HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2011

Surat PPSMI al-Wida’ buat Pak Samad

Oleh H FANSURI


Salam revolusi Dato’ A Samad Said yang terhormat.

Mungkin ini surat terakhir. Sebab-sebabnya, biarlah rahsia. Tapi, ketika dipertimbang sebabnya, maka saya belajar suatu hal, iaitu dalam perjuangan apa pun, ternyata yang paling merumitkan ialah cabaran ketika berdepan dengan rakan sendiri.

Ketika berdepan dengan musuh, sakit jiwa tidak terasa sangat sebab mengenangkan mereka itu seteru. Ada suatu dialog dalam filem Godfather, "Jangan membenci musuh anda, kerana hal itu akan menyulitkan penghakiman kita ke atas mereka."

Ada juga kata-kata hikmah lain, "Takuti musuh anda sekali, tapi takuti rakan anda seribu kali." Contoh, isteri atau suami kita adalah teman kita yang tahu kelemahan kita lalu dia mungkin membuka rahsia kita selepas perceraian pula.

Bersandarkan semangat ini, saya fikir semua surat itu sepatutnya membangunkan fikiran semua kita terhadap suatu hal, "Untuk mansuhkan PPSMI, maka laungan mengguling Umno tidak penting lagi. Yang penting, pastikan setiap (atau yang digelar) pejuang bahasa itu mengundi selain Umno. Itulah tema yang tertuang di sebalik surat-surat selama ini.
Setiap bait pidato untuk mansuhkan PPSMI lewat laras bahasa undi itulah yang mesti kerap dibancuh lalu dituang dalam cawan fikiran pejuang bahasa itu sendiri. Ini yang perlu diutamakan. Soal orang awam akan undi siapa, biarlah hal itu diuruskan Twitter, Facebook, YouTube dan pidato umum parti kiri.

Sebabnya, sepanjang terjebaknya saya ke medan penulisan dan dalam tempoh pergaulan dengan masyarakat penulis ini, bukan tiada yang marah-marah dengan PPSMI tapi akhirnya mereka tetap undi Umno kerana Pas bergabung dengan DAP. Inilah hasil asuhan Umno yang sudah lama berkembang biak di dalam fikiran para penulis, samada muda ataupun tua. {Kita belum sempat bahas kedudukan orang yang anti PPSMI , tapi tetap undi Umno dan marahkan PAS kerana mereka itu memang Umno.}

Dan ada lagilah hujahan yang sepatutnya ditepis dengan hujah dan ditolak dengan buah fikiran yang bernas juga, tanpa marah-marah. Biarpun nanti ada suara bersinis, "Ah! Mereka entiti kecil, terasing dan terpencil. Satu dua undi mereka tidak bermakna apa-apa." Tapi, pada saya, dalam dunia demokrasi, hatta satu undi sekali pun amatlah bermakna! Bagi politikus yang baik, dia akan hargai setiap nilai undi yang satu itu.

Tak apalah Pak Samad. Saya melakukan yang terbaik, sedaya upaya bertempur hujah rakan penulis yang masih berat mengundi PR sebab dihasut dengan propaganda Umno. Iaitulah, propaganda bahawa ‘persekongkolan’ PAS dengan DAP ini akan hancurkan Melayu, Islam. Hujah ini, tiada siapa yang mahu menjawabnya untuk kaum penulis ini, walhal inilah peluru Umno yang paling berharga dan bertenaga!

Akhirul kalam saya rumuskan beberapa hal, bahawa jika kita berpeluang menemui penulis muda atau veteran, maka yang terbaik ialah kita mesti berbual sedikit demi sedikit untuk membersihkan fikiran orang yang sudah lama dikeruhkan oleh propaganda Umno ini.

Dan, semua usaha penjernihan semula pemikiran masyarakat penulis, khasnya penulis muda ini sepatutnya dilakukan dalam acara kecil-kecilan sehingga tiba waktu yang dirasakan sesuai, maka kita boleh gerakkan perhimpunan kongres raya bagi menolak Umno akhirnya sebelum tiba pilihan raya umum ke-13 yang kononnya dijadualkan berlangsung pada 11.11.11 nanti. (demikian menurut Najib Razak)

Menolak Umno di sini selalu dilihat penulis sebagai tindakan politik kepartian, tapi kita harus jelaskan kepada mereka bahawa menolak Umno ini dengan niat memansuhkan PPSMI. Roh kefahaman seperti inilah yang memang liat dan sukar untuk diserapkan ke dalam fikiran ramai orang.

Sekianlah, catatan terakhir Pak Samad. Salam revolusi.

Tiada ulasan: