Kerajaan gagal memberi justifikasi kenapa tidak mahu menyusun semula kontrak yang tidak adil ini dan membiarkan IPP mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
PETALING JAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa mendeklasifikasi isi-isi perjanjian yang dibuat dengan syarikat-syarikat Penjana
Tenaga Bebas (IPP) kerana terus enggan mengadakan rundingan semula hingga membelangkangi kepentingan rakyat terbanyak.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, kerajaan gagal memberi justifikasi kenapa tidak mahu menyusun semula kontrak yang tidak adil ini dan membiarkan IPP mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
Terdahulu, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek mempertahankan perjanjian pembelian jana kuasa IPP (PPA) dengan mendakwa bahawa perjanjian-perjanjian ini adalah ‘sacrosanct’ maka kerajaan tidak boleh menyusun semula perjanjian-perjanjian yang tidak adil ini.
Menurut The Malaysian Insider, Dr Chua berkata, oleh sebab kerajaan terikat dengan banyak perjanjian, ini tidak boleh dihapuskan begitu sahaja, seperti yang dikatakan oleh DAP atau Anwar (Ibrahim) katakan.
“Maka jadinya dunia melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak menghormati perjanjian-perjanjian. Inilah adalah salah,” kata Dr Chua.
Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, tidak ada guna bertengkar dengan Dr Chua berhubung dengan PPA ini kerana tidak ada orang di luar kabinet mempunyai akses kepada maklumat mengenainya.
“Oleh itu, saya mencabar Dr Chua membuktikan bahawa kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa selepas perjanjian-perjanjian itu ditandatangani agar isi perjanjian-perjanjian ini dideklasifikasikan untuk diteliti oleh orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, selepas maklumat mengenai isi perjanjian konsesi tol lebuhraya dideklasifikasikan pada 2009, kajian terperinci ke atas perjanjian-perjanjian ini mendapati terdapat terma-terma yang membenarkan kerajaan untuk mengambil alih atau membeli balik konsesi-konsesi ini.
“Terdapat klausa membenarkan pihak kerajaan mengambil alih dengan harga yang berpatutan dan pada masa yang sama memastikan syarikat-syarikat konsesi mendapat kadar pulangan yang memuaskan atas pelaburan dalam tahun-tahun operasi mereka,” katanya.
Ujar beliau, “terma-terma ini dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak, kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi dan oleh itu tidak timbul soal pelanggaran terhadap terma-terma berlaku.
“Pakatan Rakyat berjaya membuktikan bahawa kerajaan mampu mengambil alih lebuhraya-lebuhraya ini tanpa membebankan kewangan awam,” tambahnya.
Pembohongan Samy Vellu
Beliau berkata, deklasifikasi isi perjanjian-perjanjian konsesi tol lebuhraya juga mendedahkan pembohongan bekas Menteri Kerjaraya Datuk Seri Samy Vellu yang sudah saban tahun mendakwa bahawa kerajaan terpaksa membayar gantirugi berbilion ringgit sekiranya perjanjian-perjanjian ini ditamatkan.
“Beliau (Samy Vellu) menyembunyikan hujahnya di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang menyekat orang awam dari mencari kebenaran,” tegas beliau.
Katanya lagi, hanya dengan mendeklasifikasi PPA dari OSA maka Dr Chua boleh membuktikan bahawa beliau bukan seorang lagi seperti
Samy Vellu yang cuba untuk melindungi kepentingan syarikat-syarikat kroni dengan berselindung disebalik OSA.
“Pada masa yang sama, kami tidak yakin kerajaan BN mempunyai kesungguhan politik untuk berunding dengan IPP ini bagi menyusun semula terma-terma kontrak seperti yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.
“Enam tahun sudah berlalu di mana kerajaan BN masih bercakap untuk mengadakan rundingan semula tentang terma-terma kontrak ini tetapi tidak mendatangkan apa-apa hasil,” terangnya.
Menurut Pua, pengumuman terbaru tentang rundingan semula ini hanya berupa omong-omong sahaja bagi meredakan kemarahan rakyat.
“Ini merupakan satu cara untuk melengah-lengahkan masa bagi memberi peluang kepada IPP mengaut keuntungan kerana tempoh masa kontrak mereka hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi,” terangnya.
Beliau berkata, jika pentadbiran (Perdana Menteri) Najib (Tun Razak) mempunyai kesungguhan politik dan benar-benar ikhlas untuk mengadakan rundingan semula tentang kontrak-kontrak ini maka beliau tidak perlu masa lebih dari dua tahun.
“Hanya setelah menerima tekanan daripada rakyat maka kerajaan berusaha untuk memotong subsidi untuk rakyat biasa tetapi tidak syarikat-syarikat gergasi kroni seperti IPP di mana pengumuman untuk rundingan semula sering diulang-ulang.
“Kerajaan BN mesti membuktikan komitmennya kepada ketelusan dan kebertanggungjawaban sepertimana yang dijanjikan di bawah
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan mendeklasifikasi maklumat PPA dan memastikan kepentingan rakyat didahulukan, seperti yang dilaungkan menerusi 1Malaysia,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan