HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mei 2011

Tarif Elektrik Naik Tujuh Peratus Mulai 1 Jun

tvs news



PUTRAJAYA : Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus mulai Rabu ini, sekali gus memberi kesan kepada kadar inflasi yang semakin meningkat.

Harga gas asli juga dinaikan kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016 setelah diapung sepenuhnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapha Mohamad mendakwa kenaikan itu hanya akan memberi kesan minima kepada kadar inflasi negara yang kian tertekan ekoran kenaikan harga minyak dan barangan seperti gula baru-baru ini.

Menteri Tenaga Teknoloji Hijau dan Air Datuk Peter Chin pula mendakwa kenaikan kadar elektrik itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus daripada pengguna yang menggunakan lebih daripada 300KW tenaga setiap bulan.

Sebelum ini Perdana Menteri Najib Razak menyatakan subsidi yang diumpamakan seperti 'candu' harus dikurangkan bagi membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Rakyat Malaysia terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan pimpinan Najib Razak memotong subsidi yang mengakibatkan harga barangan keperluan seperti gula dan petrol meningkat secara mendadak.

Kerajaan sebelum ini menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.

Keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barangan berpaksi kepada dasar-dasar tidak seimbang kerajaan khususnya yang membabitkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar.

Harga barangan meningkat turut disebabkan tata urus kewangan negara, khususnya keghairahan mengadakan projek-projek mega yang akhirnya menyebabkan defisit negara antara yang tertinggi di rantau ini.

Tiada ulasan: