspektif "pemasaran", apa yang menimpa Utusan Malaysia mencerminkan bagaimana kedudukan pasarannya yang menongkah arus zaman. Secara keseluruhannya, suasana politik perkauman pada zaman 1990-an tidak tegang sebagaimana zaman 1980-an. Malah, selepas "Reformasi", politik pembangkang (opposition politics) telah menuju ke arah politik yang melangkaui batas perkauman. Namun Utusan Malaysia tetap menari mengikut rentak politik perkauman UMNO. Maka Utusan Malaysia ditakdirkan untuk kehilangan pembacanya sebagaimana UMNO kehilangan sokongan undi-nya.

Isu "Kristian Agama Rasmi?" yang dimainkan Utusan Malaysia pada 7 Mei 2011 cuma salah satu daripada senarai "kejahatan"-nya. Kita masih ingat bahawa Kementerian Penerangan pernah mengarahkan media cetak agar tidak memetik berita dari media internet atas alasan "beritanya tidak benar". Malah, media tradisional suka mengkritik media internet dengan tuduhan bahawa "media internet tidak mengesahkan kebenaran sebelum menyiarkan berita"-nya. Kini, Utusan Malaysia pula yang memetik berita daripada blog (bukan media internet pun), menyiarkannya di muka depan tanpa mengesah sejauh mana kebenarannya - ia sememangnya sesuatu yang tidak masuk akal!

Lebih penting, mereka yang memiliki sedikit kesedaran (sense) akan tahu, bahawa "pertemuan paderi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi dan Perdana Menteri dari kalangan penganut Kristian" adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Usahlah kita bincang tentang sistem politik kita yang kompleks - tengok sahaja kepada struktur populasi kita - daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada Februari 2011 - "Bumiputera/Melayu" mencakupi 66.18% daripada jumlah populasi rakyat Malaysia (antaranya kira-kira 80% Melayu, 20% kaum asli); sementara Cina, India dan kaum lain terdiri daripada 33.82%.

Dalam keadaan sedemikian, mungkinkah kedudukan Islam sebagai agama rasmi boleh digantikan kristian? Lebih-lebih lagi kaum bukan Melayu yang mencakupi kira-kira satu pertiga daripada jumlah populasi ini bukan kesemuanya penganut agama Kristian - buddhist, taoisme, hindu, sikh dan sebagainya - fakta ini telah hilang dari pandangan Utusan Malaysia!

Najib dijulang sebagai penyelamat

Takkan Utusan Malaysia tidak faham penalaran yang semudah ini? Seandainya kita mengikuti perkembangan drama ini, Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Najib Razak akhirnya telah bertemu dengan pemimpin Islam dan Kristian - berjaya mencapai muafakat untuk patuh kepada jaminan bahawa Islam akan terus kekal sebagai agama rasmi. Bukankah ia sesuatu yang jelas untuk kita semua?

Utusan Malaysia mereka satu isu dengan memetik khabar dari blog yang menggunakan nama samaran, cuba mewujudkan suasana "krisis" - yang padahalnya tidak wujud. Kemudian, Najib tampil untuk "menyelesaikan" satu krisis yang cukup untuk menggoyah asas dan tunjang negara - Najib bukan sahaja telah "meredakan" kemarahan yang tercungkil di kalangan komuniti muslim; malah juga "meleraikan" usaha paderi kristian. Dalam drama ini, Najib memainkan watak sebagai "penyelamat", dan paderi yang tidak berdosa hanya menelan pahit sendiri.

Bukan lagi rahsia untuk umum, bahawa orang pertama dan kedua UMNO sebenarnya memainkan watak yang berbeza. Seorang dengan slogan "1Malaysia"-nya, seorang lagi pula dengan "keMelayuan"-nya. Namun demikian, tingkahlaku Utusan Malaysia kali ini lebih kepada sandiwara yang boleh dijelaskan dengan analisa "krisis".

Pertama, Najib dijulang sebagai "penyelamat"- bukan sahaja penyelamat untuk seluruh rakyat Malaysia daripada konflik agama, malah penyelamat Melayu/Muslim. Keduanya, isu agama dan perkauman ini diwujudkan untuk merangsang kebimbangan "krisis" dalam masyarakat Melayu sendiri, supaya pengundi Melayu kembali menyokong UMNO, untuk mengukuhkan kuasa elit UMNO.

Tingkahlaku Utusan Malaysia ini mendedahkan betapa munafiknya UMNO/BN dalam pengawalan media untuk berdekad-dekad. Tiada seorang PM terkecuali daripada memberi amaran kepada media untuk memikul tanggungjawab sosial - mengorbankan kebebasan tertentu demi keharmonian masyarakat, membuat laporan yang benar - atau kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Ironinya, Utusan Malaysia yang dimiliki UMNO adalah institusi media yang secara terang-terang mengingkari amaran ini.

Jangan bodoh dan naif

Jikalau mengikut bahasa politik BN, kalaupun Utusan Malaysia tidak disabitkan kesalahan hasutan kerana memainkan isu perkauman dan agama, sekurang-kurangnya ia telah melanggar seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu menyiarkan berita palsu (false news). Menurut pengalaman BN yang lalu, seandainya media melanggar undang-undang ini - ia akan digantung permitnya untuk satu tempoh (seperti Makkal Osai yang menyiarkan gambar Jesus merokok), kalau bukan dihentikan terus (seperti Sarawak Tribune dalam isu kartun menghina Nabi).

Namun demikian, Kementerian Dalam Negeri sekadar mengeluarkan surat teguran kepada Utusan Malaysia. Gerak geri ini dilihat hanya dibuat-buat untuk memuaskan pihak-pihak tertentu. Meskipun Ketua Pengarangnya dipanggil untuk memberi penjelasan kepada KDN, namun siapa tahu, bahawa ia mungkin hanya "minum kopi" dan bersembang-sembang - bagaimana sandiwara ini dilakonkan dengan begitu menarik?

Malah, adalah bodoh dan naif untuk mengharapkan KDN menjatuhkan hukuman berat ke atas Utusan Malaysia, kerana tingkahlakunya adalah untuk berkhidmat kepada tuannya.

Setiap kali berlakunya isu sebegini, ramai pemimpin Cina dalam BN dan pertubuhan Cina, malah akhbar Cina akan berebut-rebut untuk menuding jari terhadap Utusan Malaysia. Tiada salahnya untuk menyalahkan media yang bersalah. Cuma, bukankah ia juga "sandiwara"? Lihatlah bagaimana mereka memuji dan memuja Najib - tuan kepada Utusan Malaysia - dan kita akan sedar bahawa ia hanyalah pertunjukan munafik secara kolektif.

*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 14 Mei 2011.

Tiada ulasan: