MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta memantau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mempunyai terlalu ramai pengundi didaftarkan berbanding jumlah penduduk, bagi memastikan tiada penyelewengan terhadap pendaftaran pengundi.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemantauan yang dilakukan oleh Umno mendapati parti pembangkang mengatur daftar pengundi di kawasan tertentu demi kepentingan mereka sendiri.
"Kita mahu hanya pengundi di kawasan itu sahaja yang mengundi bukan pengundi yang 'dihantukan' jadi pengundi hantu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Melaka di sini, Sabtu.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata tindakan mengatur daftar pengundi itu dikesan di Pulau Pinang di mana pengundi yang tinggal di kawasan pulau sengaja didaftarkan di kawasan tanah besar dan strategi itu didapati telah menular ke Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Katanya parti pembangkang tersebut dengan sengaja mendaftarkan pengundi yang menyokong mereka di kawasan DUN dan Parlimen di mana parti itu kalah dengan majoriti sedikit atau Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti sedikit.
Beliau berkata Umno mempunyai banyak bukti mengenai perbuatan parti pembangkang itu dan bersedia untuk tampil menyerahkan bukti itu kepada SPR untuk tindakan lanjut.
"SPR perlu melakukan pemantauan mengenai perkara ini dengan cepat. Pilihan raya ini adalah satu pilihan raya yang adil demi kepentingan rakyat," katanya.
Ahmad Zahid berkata selain pemantauan melalui nombor kad pengenalan, SPR juga diminta menggunakan alamat rumah di mana alamat rumah yang mempunyai bilangan isi rumah yang mencurigakan disiasat dengan tegas oleh SPR.
Beliau berkata setiap bahagian Umno di negara ini juga perlu melakukan pemantauan dengan teliti terhadap setiap daftar pengundi di DUN dan Parlimen masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan