HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mei 2011

Perjanjian IPP bukan sulit, dedahkan pada umum- REFSA

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) mahu Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dideklasifikasi dan didedahkan kepada umum.

Pengarah Eksekutifnya, Teh Chi Chang berkata demikian mengulas dua kenyataan berbeza daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek mengenai isu itu.

“REFSA percaya penyelesaian terbaik bagi debat ini adalah untuk mendeklasifikasi PPA dan membukanya untuk
penelitian umum.

“Akses terbuka akan membolehkan orang awam yang berminat mengemukakan pertanyaan dan analisis, menyumbang secara bijak bagi menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Menurutnya, PPA bukan merupakan dokumen sulit kerana ia didedahkan bagi tujuan pelaburan dan mendapatkan pinjaman intensif supaya memudahkan pembiayaan, berikutan agensi penilaian dan bank mempunyai akses kepada perjanjian itu.

Katanya lagi, peraturan Bursa Malaysia juga menyatakan PPA disediakan untuk penelitian para pemegang saham syarikat IPP yang disenarai dalam Bursa Malaysia.

“Dua contoh adalah apabila Tanjong Plc mengambil alih Powertek Berhad dan Malakoff Berhad mendapat loji kuasa Tanjong,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, PPA hanya merupakan kontrak perdagangan untuk peruntukan khidmat penjanaan kuasa, sebagaimana konsesi tol yang merupakan kontrak perdagangan untuk prasarana lebuh raya.

“Pengubahan status konsesi tol menyebabkan hasil yang positif untuk rakyat Malaysia – dua kadar tol PLUS telah ditangguhkan dan kemungkinan kenaikan akan datang lebih rendah daripada yang dicadangkan.

“Memandangkan hasil positif dari pengubahan status konsesi tol, REFSA menyeru kerajaan mendeklasifikasi perjanjian pembelian kuasa. Ini akan membolehkan semua rakyat Malaysia memperoleh fakta dan angka yang tepat bagi perdebatan yang membina,” tegasnya.

Di sebalik bantahan berterusan Pakatan Rakyat, Barisan Nasional hari ini tetap bertegas mengumumkan kenaikan tarif elektrik secara purata sebanyak 7.12 peratus berkuatkuasa Jun ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini beberapa kali mengulangi bahawa perjanjian berat sebelah antara IPP dan Tenaga Nasional Berhad, menyebabkan IPP mengaut keuntungan berbilion ringgit setahun.

Syarikat-syarikat IPP yang terdiri daripada kroni antaranya Tanjung PLC, Genting Sanyen, Malakoff dan YTL menerima kira-kira RM19 bilion sehingga RM22 bilion subsidi tahunan daripada kerajaan.

Tiada ulasan: